#15: MIMPI - Kad Keahlian Yang Luput, Mekah, dan Ayah

38 1 2
                                    

Ketika itu, aku sedang menaiki kereta menuju ke suatu lokasi yang tidak pasti. Masa, dalam lingkungan pukul 4 sehingga lima petang. Aku ditahan oleh beberapa pegawai Majlis Perbandaran Subang Jaya.

"Minta lesen, Encik," ujarnya ketika aku menurunkan tingkap kereta.

Aku serahkan dengan tenang sambil dalam kepala berfikir, apa kejadahnya orang-orang majlis minta lesen kereta orang ni? Sejak bila mereka ada kuasa macam polis?

Selepas dia menunjukkan lesen aku pada seseorang yang berpakaian lebih tegap dan kemas (besar kemungkinan, itu bos dia), pegawai itu kembali pada aku.

"MInta dompet!"

Aku seperti bingung, menyerahkan pula dompet aku. Terdetik dalam hati yang entah-entah, aku sedang discam. Ini cara baru. Aku banyak kali berkata dengan ramai kenalan, jangan diketawakan orang-orang yang kena scam. Sebab pada aku, scam ni ada module-module yang tersendiri, bersama orang sasaran tertentu. Jika ia tidak berkesan dengan kau, mungkin satu hari nanti mereka akan jadi cukup bijak dan akan berjaya juga menipu kau.

Ini bukan doa ya.

Doa aku lebih kepada supaya semua orang tak lagi kena scam.

Pegawai itu kembali lagi dengan ditangannya memegang kad keahlian Popular Bookstore aku.

"Ini dah expired ni. Bila nak renew?"

Aku tergamam.

"Nak renew apanya? Kenapa nak kena renew?"

"Eh! Kena renew! Ini law baru! Semua kad kamu ni perlu di-renew. Kalau dah lebih tari luput, dan awak ditangkap membawa kad-kad tarikh luput ni, kamu boleh disaman!" ujarnya tegas sambil mengeluarkan lagi satu persatu kad keahlian aku yang sudah expired.

Aku ternampak kad KFC Kids Fun Club. Yang sudah semestinya sudah lama tamat tempoh keahliannya.

"Macamana kalau syarikat yang keluarkan keahlian tu dah tutup?"

"Awak cari jalan, contact diorang semula. Hantar email ke telefon ke, tanya mereka macamana prosedure nak renewkan atau tamatkan keahlian awak. Ini wajb. Warta ini sudah dikeluarkan. Bermula 1 September ni, kalau masih tak renew, awak akan disaman!"

Aku menung. Pegawai ni sekejap guna awak, sekejap guna kamu. Kalau dalam hal-hal bercakap pun tak boleh nak ada disiplin, macamana aku  nak percaya pada integritinya? Entah-entah, undang-undang tu tak wujud pun. Sebab siapa-siapa yang mendengar pun akan merasakan ia sesuatu yang bangang.

Terus, pegawa itu pergi ke khemahnya, mencapai sehelai kertas, datang semula dan menunjukkan pada aku.

"Kamu baca ni. Kalau awak tak percaya."

Aku menggeleng. Makin teruk. Aku curi hendak baca risalah tersebut. Terdetik untuk mengambil gambar dan viralkan di Twitter. Pasti akan dapat sokongan. Melihat aku mengeluarkan iPhone, terus pegawai itu menyimpan semula risalah. Aku pula, tidak meminta untuk melihat risalah itu semula. Kerana dia terus memulangkan semula dompet dan kad-kad keahlian aku yang tamat tempoh.

"Ingat! Bermula 1 September, awak kena renewkan semua! Kalau tidak, saman!" ujarnya sebelum menyuruh aku beredar.

Aku terus berjalan menuju ke sebuah gerai yang menjual goreng pisang. Ada dua lot gerai disitu. Sebelahnya tidak buka. Aku seperti tahu yang barang-barang di gerai tutup itu, tuannya sudah tidak hendak. Aku datang hendak mengambil kaki meja dan canopy. Makcik gerai sebelah memandang slack dan bila mata kami bertentang, dia tersenyum.

Dalam tengah aku mengangkat barang, datang seorang lagi makcik yang kepoh dalam keadaan tergopoh-gopoh.

"Kau tak boleh ambik barang ni semua! Aku dah cop! Blah! Blah!"

Aku menjeling pada makcik kedai sebelah. Aku tahu dia yang report.

Kaki meja tak dapat, aku terus berjalan menuju ke rumah.

Aku tiba dan suasana rumah itu, lain dari yang lain. Tidak macam rumah di Puchong Intan ataupun di taman mawar. Tapi rumah memang ada vibe 70an-80an. Di depan rumah, ada tangga batu dalam 3 anak tangga. Rendah saja.

Ketika masuk ke dalam, aku ternampak kereta Wira lama ayah sedang parking di dalam. Ayah sedang duduk di atas bonet depan, sambil berborak dengan Ibu. Riak wajah ibu sangat neutral. Menangis tidak, sedih tidak, gembira tidak. Tapi aku nampak juga Ayah yang banyak bercakap. Sebaik saja aku tiba, ibu dan ayah diam sambil memandang aku.

"Macamana Ayah ke Mekah? Okay ke?" tanya aku.

Aku ketika itu, seperti ada satu pengetahuan yang Ayah pergi ke Mekah sebagai seorang jenazah dengan menaiki kapal terbang, dan balik dengan kuasa Allah tanpa menggunakan sebarang kenderaan di dunia.

"Okay, okay. Okay sangat. Nak pergi tu jela urusan tu susah sikit. Tapi bila dah sampai, Masya Allah cantik betul Kaabah. Ayah nak balik pun senang je urusannya. Terus je sampai."

Aku juga seperti tahu. Yang aku tak boleh bertanya terlalu banyak. Kerana di hadapan aku sekarang, Ayah yang sedang semacam terlupa dia sudah meninggal. Bila aku terlalu banyak bertanya, bayangan ayah ini akan hilang untuk selamanya.

Aku cuba bertanya lagi beberapa soalan. Tapi ayah mula lambat hendak menjawab. Seperti internet yang sedang buffer. Soalan ditanya, hanya akan dijawab selepas 10 saat.

"Hakim, ibu masuk dalam dulu ya. Nak solat Maghrib," ujar Ibu pada aku tapi bukan pada Ayah.

Ibu pun masuk ke dalam.

Aku memandang ayah. Ayah tersenyum memandang aku sambil masih duduk di atas bonet depan Wiranya, seperti tidak ada apa-apa. Sumpah aku rindukan Ayah. Suaranya, perilakunya, gelagatnya, gurauannya. Semua-semuanya aku rindukan.

Aku memandang ayah untuk kali terakhir.

"Ayah, Hakim masuk dalam dulu ya. Hakim pun nak solat Maghrib. Nanti ayah datanglah lagi. Assalamualaikum," ujar aku dan terus berjalan menaiki tangga rumah.

Dan aku pun terjaga.

Ditulis pada: 14 Ogos 2022 (Pukul 09:36PM), ketika 7 sahabat datang melawat ibu di rumah Puchong Intan.

Mimpi: Ketika tidur pada pukul 11 Pagi, hendak menunggu Zohor. Terjaga pada jam pukul 2:00PM.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now