11「Pendamaian」

98 5 0
                                    

Terjaga Azrul daripada lenanya apabila untaian cahaya matahari meraba badannya, kehangatannya cukup untuk menggerakkan dia bangun. Dia menggeliat seketika, renggangkan badan kemudian memecah buku jari. Persekitarannya dilihat seimbas dan dia sedar yang dia tidak lagi di ruang makan sebagaimana dia berada sebelum jatuh lena.

Kehairanan, Azrul lalu bergerak ke ruang makan dan di sana, Alvin sedang sibuk memasak di dapur yang tidak jauh daripada tempat itu. "Selamat pagi," Alvin menyapa apabila menyedari kehadiran Azrul di ruang makan, badannya masih memaling ke tempat masak manakala kepalanya menoleh ke arah Azrul. Seukir senyuman dilontarkan, ikhlas dan manis.

Azrul mendekati Alvin menyebabkan lelaki tersebut melihat Azrul kehairanan. "Engko baik-baik saja ke Azrul–" dan tanpa menghabiskan kata, Azrul terus menarik Alvin dalam pelukan yang erat. "Oi, aku sedang masak ni!" Protes Alvin, memukul-pukul lembut Azrul biarpun Azrul tidak tergerak untuk melepaskan Alvin. "Engko okay tak ni?"

"Kau merajuk dengan aku, kenapa?" soalnya, masih memeluk erat rakannya manakala dagunya direhatkan di atas bahu Alvin. "Kau janganlah merajuk tau, aku tak da kawan banyak."

Gelagat manja si Azrul ni memang kelemahan Alvin, sejak mereka mula-mula berkenalan lagi. "Tak ada apa-apa," helahnya, memohon Azrul termakan. "Aku ada masalah peribadi, maaflah kalau aku mendingin semalam." Lalu pelukan Azrul dieratkannya lagi, menepuk-tepuk belakang Azrul dengan penuh kasih sayang. "Maafkan aku, ya."

Akhirnya, seperti termakan helah, Azrul pun melepaskan Alvin dengan sukarela. "Jadi engko kah angkat aku ke bilik?"

"Kau bukan berat sangat pun," Alvin kembali fokus dengan masakannya tadi.

"Uish, tak berat sangat?" Azrul lalu melihat-lihat badan sasanya. Jika dibandingkan dengan Alvin, badannya lebih besar dan lebih sado manakala Alvin lebih kurus dan kurang berotot. Tapi pada masa yang sama, Alvin lebih tinggi berbandingnya dan Alvin selalu terlibat dalam kerja angkat barang berat-berat ni.

Alvin tergelak dengan reaksi Azrul yang teruja itu, "Iyalah, kau tak ingat ke yang aku dulu kerja kuli angkat tangki gas?" Lalu terimbau kenangan di asrama mereka.

Alvin orangnya sangat berdikari. Setiap hari dia akan turun kerja sambilan dengan kedai runcit seorang tokey cina dan setiap hari juga dia balik lewat. Semuanya kerana untuk menampung perbelanjaan hariannya di asrama. Alvin tidak macam Azrul, bukan orang berada dan berduit, jadi apa-apa yang ada dalam sakunya, itulah perbelanjaannya seharian mahupun mingguan.

"Makanlah, Alvin, aku tak lapar!" kata Azrul, menghulurkan tapau nasi goreng untuk Alvin. Dia dah makan sebelum dia menawarkan nasi goreng itu dan memang niatnya untuk memberi tapau itu kepada Alvin. "Janganlah engkau tak makan pulak!"

Alvin hanya menolak, senyuman kekok dilontarkan kepada Azrul, "Aku tak lapar lah, Azrul," tetapi badannya lantas mengkhianatinya. Kedengaran menggeru berbunyi, cukup kuat untuk didengari oleh Azrul.

Azrul mengeluh lalu menyilang lengannya, "Alvin, aku tahu kau jenis yang makan sikit je, kitakan rakan sebilik, jamah sedikit boleh dah," Azrul memujuk lalu meletakkan tapau nasi goreng di atas meja belajar Alvin. "Kalau kau tak makan, basi pulak nasi tu karang."

Kemudian, Azrul keluar bilik mereka untuk ke bilik mandi.

Tapau nasi itu hanya direnung oleh Alvin. Dia mendekati nasi itu kemudian membukanya. Nasinya masih panas, lazat dan menyelerakan. Alvin masih tertanya, mengapa rakan sebiliknya sangat menitikberatkan akan kebajikannya. Sepanjang mereka bersama, Azrul merupakan penyokong utama kehidupan Alvin. Biarpun keluarganya berada, tidak sekalipun dia nampak Azrul bermegah dengan hartanya dan kebanyakannya selalu tolong rakan sekelilingnya.

Sudu plastik dia ambil sebelum nasi dia suap ke mulut. Tanpanya sedar, air mata mula melilih keluar dan dia menahan esakan daripada didengari oleh orang lain. "Terima kasih, Azrul," bisiknya sambil menyuap lagi nasi goreng ke mulutnya dengan penuh kesyukuran, "Terima kasih..."

