#6: Keinginan, Raya, dan Dua Puluh Lapan

174 10 3
                                    

Hai.

Fun fact, 'Hai' yang aku tulis di atas itu, lahir dari bulan empat tempohari. Persedian untuk penulisan sempena hari lahir yang ke dua puluh lapan. Semenjak itu, tidak ada tulisan lain yang kekal (tulis kemudian padam) atau lahir dengan baik sehinggalah hari ini.

Aku kehilangan punca untuk menulis.

Dan itulah (antara) isi utama sembang kita hari ini.

*******

Minggu lepas ialah mood Raya dan aku sentiasa mahu membawa watak sebagai seseorang yang teruja padanya. Kau tahu, Raya sepatutnya tentang kegembiraan. Saudara aku ramai tapi sayang, seorang pun aku tak betul-betul kenal. Jadi raya kali ini sama seperti yang sebelum-sebelum, dihabiskan pada makan lemang dan berbaring menunggu sehingga hari itu habis supaya aku boleh tidur menanti ketibaan esok.

Raya kalian serupa?

Jika serupa, kenapa ya?

Adakah kerana kita ni Introvert? Bercakap dengan manusia lain adalah kerja renyeh yang menyusahkan? Aku tak tau. Aku tak mahu ia dijadikan alasan.

Kerana ketika aku di Pengerang, aku yakin jika aku tidak dapat berinteraksi dengan manusia dalam tempoh 36 jam, aku boleh jadi gila dengan permikiran sendiri. Dan itu lagi menakutkan.

Ya, hilang diri sendiri itu menakutkan.

Banyak juga yang berlaku ketika di Perak. Ayah Lang aku sebelum puasa, dipaksa untuk memotong kaki kerana kencing manis. Maka aku dan Ayah perlu pulang awal ke kampung untuk membantunya membuat permohonan pada badan-badan yang boleh membantu. Sepanjang tempoh itu, aku berasa betapa tidak bersyukur aku pada kaki sendiri. Dan betapa terlambatnya kita kerana hanya menghargai sesuatu ketika ia benar-benar bukan milik kita lagi.

Malam sebelum Raya. Ayah aku keluar ke surau. Ibu dan Opah sudah tidur kerana kepenatan. Aku turun ke tingkat bawah dan melihat Ayah Lang duduk di kerusi roda sambil menghadap dinding. Dia tidak tidur. Agak jelas dia sedang berfikir. Ketika ini juga aku sedar yang aku tak pernah diuji menghadapi situasi kehilangan sebegini. Badan aku seperti tidak mahu meraikan kesedihan pun. Lebih kepada mahu mengelak.

Aku takut.

Apa yang aku nak cakap nanti?

Bagaimana kalau apa yang terkeluar dari mulut aku mengecilkan hatinya?

Aku tak tahu.

"Tak tidur lagi?" ujar Ayah Lang dari kerusi.

Aku baru sedar yang sudah 20 minit aku di tangga dengan anak mata memandang ke arahnya tapi tidak fokus.

*******

Ketika di Pahang, situasi sedikit berbeza.

Aki (atuk) aku sudah uzur. Begitu juga Wan (nenek). Dua-dua dah tak boleh berjalan jauh. Banyak menghabiskan masa di kerusi sambil mengadap tv dan kadangkala bangun untuk menunaikan solat di ruang tamu.

"Kerja macamana?" tanya Aki usai memberikan salam.

Aku berganjak sedikit ke hadapan dan duduk bersebelahan sambil memandang secara berhadapan.

"Okay saja. Hakim plan nak kerja ke luar negara."

Aki aku diam sebentar. Kemudian dia menceritakan pula tentang kisah jirannya yang ada anak bekerja di Dubai. Dalam cerita itu, aku dengar suaranya teruja. Mungkin selepas ini jika topik yang sama dikeluarkan oleh jirannya, dia berpeluang nak sebut "cucu aku".

*******

Aku tidak pasti kerana kedudukan aku yang berada jauh dari semua benda, ataupun kerana kesihatan jiwa aku berada di posisi yang tidak baik. Tetapi aku merasa keinginan aku untuk bekerja jauh dari sini semakin hari semakin memuncak. Aku boleh kaitkan dengan banyak benda. Semestinya ia membabitkan dengan cinta.

Ketika aku berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Mary (yang sekarang sudah jelas cuma aku yang gemar sabotaj perasaan sendiri), dari Selangor, aku memilih untuk lari ke Johor.

Ketika aku berasa dikhianat oleh Fatin (yang sekarang sudah aku ketahui rupanya tidak ada apa pun yang pernah berlaku), dari Selangor, aku memilih untuk lari ke Melaka.

Selangor adalah negeri di mana aku bertemu cinta, dan dihancurkan. Aku tidak mahu berada lama di sana walaupun negeri itu ada banyak hiburan yang boleh aku guna pakai dan melekakan.

Ini tidak sihat.

Lari dari kekecewaan hati sendiri tidak sihat tapi apa saja yang boleh aku buat?

Tapi, hendak kata aku lari pun, sebenarnya hampir setiap malam aku berfikir tentang mengapa. Yang aku boleh konklusikan sekarang ialah kerana aku tidak mempunyai sesiapa pun buat masa ini. Mungkin bila hadir satu lagi hati untuk dijaga, aku akan berasa lebih baik tentang diri sendiri?

Ah, bercakap tentang cinta.

Aku tidak tahu la.

Aku tau apa yang aku ada. Dan aku tau masalah apa yang aku bakal bawa kepada sesiapa pun. Aku selalu fikir yang aku ini tidak berbaloi untuk dirisaukan. Lihat sajalah yang lain. Sekarang elok saja gembiranya bersama cinta sejati.

Aku sesat sekarang. Tapi, aku sendiri tak begitu berahi pun mahu keluar dari kurungan ini.

*******

Ketika itu selepas senja di tahun 2007.

Untuk pertama kalinya kami bercinta (atau apa yang aku fikir ketika itu). Teruja, lalu aku tuliskan secara terperinci tentang apa yang berlaku pada saat aku meminta cinta daripadanya.

"Menarik. Fatin suka apa yang Akmal tulis."

Aku seperti mahu menulis untuk selama-lamanya.

Ketika itu malam di tahun 2010.

Mary duduk di buaian mendengar cerita tentang cinta pertama aku. Kami masih belum bercinta lagi ketika ini. Saat pulang, dia menarik aku ke tepi. Suaranya berbisik demi hendak melawan bunyi bising kereta yang melintas di jalanan. Namun aku dengar dengan cukup jelas,

"I suka apa yang you ceritakan."

Aku seperti mahu bercerita untuk selama-lamanya.

Sekarang.

Yang ada cuma sekarang.

Dan keinginan yang dilihat seperti mati tapi masih bersisa dalam sepuluh peratus bersama harapan agar diberikan peluang untuk bernyawa semula.

Ya, aku perlu ke luar negara.

P/S: Sempena Hari Lahir aku pada 20 May yang lepas, aku berharap

1. Untuk berjaya bekerja di luar negara bermula tahun 2020

2. Mempunyai simpanan kukuh (RM100,000 aku kirakan kukuh)

3. Mempunyai semula sebab untuk terus menulis dan bercerita. Adakah anda sebabnya? Jika anda rasa Ya, taip CINTA dan hantarkan ke 36788. Saya tunggu.

Siap tulis: 14 June 2019


Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now