Keluar dari perut kereta, Keisha terus melangkah ke arah bangunan 10 tingkat yang tidak jauh dari kawasan parkir. Sambil berjalan, dia bermain dengan telefon.
Menyemak e-mel penting yang dia dapat berkaitan dengan kerja Sirhan. Setiap e-mel yang dia dapat perlu disemak dan ditelitinya untuk menyusun jadual kerja Sirhan nanti. Tak adalah dia terlepas pandang mana-mana miting penting bosnya itu.
Melepasi lobi, Keisha terus berjalan ke arah lif. Telefon sudah disimpan dalam beg tangannya. Dia mengeluh kecil melihat ramai pekerja yang sudah berdiri di hadapan kotak lif.
Terpaksa berebutlah maknanya ini. Berdiri depan kotak lif, Keisha dongak ke atas. Memandang nombor lif yang tertera. Lambat lagi.
Sambil meliarkan pandangan ke segenap ruang lobi yang langsung tidak berubah sejak dia bekerja di sini 10 bulan yang lalu, pendengaranya menangkap perbualan dua orang pekerja wanita di belakang.
Mulalah dia rasa nak jadi busybody sebab perbualan perlahan dua orang pekerja itu menarik perhatiannya. Lagi-lagi bila sebaris nama yang dia kenali meluncur keluar dari mulut kedua-dua wanita itu. Firas.
"Kau tahu tak sepupu Tuan Sirhan ada datang sini semalam?"
"Tak tahu. Kenapa? Wah, melepaslah aku nak tengok muka kacak dia."
Pujian itu buatkan bibir Keisha tersimpul dengan senyuman. Rupanya bukan dia seorang saja yang perasan Firas itu kacak. Ada pekerja lain turut perasan.
"Haha. Padan muka kau. Untungnya aku semalam dapat tengok muka kacak dia. Bukan senang sepupu Tuan Sirhan tu nak muncul dekat syarikat ni tau. Lagi-lagi lepas apa yang berlaku pada dia tahun lepas. Kalau akulah kan... memang takkan jejakkan kaki dekat sini lagi dah. Yalah semua orang tahu penyakit pelik aku."
Kata-kata wanita dengan suara yang agak serak itu buatkan Keisha makin tertarik mahu mendengar. Rasa ingin tahu mencanak tinggi. Yalah, dia kerja dekat sini tak sampai setahun lagi. Maknanya kejadian itu berlaku setahun yang lepas.
"Apa yang jadi, weh? Kenapa aku tak tahu pun?" suara wanita kedua jelas menunjukkan yang wanita itu juga tidak tahu. Terselit juga dengan perasaan berkobar-kobar ingin tahu seperti Keisha.
"Memang tak ramai yang tahu pun. Tuan Sirhan dah bagi amaran pada semua pekerja yang tahu untuk kunci mulut. Nasib aku baik jadi depan mata aku sendiri. Jadi aku tahulah apa yang berlaku"
"Hah, ceritalah dekat aku. Aku nak tahu juga apa yang jadi dekat sepupu Tuan Sirhan tu."
Keisha buka telinga dia lebar-lebar. Sudah tidak peduli pada pintu lif yang sudah terbuka dan para pekerja yang lama menanti berpusu-pusu untuk masuk.
Namun, hanya separuh saja yang dapat masuk. Yang tak dapat masuk pula sudah tayang muka sebal. Dia pula langsung tidak kisah kerana ingin tahu apa yang jadi pada Firas tahun lepas.
"Kalau kau nak tahu Encik Firas tu ada fobia. Tak silap aku nama fobia dia tu haphephohia. Takut pada sentuhan. Dia pernah pengsan dekat lobi ni bila ada pekerja yang tersentuh dia."
"Terkejut kita orang semua masa tu bila Encik Firas tiba-tiba sesak nafas dan pengsan. Pekerja yang tersentuh Encik Firas tu jangan cakaplah. Pucat tak berdarah muka dia. Takut jadi apa-apa pada Encik Firas. Nasib baik dia tak kena buang kerja."
"Ya ke? Teruk betul fobia Encik Firas tu sampai boleh sesak nafas dan pengsan. Lepas tu apa jadi? Tuan Sirhan minta semua pekerja yang jadi dekat sana kunci mulut ke?"
"Yalah. Nak tutup aib sepupu dia. Dia mintalah semua pekerja yang ada masa tu kunci mulut. Aku beritahu kau ni, jangan kau beritahu dekat orang lain pula. Tak pasal-pasal aku kena buang kerja nanti."

ANDA SEDANG MEMBACA
Dear My Mr Haphephobia
RomanceEbook Series Dear My Mr Haphephobia Firas X Keisha