Sepuluh biji kentang yang sudah dikupas kulitnya, Keisha potong dadu. Setelah itu dia masukkan semua kentang yang telah dipotong ke dalam periuk kuah kari yang sedang mendidih.
Dimasukkan perlahan-lahan agar kuah yang sedang mendidih itu tidak terpercik dan terkena tangannya. Bisanya boleh tahan sakit. Mahu dia berdesis sakit seorang diri dekat dalam dapur ini.
Kuah kari yang masih menggelegak itu dikacau perlahan. Seketika fikiran Keisha melayang pada pertemuan dia dengan Firas tengah hari semalam. Terkenangkan sikap dia sendiri yang selamba berterus-terang pada Firas.
Malu ada, kelakar pun ada juga. Keisha sendiri pun tidak tahu bagaimana dia boleh jadi seberani itu semalam. Sedangkan selama ini dia mana pernah sebegitu dengan mana-mana lelaki.
Tapi bila dengan Firas saja, dia jadi tidak tahu malu berterus-terang tentang niat dia untuk berkahwin dengan Firas. Bila difikir balik, dia tak menyesal pun. Sebab sekurang-kurangnya dia mengaku yang dia ada rasa suka pada Firas daripada memendam perasaan dan menunggu lelaki itu sedar akan kewujudan dia. Nak harap seperti itu, alamatnya sampai ke sudahlah Firas tidak akan sedar dengan kewujudan dia.
Dia pun tak paksa Firas untuk menerima dia. Dia cuma mahu mengurat Firas saja dulu. Selebihkan dia serahkan pada Allah. Kalau ada jodoh, Firas akan setuju untuk berkahwin dengan dia. Kalau tak ada jodoh, Firas akan tolak. Apapun keputusan Firas dia memang terima dengan hati yang terbuka. Sebab dia juga sedar dia tak boleh nak paksa Firas sukakan dia kalau lelaki itu tetap tidak mahu. Senang!
"Amboi, Isha. Kamu fikirkan apa? Dari tadi umi tengok kamu tersengih seorang diri?"
Teguran itu menyentakkan Keisha yang termenung panjang. Palingkan kepala ke sebelah kanan, dia bertembung pandang dengan Puan Jamilah. Atau tepatnya dipanggil umi oleh penghuni Rumah Anak Yatim An-Nur.
Keisha tarik sengih. Kening yang tidak gatal digarunya. "Eh, tak ada apa-apalah, umi. Mana ada Isha senyum sorang-sorang," nafi Keisha dengan wajah yang sudah memerah. Malu tertangkap dengan Puan Jamilah ketika dia sedang berangan seorang diri.
Puan Jamilah berdesit kecil. Dia tarik senyum.
"Kamu ingat umi tak nampak ke, Isha? Dari tadi umi perhatikan kamu masak sambil tersenyum seorang diri. Dah macam orang dilamun cinta. Atau kamu memang tengah bercinta sekarang ini?" serkap Puan Jamilah dengan pandangan curiga.
Dia menghampiri Keisha yang masih berdiri depan dapur gas. Dari bau saja dia sudah tahu apa yang Keisha masak untuk makan tengah hari. Mi kari. Itu memang akan jadi menu wajib yang Keisha akan masak setiap kali gadis itu bertandang ke sini. Penghuni yang lain memang suka kalau Keisha masak mi kari. Sedap katanya. Dia juga akui kesedapan mi kari Keisha.
Wajah Keisha masih memerah segan. Dia simpul senyum. Tak menjawab, tapi dia tahu Puan Jamilah boleh agak sendiri.
Terukir senyuman di bibir Puan Jamilah. Dia yakin tekaannya betul. "Jadi tekaan umi betullah, kan? Kamu bercinta dengan siapa? Tak nak kenalkan dengan umi ke?" Dia menjauhi Keisha sebelum duduk di atas kerusi meja makan. Tidak jauh dari tempat Keisha berdiri.
"Isha tak bercinta pun, umi. Isha baru nak kenal-kenal dengan dia. Err... mengurat dia sebenarnya." Sekali lagi Keisha garu keningnya yang tidak gatal. Pandang Puan Jamilah, Keisha tarik sengih.
Matikan api dapur gas, dia hampiri Puan Jamilah sebelum duduk berhadapan dengan wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Pernah menjadi salah seorang penghuni di rumah anak yatim ini, memang sejak dari kecil Keisha sudah menganggap Puan Jamilah sebagai ibu kandungnya.
Tergelak Puan Jamilah mendengar kata-kata Keisha. Kepalanya tergeleng perlahan.
"Kamu mengurat dia, Isha? Beraninya anak perempuan umi ni. Dah lama ke kamu mengurat dia?" soal Puan Jamilah ingin tahu. Tertarik dengan sikap berani Keisha. Tak pernah dia tahu Keisha boleh jadi seberani itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Dear My Mr Haphephobia
Roman d'amourEbook Series Dear My Mr Haphephobia Firas X Keisha