10「Temu Janji」

107 3 0
                                    

Sekalipun dia telah membeli bungkusan untuk makan malam tidak dijamah kerana fikirannya sedang kusut. Terdetik akan ketika bilamana Azrul merona merah kerana memikirkan lelaki lain dan bukan dirinya. Pipinya dia rehatkan pada genggaman tangannya manakala sikunya menongkatkan kepalanya. Apakah Azrul masih tidak sedar akan isi hatinya?

Alvin mengeluh kuat sebelum mengusutkan rambutnya, geram dengan kebodohan Azrul (ataupun kebodohan dirinya sendiri). Memang benar, Azrul jarang sekali mendedahkan apa-apa peribadi kepada dirinya ataupun Aliyana, tetapi Alvin sangat tahu yang Azrul bukanlah lelaki lurus.

Songsang, itulah perkataan yang cukup menggambarkan Azrul.

Kalau orang lain, mungkin Azrul lepas sebagai lelaki lurus, tetapi kepada sesiapa yang akrab dengannya, Azrul memang songsang orangnya.

Ruang makan yang dari tadi tidak dibuka lampunya lama-kelamaan menjadi gelap dek malam yang mula menyelimuti hari. Alvin pula tidak endahkan kegelapan kerana fikirannya memang terganggu teruk hanya disebabkan Azrul.

"Bodohnya engkau Azrul, sudah setengah dekad pun masih tak faham isi hati orang," tergelak kecil Alvin memikirkan temannya, yang juga yang telah menjerat hatinya sekian beberapa tahun kebelakangan ini, "Kalaulah engkau tak dibutakan oleh si Mukminin, mungkin kah kita sudah bersama?" soalnya tanpa mengharapkan jawapan.

Jarum pada jam dinding menunjukkan sudah pukul 7:45 petang, tidak lama lagi pukul lapan.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Warung kopi yang diajak Mukminin penuh dengan pelanggan, nasib Mukminin sudah menempah tempat untuk mereka berdua untuk duduk bersama. Setibanya Azrul di tempat dijanjikan, Mukminin sudahpun menjamu selera dengan air dan pastri yang ditawarkan di warung tersebut.

Mendekati Mukminin, Azrul mula nampak dengan jelas apa yang telah dipesan olehnya; dua cawan kopi, satu kopi hitam satu lagi kopi susu, menepati cita rasa Azrul. Mukminin menikmati kek coklat manakala kek strawberi pula tidak disentuhnya, adakah itu untuk Azrul? Eh, sungguhpun bertahun telah berlalu, Mukminin masih ingat apa yang digemari oleh Azrul?

Apabila kelibat Azrul disedari oleh Mukminin, lantas kepalanya diangkat daripada menjamu dan senyuman terukir pada bibirnya sungguhpun comot kerana kek coklat. Senyuman dilontarkan oleh Abang Mukminin terus menusuk kalbu, hatinya berdegup kencang kerana tidak dapat tahan melihat kecomelan Abang Mukminin. Pelan-pelan Azrul mendekati tempat duduk mereka dan melabuhkan punggung ke kerusi.

"Abang Mukminin," nama lelaki di hadapan disebut, Mukminin mencodongkan kepalanya manakala senyumannya tadi tidak hilang, menyebabkan Azrul kemerahan, geram akan Abang Mukminin dengan wajahnya comot. Azrul mencapai sehelai tisu yang ada atas meja mereka dan cuba mengelap kekotoran dengannya tetapi tangannya terhenti setengah jalan.

Dia teringat akan peristiwa petang tadi; Aliyana dan Mukminin yang bermesra sakan seolah-olah seperti isteri dan suami yang sedang bermanja-manja. Sakit, rasa Azrul menyaksikan perbualan mereka tetapi apakah daya, dia tiada hak untuk mengatakan apa-apa. Malahan, dia tidak tahu bagaimana untuk mendapat kepastian daripada Mukminin, tidakkah itu nampak biadap? Cuba ambil tahu kehidupan peribadi seseorang biarpun sudah bertahun berdingin dengan mereka?

"Azrul?" Mukminin panggil, menarik Azrul kembali ke alam nyata. "Kenapa?" Soalnya, keliru mengapa Azrul mengangkat kertas tisu padanya, "Eh, comot ke mulut abang?"

"Ah?" Azrul malu lalu meletakkan tisu itu di hadapan Mukminin, terus dia memaling ke tempat lain dek malu. "Iya!" Sahutnya sepatah, sebelum mengambil garpu dan menikmati kek strawberi yang dihidangkan di hadapannya.

Perbualan mereka tidak panjang dan masing-masing menjawab sepatah. Kebanyakannya, hening menjajah ruang bilamana mereka terdiam tidak berkata apa-apa.

"Bagaimana dengan Ummi dan Wali?" tanya Mukminin, cuba menghidupkan semula perbualan mereka sungguhpun ia sudah nyawa-nyawa ikan.

