Sejak pertemuan yang dibatalkan dengan tiba - tiba tempoh hari, sampai ke hari ini Hadi masih tidak dapat bertemu Kamariah. Bukan dia yang tidak ada masa tapi Kamariah yang sukar memberikan masanya. Ada saja alasannya yang kadang - kadang Hadi rasa, sengaja direka. Malah Hadi perasan, Kamariah sudah mula lambat - lambat membalas mesej. Kebelakangan ini, mesej yang dihantarnya tidak berbalas langsung! Hati Hadi dipenuhi syak wasangka.
Dia menaip satu lagi mesej, diulang baca sebelum dihantar kepada Kamariah. Mendongkol benar hatinya dek kerasnya hati Kamariah yang tidak membalas hatta satu huruf pun kepadanya. Ini entah mesejnya yang keberapa dan dia seperti dapat menduga, kali ini pun tidak akan berbalas juga.
****
Kamariah semakin jauh hati dengan Hadi. Bukan tidak sayang tapi keyakinannya semakin berkurang. Meskipun berpuluh panggilan dan mesej dari Hadi masuk ke telefonnya bertanyakan keadaannya, tapi tiada satu pun kata yang memujuk. Sehingga adakala, Kamariah merasakan Hadi cuma mahukan dirinya tapi bukan sebab sayang melainkan keegoan untuk memiliki semata - mata.
Tiga mesej terkini yang masuk sejak pagi tadi, dibaca lagi.
'Di sibuk betul mggu ni, nak prep utk periksa akhir tahun. Lpas tu, cuti pjg. Di plan, sblm hbs cuti sekolah hujg thun ni, kita kawen. Knp lama sgt Mar menyepi? Mar tau kan, Di terkekang dgn byk hal smp stres jdnya. Knp nk tmbhkn lg tknan Di dgn berdiam membatu mcm ni?' - 9.07am
'Di dh brapa kali cakap nk jmpa tp 1 pun mar xrespon. Dh lbh sbuln dh sejak last jumpa. Lpas tu nk jmpa, anak Di xcident. Lpas tu, Di dah dkt nk smp situ, Mar pulak, tiba2 batalkan date. Lpas tu, jgnkn jmpa, msej dan pgilan Di pun, Mar xjwb. Di stres la mcm ni. Mas pun dah mula bising2 sbb dia ckp Di asyik diam je, dia ckap pn kdg Di xdgr.'
- 11.23am'Awak ni kenapa Mar, tiba2 diam snyap je? Dahlah hari tu awak yang tiba2 batalkan date kita, lepas tu awak buat mcm ni, mcm sy pula yg slh. Awak knp sbnrnya? Brpa byk dah missed call dan mesej sy hntr, 1 pn awk xjwb. Smp hilg mood sy nk bgtau awk, sy nk lamar awk mgu dpan.' - 13.05pm
Kamariah mengulang baca mesej terakhir itu. Airmatanya perlahan gugur ke pipi. Dia tahu, Hadi masih tegar mahu memperisterikannya dan dia sudah tentu mahu tapi dia enggan kecewa lagi. Sepuluh tahun dia belajar bertabah setiap kali rancangan mereka gagal dan kini dia sudah lelah. Dia tidak mahu terus berduka dalam gerhana rasa. Dia mendambakan bahagia. Dia mahu menyelak lembaran baru dan untuk itu, dia belajar menerima Fahim.
****
Fahim berdebaran tidak keruan. Untuk seminggu ini dia tidak akan berjumpa Kamariah, kononnya supaya wujud rasa rindu dihari bahagia mereka nanti. Kata Fahim kepada Kamariah tempohari, dia mahu menerkam Kamariah pada malam itu nanti dan kata - katanya itu Kamariah sambut dengan ketawa bersama satu tamparan dilengannya. Seronok rasanya melihat ciptaan TUHAN secantik wanita itu, ketawa. Semoga, mereka berdua akan selalu gembira, ketawa dan bahagia. Ya Allah, KAU peliharakanlah jodoh aku dengan dia, kekal selamanya sehingga ke syurga, ucap Fahim berkali - kali dalam hati. Sungguh, dia semakin sayang kepada wanita itu, demi ALLAH!
****
Hadi sudah tidak mampu bertahan lagi dengan kebisuan Kamariah. Dia hanya menerima sebaris ayat dari Kamariah sebelum ini, meminta Hadi melupakannya kerana dia mahu membina hidup baru. Mahu bahagia seperti Hadi dan Mastura, katanya. Hadi panas punggung. Sakit - sakit kepalanya mencari jalan mahu berjumpa Kamariah mohon penjelasan tapi Kamariah tidak membalas apa - apa. Hadi membuat keputusan, mahu berjumpa orang tua Kamariah.
"Abang ni, dalam seminggu ni dah macam kucing nak beranak. Asyik gelisah. Kenapa, bang?" Tanya Mastura. Pelik dengan tingkah suaminya.
"Stres, prep soalan periksa."
YOU ARE READING
Menanti Gerhana Berlalu
RomanceKata orang, penantian itu satu penyiksaan... Dan dia telah menanti dan mencintai, terlalu lama.