#17: MIMPI - Rindu yang masih berbaki dan tidak pernah mati

21 2 0
                                    


Mula Tulis: 18 April 2023 (10:11AM) - Selasa
Ketika di pejabat dan aku sedang menyiapkan kerja-kerja hakiki sambil mencari ilham untuk menulis surat perletakan jawatan.


Aku tak ingat bagaimana aku boleh berada di Sabah. Tapi aku tahu, ketika itu, aku berasa sangat asing dan jauh dari segala hal. Aku sunyi namun ia sekadar terlafaz dari bahasa tubuh yang semakin matang. Aku rasa ketika itu, umur aku masih 32. Aku menerima satu jawatan kerja di sebuah kawasan separa terpencil di Sabah. Ia tidak terlalu ceruk. Ada rumah-rumah kedai di sekeliling namun suasananya tidak semoden seperti di Kuala Lumpur. Lebih kurang macam di pekan Acheh di Indonesia. Ramai orang berjalan dalam kelajuan yang sederhana. Semuanya seperti ada matlamat dan destinasi sasaran.

Aku pula ketika itu, hanya berjalan kosong tanpa tujuan. Rumah emosi di dalam diri, tidak ada satu penghuni yang nyata. Semuanya, suka, duka, sedih, pilu, gembira, sekadar datang, singgah, dan pulang. Tidak tinggal dan menjadi penduduk kekal. Di dalam kepala pula, terlalu banyak perkara yang berlegar namun juga tidak menetap secara tetap.

Sehinggalah mata aku tertangkap kepada satu individu. Yang aku terus kenal walaupun yang dilihat hanyalah bahagian belakang badan. Sedang berjalan keluar dari sebuah kedai acheh dan aku seperti tahu dia baru selesai membeli rokok seludup jenama kegemarannya. Dia memakai kurta berwarna krim dan berseluar slack straight cut berwarna hitam. Rambutnya pendek dan nipis.

Aku terus berlari ke arahnya. Jarak aku dan dia ada dalam 100 meter. Ketika sampai, aku dengan begitu yakin mencuit bahunya. Dan segala keraguan aku (yang aku percaya tidak ada), terpadam terus tatkala dia menoleh ke arah aku.

"Ayah datang? Kenapa ayah datang sini? Jauh ni kena naik flight."

"Oh, ayah nak tengok Hakim," ujar Ayah dengan suara yang sebenarnya aku terlalu rindukan.

Aku tahu ketika itu aku bermimpi. Namun aku tidak ada kekuatan untuk menahan diri dari hendak terjaga. Aku memeluk ayah dan aku menangis semahunya. Aku tahu masa perpisahan akan tiba tidak lama lagi. Walaupun betapa kuat aku menahan dari pertemuan ini berakhir.

"Jangan nangis. Kan ayah ada ni."

Suara ayah itu memberitahu aku bahawa segala rasa yang lahir ketika ayah pergi meninggalkan aku, masih ada. Walaupun setiap hari aku tanam dan cuba sedaya upaya untuk tidak memainkan lagunya. Sehingga aku nyaris terlupa, betapa aku rindu segala-galanya tentang dirinya.

Dan, ketika ayah, membalas semula pelukan aku, aku terjaga.

Bersama air mata yang mengalir dengan begitu derasnya.

Waktu Mimpi: Selepas bersahur dan solat Subuh.

P/S: Aku tidak membuka mata pun ketika terjaga tu. Aku paksa juga untuk tertidur semula, bersama harapan yang aku akan bermimpikan ayah sekali lagi. Namun, seperti biasa. Mimpi itu sifatnya sangat liar dan sesuka hati. Mimpi seterusnya di posting yang seterusnya.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now