Dia di sebuah bilik yang gelap-gelita, tiada bebenang cahaya pun kenampakan. Dadanya rasa berat manakala akalnya terasa sakit. Di mana sini, gumamnya dalam hati sambil-sambil cuba memahami keadaan sekelilingnya.
Tiba-tiba sesosok tubuh kelihatan jauh di hujung bilik; badannya tinggi lampai, kurus, dan berkulit sawo matang. Gaya pakaiannya dan olahan rambutnya seperti Azrul kenal. Tidak salah lagi, itu Mukminin.
Azrul bergerak menuju Mukminin, satu-satunya perkara yang dia kenal di situasi aneh dan asing ini. Tetapi semakin terhapus jarak antara mereka, seperti menjauh pula Mukminin daripadanya. Semakin laju dia mengejar lelaki itu, semakin pantas lelaki itu meninggalnya.
"Abang Minin!" Dia memanggil, nadanya merayu agar Mukminin berhenti dan mendekatinya. "Mukminin, jangan pergi!" Nadanya lebih tinggi, kini terdesak. Biar apa-apapun dia katakan, Mukminin semakin pudar daripada pandangannya.
Tiba-tiba, seakan-akan sesuatu merangkul badannya erat, menyebabkan dia terhenti. Tangannya terdesak untuk melepaskan apa-apa yang merangkulnya tetapi gagal. "Abang Minin, jangan tinggalkan Azrul!" Jeritnya lagi tetapi lelaki itu sudah hilang daripada pandangannya. "Abang Minin!"
"Abang Mukminin!" Azrul tersentak daripada lamunannya, dahi berkerut dan badannya berpuluh. Tercungap-cungap dia di atas katilnya, sambil-sambil dia memandang sekeliling. Perlahan dia mengusap wajahnya, cuba menenangkan diri.
Sudah beberapa hari dia termimpi akan Abang Minin tetapi entah mengapa.
Beberapa tahun telahpun berlalu selepas Abang Mukminin berpindah, kehidupannya pun diteruskan seperti biasa walaupun tanpa Abang Mukminin. Hatinya pula berhenti sakit (atau sudahpun tawar hati?) bila mengenang Mukminin malahan hari demi hari, ingatannya akan Mukminin mula pudar dan menghilang.
Tapi mengapa? Mengapa beberapa hari ini dia terngigau dan mimpikan Mukminin? Mengapa tiba-tiba selepas bertahun Mukminin muncul semula dalam mimpinya? Dia menggelengkan kepalanya.
"Azrul, engkau okay ke?" Pintu biliknya dibuka lalu masuklah rakan serumahnya, Alvin. Alvin merupakan rakannya daripada universiti yang pernah tinggal seasrama dengannya. Selepas graduasi, mereka mendapat kerja di sebuah syarikat dan mengambil keputusan untuk hidup bersama di sebuah pangsapuri berdekatan dengan tempat kerja mereka.
Begitulah kehidupannya sekarang, kerja sebagai seorang pegawai pemasaran bergajikan RM3,000 sebulan. Kalau di luar bandar, memang banyak duit tu. Tapi, kehidupan di bandar sememangnya berbeza dan jauh lebih mahal daripada di sangka.
"Aku dengar kau menjerit tadi." Alvin sambung, kini dia mengambil tempat di sudut katil Azrul. Tangannya memegang kaki Azrul dengan lembut, wajahnya berkerut kerisauan. Apalah di mimpi kawannya ini, fikirnya.
Azrul menggelengkan kepalanya, usah merisaukan rakannya dengan masalahnya. Tambahan, masalah ni bukanlah besar sangat untuk difikirkan.
"Azrul." Wajah Alvin berubah malas, seolah-olah sudah bosan dengan sikap Azrul yang suka memendam berbanding meluah. "Kau jerit-jerit tadi bukan masalah kecil tau. Tambahan, siapa pulak Abang Minin?"
Mata Azrul membutang mendengar nama lelaki itu dari bibir Alvin. Rasanya Azrul belum pernah lagi menceritakan kisah Mukminin kepada kawannya, apatah lagi menyebut namanya kepada Alvin. Barangkali, dia mengigau sambil-sambil tersebut nama Mukminin.
Azrul tahu yang dia tidak dapat mengelak soalan Alvin lagi.
"Aku mimpi pasal seorang lelaki ni." Jelas Azrul, memeluk tubuh. Matanya hanya memandang dinding. "Mukminin, kawan aku dari sekolah menengah." Tambahnya lagi.
"Ya, yeke. Dah kenapa dengan kawan kau tu sampai kau ngigau beberapa hari ni?" Alvin bertanya lagi, kini dia menatap wajah Azrul. "Gaduh?"
Malas sebenarnya Azrul menceritakan semuanya, tapi dia hanya mengangguk. "Dahlah!" Lalu dia mencapai telefonnya. Jam menunjukkan sudah masuk pukul 7. "Agh, tak lama lagi kerja nak start! Dah, dah, aku nak mandi dulu!" Azrul lalu bingkas bangun daripada katilnya, mengambil tualannya, lalu bergegas ke bilik minda.
YOU ARE READING
Si Pengasuh dan Si Pengasih
General FictionAkibat mengotakan perasaan sebenar kepada pengasuhnya, keakraban antara Azrul dan Mukminin (yang Azrul sentiasa panggil 'Abang Minin') berubah tegang. Mereka mula jarang bertemu dan akhirnya Mukminin meninggalkan Azrul untuk menyambung pengajian ke...