Azrul memandang Alvin dengan penuh kebimbangan. Apa-apa yang berlaku dalam kehidupan Alvin, mesti lambat-laun dia akan ceritakan kepadanya. Tetapi tidak pernah sesekali pun resah kehidupan Alvin menyebabkan dia menolak Azrul, mahupun berdingin padanya. "Alvin..." nama lelaki itu dipanggil sebelum Azrul menggapai lengannya.

Alvin menoleh kembali ke arah Azrul, terkejut melihat wajah sedih Azrul. "Ke... Kenapa Azrul?" Tergagap Alvin dibuatnya, rasa risau membuak dalam hati.

"Kalau kau ada masalah, bagi tahu tau," Azrul memesan, wajahnya diturunkan agar tidak dilihat oleh rakan serumahnya, "Jangan kau berdiam dan mengetepikan aku, sedih aku tau."

Mendengar kata-kata Azrul itu, Alvin berasa bersalah. Dia telah menyebabkan Azrul terkilan dengan perbuatannya, menyakitkan hati Azrul dengan sengaja. Alvin menarik Azrul dalam pelukan, lebih erat daripada sebelumnya sambil-sambil berbisik, "Maafkan aku, Azrul," berkali-kali sambil mengelus-elus rambutnya, badannya diusap-usap lembut.

≿━━━━༺❀༻━━━━≾

"Dah berbaik dah?" Aliyana menyoal, senyuman lebar terukir pada bibirnya apabila melihat dua orang sahabatnya datang dengan wajah gembira daripada semalam, "Nampaknya, sahabat aku ini sudah berbaik lagi!" gurau Aliyana, menyiku Alvin apabila mereka sudah berhadapan dengannya.

Alvin tersipu malu, malu akan gelagatnya semalam, "Tak da apa-apa Aliyana," wajah putih si Alvin berubah merah apabila teringat akan semalam, "Kami dah berbaik dah, itupun sudah memadai!"

"Haah!" Balas Azrul sambil tersenyum, matanya tertutup sekali, "Dia pujuk dengan kek strawberi tau!"

"Huh?!" Terkejut Aliyana mendengar lalu menoleh ke arah Alvin, yang cuba sedaya upaya tidak bertentang mata dengan perempuan itu, "So sweet! Bila kawin?!"

"Apa!"

"Huh?!" Kedua-dua jejaka di hadapannya tercungap-cungap dengan persoalan Aliyana, sebelum masing-masing memandang antara satu sama lain dan memaling ke tempat lain kerana malu.

Aliyana hanya ketawa sebelum memukul lembut kedua-dua sahabatnya itu, "Jangan bergaduh tau, kalau tak, siapalah nak dengar aku membebel!" gusarnya sebelum tunduk melihat jam tangannya, "Dah, dah, dah nak masuk jam lapan dah ni, jumpa korang nanti." Dengan itu, Aliyana meninggalkan pasangan jejaka itu.

Mata Azrul tidak lari daripada memandang kelibat Aliyana sehingga ia hilang daripada penglihatannya. Dia masih teringat peristiwa semalam yang masih mengusutkan benak fikirannya. Patutkah dia bertanya kepada Aliyana tentang perkara itu, ataupun patut dia berdiam sahaja dan menunggu Aliyana memecahkan khabar itu sendiri kepada mereka berdua.

Keluhan Azrul menyebabkan Alvin naik bimbang, kenapa dengan Azrul ni, soal Alvin dalam hati. "Kau okay?" Alvin merangkul bahu Azrul, menyebabkan pemuda itu tersedar daripada lamunannya. Wajahnya sedih, menyebabkan Alvin lagi bimbang. "Azrul?"

"Kau rasa Aliyana sudah berpunya, kah?" Azrul mengotakan keresahannya, masih tidak dapat berhenti memikirkan apa yang berlaku semalam.

Alvin bersicengang, "Kenapa?"

"Sebab, aku..." Patutkah dia memberitahu Alvin akan apa yang berlaku semalam. Apa kata dia salah tafsir hubungan Aliyana dengan Abang Mukminin, nanti naik fitnah pulak. Dia bukan suka sangat bergosip akan rakannya.

Alvin mengeluh. "Kau, kalau ada masalah bagitahu," hah, dia mempersenjatakan apa yang dikatakan oleh Azrul kepadanya. Azrul rasa terkilan lalu menoleh ke tempat lain. "Azrul, kita tiga bersahabat, kalau kau ada masalah dengan salah seorang, kau perlu selesaikan dengan mereka."

Ada juga kebenaran di sebalik kata-kata Alvin tersebut, tetapi apa haknya Azrul menyoal kehidupan peribadi Aliyana?

"Aku rasa Aliyana sudah berpunya..." Terbeliak mata Alvin mendengar khabar berita itu.

"Apa?"

"Aku rasa, dia dah berpunya..."

Si Pengasuh dan Si PengasihWhere stories live. Discover now