#13: Ayah

28 1 1
                                        

Mula Tulis: 12 Julai 2022 (05:35PM) - Selasa
Ketika sedang cuba mengumpul semangat membuat kerja sebagai seorang scheduler dari rumah.

"Hakim boleh balik? Nak minta tolong bawak ayah ke Klinik. Ayah semput, tak sihat," ujar Ibu di hujung talian.

Ketika itu, aku sedang berada di Palong, Negeri Sembilan. Kampung isteri aku. Memang gilirannya tahun ini untuk meraikan raya korban di kampung halamannya. Sebab raya aidilfitri tempohari, hari pertamanya di Kuantan, Pahang. Bersama dengan keluarga belah aku. Sebagai suami, berlaku adil adalah antara tanggungjawab yang kau harus pikul.

Aku lihat pada jam, pukul 1.34PM. Hari Isnin. Aku tidak ada masalah untuk pulang. Lalu, aku pun mula mengambil mood untuk berkemas dan bergerak. Isteri aku tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya tatkala melihat aku yang perlu pergi. Aku sendiri pun sebenarnya, tidak tahu berapa lama mampu bertahan membiarkan hati ini dirobek sayu setiap kali waktu perpisahan itu tiba. Sudahkah aku khabarkan yang kami sedang melalui fasa LDR? Sudahkah aku khabarkan juga yang LDR itu sejenis celaka yang jahat?

Aku kemudian mengambil keputusan untuk menghubungi ayah.

Sebuah keputusan yang aku harap ia diambil dengan lebih awal sebenarnya.

Sebab dihujung talian, suara ayah yang sedang terseksa setiap kali hendak berkata-kata. Nafasnya pendek dan semput. Kedengaran sangat tidak bermaya. Rasa panik mula bertandang ke dalam hati tanpa dijemput.

Tepat jam 2:30PM, aku sudah pun memulakan perjalanan ke Puchong. Sasaran tiba, pada jam 5:30PM.

Tapikan, siapa sangka yang satu hari nanti kau bakal menempuh sebuah kesesakan lalu lintas yang melampau disebabkan oleh gerai-gerai yang menjual itik salai di tepi jalan.

Itulah yang berlaku, sehingga menyebabkan aku hanya tiba di rumah pada jam 7:00PM.

Ketika tiba, aku melihat ayah sedang duduk di tikar sejadah yang terbentang di ruang tamu. Ayah tersenyum sambil menunjukkan gigi tatkala melihat aku. Aku masih lagi tidak sedar akan betapa seriusnya kondisi yang ayah sedang hadapi (yang dimana, ditimpa sesal pada penghujung penulisan ini).

Selesai ayah bersolat, aku membawa ayah ke sebuah klinik di Bandar Puteri Puchong. Disana, doctor memaklumkan yang aku perlu membawa ayah ke Hospital dengan kadar segera.

"Bacaan oksigen pakcik tak berapa baik ni. 92% saja. Sepatutnya atas dari 95%," ujarnya.

Aku terlupa hendak beritahu bahawa ketika di rumah, kadarnya adalah pada 88%. Lebih sedikit dari itu.

Ayah berkeras tidak mahu ke hospital. Dan aku sendiri pun tidak mahu memaksa. Terlalu banyak kisah-kisah tak menarik yang berlaku dalam sejarah keluarga kami melibatkan hospital. 2020, Ayah Lang sesak nafas, dan dibawa ke Hospital. Dia meninggal kerana sesak nafas. 2022, Opah dikejarkan ke hospital pada waktu malam kerana sesak nafas. Selepas koma selama beberapa hari, dia juga turut meninggalkan kami pada 08 Januari 2022.

Aku tahu ayah tak mahu mengulang sejarah, dan begitu juga aku.

Tapi, keadaan ayah agak tenat. Walaupun beberapa kali aku cuba menyedapkan hati sendiri. Aku cadangkan supaya ayah mencuba nebulizer. Fikir aku, sekurangnya oksigen ayah akan sedikit meningkat dan ayah boleh bernafas dengan lebih baik. Sumpah setakat ke waktu ini, yang berada di pemikiran aku adalah "ayah menghidap batuk kahak yang melampau".

"Pakcik, pakcik perlu ke hospital. Sebab bacaan oksigen Pakcik ni tak berapa bagus ni," ujar doktor di klinik yang kedua.

Aku dan ayah saling berpandangan. Kami sebenarnya, tahu apa tindakan sewajarnya yang kami perlu ambil. Namun, kami berdua tak sanggup. Keluar dari klinik, ayah meminta aku membelikan dia ubat batuk cap ibu dan anak. Percubaan untuk mengurangkan kahak di dalam badan.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now