-Ayah balik kampung semalam. Ayah Lang kena potong kaki. Kencing manisnya dah teruk.-
Demikian whatsapp yang aku terima dari ayah pada hari Jumaat 15 March yang lalu. Aku yang sedang sibuk dengan urusan kerja, terhenti sejenak. Menung jauh sambil di dalam kepala mula membayangkan wajah Ayah Lang. Dia semakin kurus semenjak bercerai dengan Mak Lang. Tidak berkerja dan sekarang kehilangan kaki, dugaan yang besar sedang dihadapinya.
Aku teringatkan yang Ayah aku juga ada kencing manis. Rasa risau mula menyelubungi aku dengan laju. Satu panggilan telefon diberi. Setelah berbual lebih kurang, aku menyatakan satu ayat yang aku kirakan penting.
"Hakim balik Puchong petang ni."
*******
Kita tak ada banyak masa untuk segalanya, atau pada apa saja yang kita sedang miliki. Semuanya ada tarikh luput.
Sebagai contohnya pada aku. Jujurnya, aku sedang menghadapi sisi kerjaya yang amat memberansangkan. Aku dibayar dengan jumlah yang baik serta beban kerja yang tidak keterlaluan. Setiap hujung bulan, aku mampu simpan duit, beri pada kedua ibu bapa, dan makan benda sedap-sedap. Namun sampai bila?
Kontrak yang aku tandatangan meletakkan tarikh sehingga 2020. Setahun saja. Itu pun dijangka lebih awal berdasarkan pada keadaan projek yang aku sedang jaga. Boleh jadi, bulan 8 atau 9, aku akan kembali menganggur. Jadi, apa yang patut aku buat?
Aku perlu mula merancang. Kau, aku, kita semua. Merancang dengan cara memahami, segala yang kita ada hari ini, tak mustahil akan hilang esok. Dari sekecil-kecil dibuang kerja, ataupun hilang upaya dan anggota. Kerana semua yang kita ada ini, hanyalah pinjaman.
Tapi yang jahatnya tentang merancang ni, ada saja halangan yang datang. Sebagai contoh, sekarang, perut aku lapar. Jadi aku terasa mahu menghadiahkan diri sendiri beberapa keping pizza. Heh, membayangkan pizza pada pukul 2 pagi ni memang gila.
Itu yang aku fikir sepanjang lima jam perjalanan memandu kereta dari Pengerang menuju ke rumah. Apa sahaja yang sedang dibualkan oleh rakan kerja (yang turut sama menumpang pulang), langsung tidak melekat di kepala.
Semoga Tuhan memaafkan aku.
*******
Aku di kedai sekarang. Menguruskannya serba sedikit selepas sekian lama meninggalkannya. Petang semalam, aku ke GM Klang, membeli beberapa stok Beyblade untuk dijual. Belum apa-apa, separuh sudah laku dan aku perlu merancang ke GM Klang sekali lagi.
Ayah duduk di kerusi sambil melihat telefon. Mungkin Whatsapp, mungkin Facebook. Aku pula, sambung buat kerja kira-kira untuk menyemak sejauh mana kedai ini boleh bertahan dengan kadar perolehan yang amat minima. Sambil itu, aku curi lihat pada ayah. Rambutnya sudah lama beruban. Sekarang, hampir semuanya ikut putih. Kanak-kanak yang membeli Beyblade tadi, sudah pun memanggil ayah sebagai atuk. Air mata aku hampir mengalir atas dua sebab.
Satu, kerana aku masih lagi belum berkahwin. Atuk apanya jika tidak mempunyai cucu. Ya tidak? Ah kau ketawa pula aku serius ni.
Yang kedua, tentang masa yang bergerak terlalu pantas. Ayah semakin tua. Begitu juga ibu. Entah Allah pinjamkan aku mereka berdua ini sampai bila agaknya. Aku harap ianya lama lagi.
"Boleh tahan ya Beyblade yang Hakim beli tu. Laku keras," ujar Ayah.
"Hakim dah kata dah hari tu. Kalau awal lagi Hakim beli, mesti sekarang lagi banyak duit kita dapat."
Ayah bangun dari kerusi, menuju ke pintu. Aku tahu dia mahu hisap rokok. Dalam kedai, aku tak benarkan. Sengaja sebenarnya sebab aku berniat hendak menyusahkan ayah. Biarlah perlu usaha sedikit jika mahu merokok. Merokok itu bukannya baik pun.
"Kalau dah tertulis rezeki tu kita punya, kona (corner/belok) ikut mana pun akan sampai ke kita jugak."
Aku tersenyum.
Semoga kita semua ada masa yang cukup untuk membalas jasa kedua-dua orang tua kita.
Amin.
Ditulis pada: 24 March 2019 (Ahad), Di Pengerang, Johor.
P/S: Aku akan ke Pesta Buku Kuala Lumpur pada 30 March ini. Jika mahu berjumpa dan berbual kosong, boleh la menghadirkan diri ke Booth Lejen.
Gadis berwajah cun, amat digalakkan.
![](https://img.wattpad.com/cover/172597392-288-k118930.jpg)
YOU ARE READING
Sembang Mikael (New)
RandomKetika kopi, senja, dan kenangan lama, sama-sama datang menemani jiwa yang sentiasa mahu bercerita. Sama feel-nya seperti petang kau yang ditemani air teh O dan cekodok panas. Bersama rakan berbual yang sentiasa berborakkan segala macam hal. Kalian...