Kamariah sudah membiasakan diri dengan fasa barunya. Fasa memulihkan emosi. Ya, sakit itu belum betul pulih tapi dia perlu teruskan kehidupan. Jodoh? Biarlah. Tidak perlu mengejar atau terkejar - kejar, lagipun lelaki yang seorang itu, masih lagi bertamu dihati... Tidak mudah untuk mengusirnya pergi.
Cuti sekolah sudah berlalu tiga hari. Berbaki 11 hari lagi. Untuk mengelakkan kebosanan, Kamariah belajar menjahit pula. Cukuplah dua minggu belajar asas saja, asalkan terisi masa. Lagipun, melalui fasa baru ini, kalau hati terasa sunyi, mulalah suara - suara jahat membisik kesalan dan kecewa atas takdir Tuhan. Bukankah iblis gemar benar mencari kelemahan kita supaya mudah dia menghasut kita agar mengikut jalannya? Itulah yang Kamariah cuba elakkan. Dia tidak mahu kesal dan kecewanya berlarutan. Lelaki masih ramai lagi, cuma perlu sabar menanti jodoh yang dikirim Tuhan untuknya.
"Mar!"
Kamariah yang sedang membongkok dengan bertongkatkan jenang pintu, mengangkat muka. Dia baru sampai dirumah dan sedang menanggalkan kasutnya.
Habsah menggelek punggung berjalan ke arah anaknya. Ditangannya ada sekeping sampul merah jambu. Tanpa menunggu anaknya masuk, sampul dihulur. Kamariah membuka sampul sambil berjalan masuk diekori emaknya. Berkerut dahinya melihat muka depan kad. Kad kahwin? Siapa? Kamariah melabuhkan punggung dikerusi. Dadanya dilanda debar kuat. Antara mahu dengan tidak, diberanikan juga menyelak kad yang cantik itu...
Raungan Kamariah bergema sebaik kad dibaca!
****
Hadi demam lagi. Semakin dekat hari perkahwinannya, semakin kerap dia tidak sihat. Ini sangat merisaukan Amnah. Setiap kali demam, selera makannya hilang berhari - hari. Sudah kurus benar anaknya itu, tidak lagi setegap dulu dengan sedikit otot timbul disana sini. Jambang pun semakin rajin tumbuh menandakan si bujang sudah kurang peka memperkemas diri. Amnah tidak tahu apa mahu dibuat atau diperkatakan untuk memperbaiki keadaan. Semua serba tersepit.
"Nak ke mana pula tu, Di? Kata, demam. Duduklah rumah."
"Jumpa Hamdan sekejap."
"Ayah suruh kau ke rumah pak imam, bila nak pergi?"
Langkah longlai Hadi, terhenti. Dia ingat arahan itu tapi dia belum melaksanakan. Malas. Sekadar suruh ke sana untuk menolong - nolong apa yang patut sebab majlis tinggal minggu depan saja lagi, bukan ada apa sangat pun. Malah kalau dia tidak pergi, pasti ada saudara - mara lain yang datang membantu.
"Tengoklah nanti."
Sebaris jawapan itu sudah cukup bagi Amnah menyelami perasaan anaknya. Dia tidak mahu mendesak, biarlah Hadi memutuskan bila dia mahu pergi. Tangan Amnah terus saja laju melipat gubahan berbentuk buah - buahan.
****
Beberapa hari menjelang pernikahan...Bakri berdehem dua tiga kali dan masih tidak berganjak dari kerusi, seolah ada sesuatu mahu disampaikan. Amnah bangun mengemas meja makan. Biar suaminya saja berbicara. Kalaulah dia mampu membuat keputusan, dia pasti akan biarkan Hadi memilih Kamariah walaupun kelak menatap wajah besannya bakal membuat luka lama berdarah kembali. Apalah sangat cerita lama itu kalau mahu dibandingkan dengan kegembiraan anak sendiri? Atau... Bakri sebenarnya masih tidak mampu mengikis Habsah dari hati? Tangan Amnah terhenti dari pekerjaannya. Matanya terkebil - kebil. Adakah begitu?
"Kau jangan malukan ayah lepas dah kahwin nanti."
Keras suara Bakri, meruntuhkan bingkai - bingkai su'udzon yang terbina dalam mindanya tadi. Amnah lantas berlagak biasa semula. Sempat dia melirik ke arah Hadi yang lesu menekur meja sambil jarinya memutar - mutar gelas kosong dihadapannya.
"Mastura tu, anak orang baik - baik. Anak kawan ayah pula. Pernikahan kamu ni nanti, bakal menjadi pengerat persahabatan kami dan dua keluarga ni. Jaga dia elok - elok."
Hadi terus membisu. Macam itulah dia sejak pertunangannya dengan Mastura. Kurang bercakap, kurang makan dan kurang ceria.
"Kau lelaki. Jangan sebab putus cinta kau jadi putus asa. Berapa hari saja lagi, kau dah ada masa depan yang baru. Pandang ke depan. Bina hidup baru. Ingat tu!"
Usai bercakap, Bakri berlalu. Tidak lama kemudian terdengar suara televisyen di ruang tamu.
"Di masuk bilik dulu, ibu. Ada kerja nak disiapkan sebelum buka sekolah."
Amnah angguk. Senyum yang diukir tidak berbalas. Hati Amnah pula yang rasa seperti retak seribu...
****
Kamariah memicit dahi. Sakit kepalanya kerana kerap bersedih. Rupanya tembok yang dia bina, tidaklah sekukuh mana dan kini dia terpaksa berjuang lagi untuk membangunkannya semula. Bukan mudah mahu bangkit dari cedera yang parah tambah pula luka ditempat sama dua kali... Luka dihatinya, yang berdarah dan bernanah, membisa sekali lagi sejak kad utusan raja sehari itu dibacanya! Kenapalah kad itu dikirimkan? Dia sudah cukup kuat rasanya dari patah hati yang dulu. Sekurang - kurangnya... pura - pura kuat. Perlu apa untuk dia tahu kalau Hadi akan kahwin dengan orang lain pun? Airmata mulai meleleh perlahan. Benarlah... Ternyata sakit sekali penyakit patah hati ini.
Kedengaran ketukan perlahan didaun pintu. "Mar... Tak makan?"
Lambat - lambat barulah terdengar lirih suara si anak menjawab, "Nantilah, mak."
Habsah beredar dari depan pintu bilik anaknya. Mendengar suara anaknya bergetar tadi, hati keibuannya tersentuh. Kenapa keras benar hati Bakri? Bukankah kisah lama itu, sudah begitu lama untuk diungkit kembali sehingga orang lain yang tiada kaitan pula yang makan hati?
Tiba - tiba, kata - kata Kamariah sebelum ini, terngiang - ngiang semula ditelinganya. "Macam... Err... Macam dia sebenarnya masih sangat kecewa tak dapat kahwin dengan mak."
Habsah terkesima, "Astaghfirullahaladzim."
YOU ARE READING
Menanti Gerhana Berlalu
RomanceKata orang, penantian itu satu penyiksaan... Dan dia telah menanti dan mencintai, terlalu lama.