"Hai!"
Teguran terlebih ceria itu buatkan bebola mata Firas terguling ke atas. Dia mendengus kecil. Balikkan tubuh, sepasang anak matanya tajam memandang Keisha yang tersenyum-senyum di depannya. Firas tayang wajah sebal.
"What?!"
Keisha mencebik kecil. Dia hampiri Firas dan berdiri depan lelaki tinggi lampai itu.
"Garanglah you ni. Nak tegur sikit pun tak boleh," tukas Keisha. Masih dengan cebikan kecil di ulas bibirnya.
Firas balikkan mata. Dia berpeluk tubuh. "You nak apa sebenarnya ni, Keisha?"
"I nak you, boleh?" Sebelah kening dijongket tinggi. Keisha tarik sengih mengusik. Dia tahan gelak bila mata Firas mencerlung tajam padanya.
"You jangan nak main-main boleh tak? I tak ada masa nak main-main dengan you, Keisha," ujar Firas penuh sebal. Ada juga yang kena campak keluar dari dewan ini dengan dia. Nak main-main sangat.
"You ni tak boleh berlembut sikitlah. I tegur elok-elok pun nak marah, gurau sikit pun nak marah. Dah macam perempuan datang period." Depan-depan Keisha kutuk Firas selamba.
Terketap gigi Firas. Budak bertuah ini! Depan-depan gadis itu kutuk dia.
"Bukan main you kutuk I, kan?" Dia jegil mata garang.
Bahu dijongket. Keisha kerut hidung. "Dah you garang sangat. I tegur elok-elok tau tadi. Bukan nak ajak you bergaduh dengan I."
Nafas dihembus kuat. Firas usap belakang lehernya dengan sebelah tangan. "You nak apa sebenarnya tegur I?" kali ini dia menyoal lembut. Tidak lagi kasar seperti tadi.
Tersungging senyuman lebar di ulas bibir Keisha. Dia dekatkan diri dengan Firas dan berdiri di sebelah lelaki itu.
Terjongket sebelah kening Firas. Keisha dia nampak sudah macam kucing tumbuh tanduk. Seakan ada sesuatu yang nakal gadis itu mahu lakukan. Ini yang buat dia rasa tak senang hati.
"Itu mama dan papa you ke?" soal Keisha. Dia menuding jari pada pasangan suami isteri yang sedang berbual dengan Datuk Solehin, bapa Sirhan. Pemilik asal Maju Holding.
"Kenapa you nak tahu?" Firas berpaling memandang Keisha. Gadis itu dipandang dengan mata yang mengecil. Seakan dapat mengagak apa yang sedang bermain dalam fikiran Keisha ketika ini.
"I nak kenal dengan papa dan mama you boleh?" pinta Keisha. Dia angkat kening dua kali.
"No! Nak buat apa? You jangan nak macam-macam Keisha!" naik seoktaf suara Firas.
Terkejut punya pasal dengan permintaan Keisha itu. Habis tetamu dan para pekerja yang berada di sekeliling memandang mereka berdua. Firas sedut nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.
Terangkat bahu Keisha, terkejut dengan suara kuat Firas. Keisha cebik bibir. Dia peluk tubuh. Dia pusing tubuh sedikit menghadap Firas. Kepala mendongak ke atas memandang Firas yang lebih tinggi darinya.
"Kenapa tak boleh?"
"Kenapa I kena benarkan?"
Mereka berdua saling berbalas soalan. Saling berbalas renungan. Firas jongket sebelah kening tinggi. Berdiri dengan kedua-dua tangannya yang berada di dalam kocek seluar.
"Kedekut!" bentak Keisha kuat. Dia jeling Firas tajam. Mendengus tak puas hati sekali.
Firas sungging senyum sinis. Dia jongket bahu sekali, muka toya ditayang.
Makin tajam jelingan Keisha. Ugh!