"Sihat je, tapi mereka dah berpisah." Jelas Azrul. Jawapan Azrul menyebabkan Mukminin rasa simpati, rasa bersalah juga kerana telah mengungkit hal rumah tangga Azrul. Mukminin pun tidak menyangka yang Ummi dan Wali akan berpisah, lebih-lebih lagi kerana mereka nampak bahagia bersama seperti isi dengan kuku. "Tak apa, dah lama Azrul reda dengan takdir, bang. Ummi dan Wali pun terima dan berbaik semula."

Mendengar khabar itu, Mukminin hanya tersenyum lemah. Sekurang-kurangnya mereka masih hadir dalam kehidupan Azrul. Tapi...

"Maafkan, abang, Azrul," tangannya menggapai tangan Azrul, dipicitnya dengan lembut. "Kerana meninggalkan Azrul tanpa memberitahu," sambungnya. Sungguhpun bertahun berlalu, hatinya masih terasa berat kerana meninggalkan Azrul. Mungkinkah dia terlalu cepat menyerah kalah dalam mendapatkan Azrul semula, mungkin dia tidak patut berhenti kerja bersama keluarga Azrul dan cuba memujuknya sehingga dapat.

Azrul menggelengkan kepalanya, "Tak apa, bang. Azrul tak salahkan abang." Tipu, Azrul memang salahkan Mukminin kerana meninggalkannya. Tetapi pada masa yang sama, dirinya turut dipersalahkan kerana berdingin dengan Abang Mukminin. Mungkin Abang Mukminin tidak akan berhenti kerja jika dia mula terbuka kembali kepada Abang Mukminin. "Apa yang terjadi sudah terjadi, kita tak dapat nak buat apa-apa dah."

Mukminin tersenyum mendengar kata-kata itu daripada bibir Azrul.

Mereka meneruskan temu janji mereka dalam diam, namun tidaklah kekok mahupun janggal.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Jam sudahpun masuk pukul sembilan, seusai minum dan makan, Mukminin dan Azrul pergi makan angin di tempat-tempat berdekatan. Tersenyum Azrul kerana dia dapat meluangkan masa bersama abang kesayangannya itu, sungguhpun sudah berpunya.

Selepas pintu rumahnya dibuka, dia dijemput dengan gelap-gelita. Tidak satupun lampu di dalam rumahnya dibuka, kecuali lampu daripada tandas. "Alvin, kau sudah tidur ke?" Azrul memanggil lalu satu per satu membuka lampu rumahnya.

Lampu ruang makan dibukanya, dan di situlah Alvin berada. Alvin terlena di atas meja makan hanya berbantalkan lengannya. "Alvin," panggilnya lalu mendekati Alvin, badannya digoyang lembut olehnya. "Alvin," sekali lagi nama rakan serumahnya dipanggil, digoyang dengan lebih kuat daripada sebelumnya. "Alahai, lena pulak engko tidur sini, eh." Senyum Azrul lalu mengambil tempat di hadapan Alvin.

Dia rehatkan dagunya di atas meja manakala wajahnya menuju ke arah kelibat Alvin yang sedang lena tertidur. "Aku ada buat apa-apa salah ke, Alvin?" Soalnya, masih teringat kedinginan yang Alvin lontarkan padanya pagi tadi. Nasib baik mereka sudah berbaik semula, biarpun Azrul masih tidak berpuas hati dengan Alvin yang menyembunyikan sesuatu daripadanya.

"Lantaklah, kalau kau bersedia, kau akan bagitahu," lalu matanya mula kuyu, berat kelopak matanya untuk terus dibuka. Akhirnya, terlena juga Azrul di atas meja makan, kepenatan.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

Kesibukan hospital bukan satu perkara yang aneh; jururawat ke sana dan ke mari, para doktor bergerak bagai gerombolan kambing berderet-deret, para pesakit yang dibawa masuk wad kecemasan akibat kecelakaan yang pelbagai. Riuh-rendah hospital menjadi kebiasaan kepada lelaki itu.

"Apa khabar," tiba-tiba lelaki berkot putih menghampiri lelaki yang sedang menunggu di luar, tangannya bersama pad menulis yang dikepilkan beberapa dokumen. "Saya harap tuan bersedia untuk mendengar diagnostik saya."

Lelaki itu menelan liur yang sudah lama terkumpul dalam mulut lalu kepalanya mengangguk. Berita yang bakal dia dengar akan mengubah masa depannya, sama ada berita baik atau sebaliknya. Dia perlu bersedia mendengar doktornya.

"Daripada ujian saringan yang telah saya laksanakan, saya mendapati tuan ada pertumbuhan di kawasan otak." Jelas doktor itu, perlahan-lahan agar lelaki itu dapat menerima baik berita yang ingin di sampaikan. Doktor itu mengambil tempat bersebalahan dengan lelaki tersebut, tangannya merangkul bahunya, menepuk-tepuk lembut. "Ini ialah ujian pendahuluan, saya akan lakukan ujian khusus kelak untuk mengenal pasti apa yang tuan sedang hadapi."

Lelaki itu mengeluh lalu menutup muka dengan tangannya, menahan tangisan tetapi tidak berjaya. Lelah, itulah yang dirasai lelaki itu. 


Si Pengasuh dan Si PengasihWhere stories live. Discover now