Hari berganti minggu, minggu menjadi bulan.
Wajah adik angkatnya itu tidak lagi kelihatan. Memang benar, kekadang dia tertemu Azrul di kawasan sekolah tetapi sepatah perkataan pun tidak dilontarkan antara mereka.
Bandhu, rakan sekelas dan akrabnya yang lain, pun mula hairan dengan kedinginan antara kedua-dua jejaka ini.
"Dah, cerita." Tiba-tiba Bandhu mengungkit perkara itu, pada suatu hari semasa rehat. Pada awalnya dia tidak mahu menyampuk, tetapi Mukminin kenampakkan teruk kebelakangan ini. Jarang sekali dia membawa bekal kini, dan jarang sekali dia senyum, dan dia juga sedar Mukminin yang suka bercakap mula mendiamkan diri.
Bandhu tidak sanggup lagi melihat rakannya berkelakuan bagai pelita kehabisan minyak. Di mana hilangnya rakannya yang besinar-pinar hinggakan orang sekeliling tersenyum besar olehnya? Kini, kemalapan wajah rakannya membawa kesedihan kepada orang sekitarnya.
Mukminin hanya melihat wajah Bandhu ketika disoal, tetapi dia tidak mahu pula si Bandhu terbeban dengan alkisah sedihnya. Dia hanya tersenyum tawar sebelum menjawap, "Aku okay je."
Berkerut dahi Bandhu mendengar jawapan klise daripada rakannya itu. Kalau okay, kenapa muram sahaja muka engkau ni, kang aku tumbok juga. Bandhu menarik nafas. "That's bullshit."
"Apa?"
"Kau menipu, aku tahu." Bandhu lalu mengambil tempat duduk di hadapannya. Dia menongkatkan dagunya. "Cerita, ataupun aku tumbok kau hingga koma."
"Uish, benar tiada apa-apa!" Mukminin pun mula takut dengan ugutan Bandhu, tetapi tetap tegas untuk tidak menceritakan apa-apa. Apa yang berlaku jika Bandhu tahu kesedihannya berpunca daripada adik angkatnya itu? Atau anak asuhan? Mana-mana je lah.
Tiba-tiba Xiang duduk bersebelahan dengan Mukminin. Xiang merupakan rakan akrab Mukminin lagi seorang, mula berkenalan sejak tingkatan empat tetapi mereka sangat ngam dengan satu sama lain. Dia pula yang bersuara. "Aku kenal kau setahun, tapi aku tahu yang kau bersedih teman!"
Mukminin terdesak untuk menafikan Xiang dan Bandhu, tapi apakah daya. Dua lawan satu, manalah aci!
"Aku ada pertelingkahan dengan kawan aku ni hah, sebab tu aku sedih." Jelasnya, mengelakkan daripada menyebut nama Azrul. "Dia tak layan aku dah, dan tidak endahkan aku macam aku tak wujudpun." Kepalanya tunduk untuk mengelakkan pandangan Bandhu dan Xiang. "Aku sedih sebab persahabatan kami dah tiga tahun kot!"
"Ni mesti pasal Azrul, kan?" Mata Mukminin membutang dengan nama Azrul, lalu tangannya mengecup mulut Bandhu. "Agh!" Bandhu menepis tangan Mukminin. "Macamlah aku tak tahu kau, Mukminin."
"Bagaimana engkau tahu, nampak sangat eh?" Xiang dan Bandhu mengangguk. Mukminin mengeluh lalu merehatkan kepalanya di atas meja. "Bagaimana pulak tu?"
Bandhu tersengih. "Aduh, macamlah kami tak sedar yang engkau dah tak lepak dengan adik kesayangan engkau tu." Kata Bandhu, menyedarkan Mukminin akan sesuatu. Memang benar yang dikatakan Bandhu. Sejak hari itu, dia kerap bersama Bandhu dan Xiang berbanding Azrul. Macamlah dia boleh.
"Kenapa dengan kau berdua, apa yang digaduh?" Xiang menyampuk pula. Mukminin sebenarnya malas nak jawap, tetapi kalau tak mesti mereka desak. Mukminin bersyukur dapat kawan yang menitik berat akannya, tetapi dia tak mahu ceritakan apa sebenarnya berlaku.
Apabila soalan Xiang dijemput kesunyian, Xiang pun berhenti bercakap. Xiang dan Bandhu mula beredar tetapi sebelum mereka jauh meninggalkan Mukminin, mereka mengatakan sesuatu. "Aku harap engkau berdua berbaik semula, Minin." Bandhu mendoa, sebelum Mukminin benar-benar ditinggalkan keseorangan.
≿━━━━༺❀༻━━━━≾
Biarpun Mukminin tidak lagi berjumpa Azrul di rumahnya, tetap dia datang ke rumah Azrul. Dia masih bekerja bersama keluarga Azrul dengan harapan lambat laun Azrul akan mula terbuka semula dengannya.
Tetapi kian hari harapannya kian pudar. Sampai sahaja Mukminin di rumah Azrul, Azrul sudah berkurung di biliknya. Sudah beberapa kali dia pujuk Azrul untuk keluar tetapi usahanya tidak berguna.
Ibu bapa Azrul pun sedar yang Mukminin dan Azrul jarang bergaul sejak dua menjak ini. "Kenapa Azrul tak keluar nih?" Ummi Azrul cemas. Kebiasaannya, Azrul akan bersama-sama mengucapkan selamat tinggal kepada Mukminin sebelumnya balik, tetapi sejak hari itu, keluar pun tidak.
