Berakhir sudah 'percutian' selama sebulan aku. Kini, sudah tiba masanya untuk aku kembali ke suasana asal aku yang penuh dengan masalah. Sudah tiba masanya aku meneruskan perjalanan aku yang tertangguh.
Cuaca hari ini kelihatan redup sahaja. Aku memulakan pagi aku dengan check-out dari hotel dan berjalan kaki terus ke stesen bas. Di dalam perjalanan, aku sempat singgah di kedai 7 Eleven untuk membeli roti dan air Milo untuk aku bersarapan.
Aku tiba di stesen bas itu tepat pada waktunya. Aku terus melompat ke dalam bas tersebut dan mengambil tempat duduk. Aman sekali aku rasakan kerana bas yang aku naiki ini masih banyak tempat kosong.
Aku mengambil tempat duduk di tepi tingkap supaya senang untuk aku lihat pemandangan. Beberapa minit berlalu, bas pun bergerak memandangkan sudah tiada penumpang yang ingin menaikinya.
Sepanjang perjalanan, aku hanya memikirkan tentang reaksi semua orang saat aku pulang nanti. Apakah mereka gembira? Atau mereka kecewa? Berkemungkinan juga aku akan dihalau keluar dari rumah itu. Seram pula apabila difikirkan.
Bagaimana pula dengan Haziq? Adakah dia akan meminta maaf kepada aku? Aku betul-betul berharap supaya dia sedar yang egonya itu membuatkannya hilang orang yang dia sayang. Kalau dia masih tidak sedar, aku akan terus mengabaikan dia sehinggalah dia sedar bahawa egonya itu memakan dirinya.
Ainatasha, Azyana dan Ibtisam mesti akan memarahi aku. Mereka pasti akan seperti "Asha! Awak ni kan, bahaya lah..." "Kalau saya tahu, mesti saya dah kejar awak." Seronok pula aku nak dengar mereka membebel.
Tiba-tiba aku teringat tentang tok ma... Patut ke aku pergi melawatnya? Dia pasti sudah tahu tentang semua ini. Mustahil Haziq tidak memberitahu semua ini kepada neneknya. Kalau begitu, aku pergi melawat tok ma dahulu lah sebelum pulang ke rumah! Aku pun rindu nak jumpa tok ma.
Aku menilik ke arah jam aku. Masih panjang lagi perjalanan aku, dalam kira-kira lima hingga enam jam lagi. Lebih baik aku tidur dahulu.
"Huaaaarrrrrgggggghhhh!" Aku meregangkan badanku selepas turun dari bas. Jam menunjukkan pukul 1.45 petang. Ini bermakna sudah masuk waktu solat Zuhur.
"Solat kat rumah tok ma lah!" Aku pun berjalan terus menuju ke rumah tok ma. Rumah tok ma mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja dari stesen bas. Aku teruja ingin melihat reaksi tok ma selepas melihat aku tapi dalam masa yang sama, aku juga takut. Takut dia berleter kepada aku.
Walaupun hubungan aku dan Haziq agak renggang, aku tetap sayang tok ma kerana aku sudah menganggap tok ma itu seperti nenekku sendiri. Tidak kira lah bagaimanapun hubungan aku dan Haziq, aku tetap akan sayang tok ma. Kesah apa aku? Tok ma akan tetap menyebelahi aku punyaa...
"Assalamualaikum, tok ma!" Aku memberi salam dan mengetuk pintu utama rumah itu.
"Waalaikumussalam..." kedengaran tapak kaki tok ma sedang berjalan menuju ke pintu utama. Aku menyorok di balik pintu itu. Sengaja ingin membuat kejutan kepadanya. Tok ma membuka pintu.
"Bah," kataku sambil mengangkat kedua-dua tangan ke atas. Aku hanya menggunakan nada yang perlahan supaya tok ma tidak terlalu terkejut. Kalau dia sakit jantung karang, susah pula aku.
"Chaa...! Ya Allah... terkejut tok ma," tok ma mengurut dadanya. Nampak? Kan aku dah cakap. Kalau aku buat suprise betul-betul tadi, mahunya terlentang tok ma tadi. "Cha hilang ke mana sayang? Ya Allah... risau tok ma bila dengar Cha hilang," katanya saat aku menyalami tangannya.