"Tak apa, Ummi, Azrul tak sihat agaknya." Mukminin cuba memberi alasan, tidak mahu menyusahkan Azrul yang masih bersedih itu. Ummi menoleh ke arah Mukminin, wajahnya berkerut dengan kebimbangan.
Sememangnya setiap ibu mempunyai naluri untuk mengetahui apa yang terdetik di hati anak anak mereka, Ummi lalu berkata kepada Mukminin. "Azrul ni memang sensitif orangnya, kalau merajuk memang merajuk samapi kiamat." Gurau Ummi berserta ketawa kecil, seolah-olah mengetahui terdapat sesuatu yang berlaku antara mereka.
"Tapi tak apa, Minin. Kelak-kelak, berhentilah dia tu." Ummi tersenyum lembut. Ummi memang seorang yang cantik jelita. Semasa zaman mudanya, Ummi selalu masuk pertandingan ratu cantik dan mendapat johan dalam setiap pertandingan yang dia ikuti.
"Minin haraplah." Mukminin mengangguk, tetapi sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa lagi. Mungkin sampai di sini sahaja persahabatan mereka.
Pada hari tersebut, Mukminin mengambil keputusan untuk berhenti bekerja bersama keluarga Azrul. Dia tidak sanggup lagi, hatinya tidak sanggup lagi. Setiap detik Azrul tidak mengendahnya, hatinya terasa tercucuk jarum nan tajam. Setiap masa panggilannya tidak terbalas, matanya semakin sayu dan tangisan hampir membasahi kulit wajahnya.
Eloklah dia mengundur diri, takut-takut hatinya terus terluka dek Azrul.
Mukminin berdiri di hadapan pintu Azrul. Jika Azrul keluar, dia batalkan sahaja niat untuk berhenti. Jika sebaliknya, dia akan teruskan sahaja.
Pintu Azrul diketuk lalu Mukminin berkata. "Azrul, makan tengah hari dah siap. Jom, makan!" Ajak Mukminin, mengharapkan yang Azrul akhirnya berubah hati dan menerima ajakannya.
Tiada jawapan di sebalik pintu.
Sekali lagi Mukminin cuba memujuknya. "Azrul, abang ada beli kek strawberri yang Azrul suka, nanti kita makan sama-sama!" Nadanya gembira, tetapi hatinya tidak. Azrul, jomlah, fikirnya, mengharapkan dengan sepenuh hati.
Masih tiada jawapan daripada Azrul.
"Azrul..." Tengah Mukminin cuba mengajak Azrul, titisan air mata mula mengalir. Dia menarik nafas dan tenangkan diri. Dia tidak mahu beremosi, terutama di hadapan Azrul. "Azrul, kalau Azrul makan sama abang, nanti abang bawa tengok wayang, nak?" Ajaknya buat kali ketiga, kini dia berdoa di dalam hati untuk Azrul menerima pelawaannya.
Tiada respon daripada Azrul.
Mukminin mengeluh. Azrul, masih sakitkah, terdetik di dalam hati Mukminin.
"Azrul..." Panggilnya lagi, suaranya agak sayu dan lemah. Esakannya terlepas sedikit tetapi tidak kuat untuk disedari oleh si dia di sebalik pintu itu. "Marilah kita makan sama-sama." Ajaknya lagi, kini terdesak. Kepalanya berehat di pintu Azrul. "Sudah-sudahlah merajuk..."
"Azrul..."
"Jangan benci abang, Azrul..."
Pada hari itu, Azrul masih enggan menerima ajakan Mukminin. Dengan berat hati, Mukminin pun memberi tahu ibu bapa Azrul yang dia hendak berhenti.
Ibu bapa Azrul hanya menerima permintaan Mukminin untuk berhenti lalu mereka melepaskan Mukminin, yang sudah dianggap seperti darah daging mereka sendiri.
Sebelum Mukminin keluar daripada rumah mereka dan secara rasminya berhenti, Ummi memanggilnya untuk tunggu. Ummi membawakan sesuatu kepada Mukminin, sebuah kotak serdahana kecil yang dibalut dengan kain.
"Nah." Ummi menghulurkan Mukminin kotak tersebut. Mukminin menerima tetapi kekeliruan jelas di riak wajahnya. "Hadiah perpisahan. Kalau rindu Ummi dan Wali, pintu rumah ummi terbuka untuk menjemput Minin."
Mendengar kata-kata Ummi, Mukminin terasa lebih sedih. Hatinya pecah dengan layanan Ummi, yang sehingga sekarang melayannya seperti anaknya sendiri. Tiba-tiba, Ummi mengesat mata Mukminin. Tanpa sedar, air mata Mukminin bebas berlinangan.
"Terima kasih..." Dia tidak mahu meninggalkan keluarga ini. "Ummi..." Tetapi dia mesti pentingkan diri agar tidak disakiti lagi.
YOU ARE READING
Si Pengasuh dan Si Pengasih
General FictionAkibat mengotakan perasaan sebenar kepada pengasuhnya, keakraban antara Azrul dan Mukminin (yang Azrul sentiasa panggil 'Abang Minin') berubah tegang. Mereka mula jarang bertemu dan akhirnya Mukminin meninggalkan Azrul untuk menyambung pengajian ke...