Ketika itu, ia petang yang sedang menuju senja.
Aku berada di sebuah persediaan majlis perkahwinan cara kampung/tradisional yang agak meriah. Orang ke hulu ke hilir membuat kerja-kerja memasang khemah, memasak, membuat pelamin, dan pasang lampu lip-lap.
Aku berdiri seperti bodoh di tengah-tengah keramaian orang itu. Ibu aku ada di sebelah.
Aku tidak pasti ia untuk meraikan siapa. Sehinggalah aku memandang ke baju yang aku sedang pakai. Baju melayu, bersampin ikat pendekar, siap ada sisip keris di pinggang. Celaka, pengantinnya adalah aku.
Ibu aku berjalan ke depan. Aku mengekorinya. Aku semakin yakin ini adalah kenduri aku apabila aku bertembung dengan beberapa rakan ketika aku kecil dan mereka semua mengucapkan tahniah yang tidak berbelah baginya pada aku. Aku menerima semuanya dengan ucapan terima kasih. Sedangkan mereka tidak tahu, betapa risaunya aku sekarang.
Di majlis kahwin aku, dan aku tidak tahu siapa agaknya yang bakal menjadi isteri sendiri. Tidakkah kau rasa mahu berdebar.
Aku seperti tahu yang majlis ini dijayakan oleh ibu aku. Dan bakal isteri aku juga adalah pilihan ibu aku sendiri. Masalahnya, aku langsung tidak pernah melihatnya. Perasaan risau makin mencanak-canak. Ibu aku duduk di gazebo kayu berbumbung di tepi pagar rumah kayu ini. Oh ya, aku lupa nyatakan yang majlis ini diadakan dalam laman rumah kampung yang agak luas. Ada sawah padi di kiri dan kanan rumah. Tapi aku tidak fokus sangat. Aku masih lagi takut dengan siapa aku akan kahwin ni.
Aku keluarkan telefon bimbit dan membuat pencarian lokasi di Google Maps.
Aku sedang berada di Pahang. Daerah mana, aku tak dapat lihat dengan teliti. Dalam mimpi, segala tulisan jadi kabur dan kau sukar nak fokus untuk membacanya. Kemudian, aku membuka aplikasi WeChat (yang entah macamana boleh ada dalam telefon ini). Aku ingin tahu, gadis yang macamana ada di sekitar sini.
Sebenarnya, aku lebih kepada nak tahu rupa yang macamana aku boleh jangkakan.
Pencarian aku gagal memberikan jawapan yang menenangkan dan aku semakin risau.
Aku tidak pernah berjumpa, apa entahkan lagi berbual dengannya.
Bagaimana kalau aku tidak sukakanya tatkala kali pertama kami bertentang mata nanti? Hendakkah aku hidup dalam kekusutan kerana berkahwin dengan seseorang yang aku tidak suka?
Ah, kerisauan aku memuncak sampai aku rasa mual. Rasa nak muntah.
Tak boleh jadi.
Aku menghampiri ibu aku untuk bercakap, tapi berat mulut rasanya hendak bertanyakan tentang ciri-ciri bakal isteri aku, terutama pada wajahnya.
Apabila aku sudah hampir menemui kekuatan untuk bertanyakan tentang hal itu, datang seorang makcik bersama beberapa orang di belakangnya.
"Hakim okay ke?" tanyanya.
Aku tidak boleh fokus.
"Maaf makcik. Saya kena bercakap dengan ibu saya sekejap. Penting. Maaf ya," ujar aku dengan senyuman. Kemudian aku bangun dan menarik ibu aku jauh sedikit dari Gazebo. Ibu memandang aku pelik.
"Ibu, Hakim risau. Macamana kalau Hakim tak suka dengan bakal isteri Hakim tu? Hakim dah la tak pernah jumpa dia."
"Laaa, tadinya tu bakal mertua Hakim la. Dia nak jumpakan Hakim dengan bakal isteri Hakim la tadi."
Aku tepuk dahi sendiri.
Kami berdua kemudian berjalan di celahan orang ramai mencari bakal isteri aku.
Kemudian, ibu aku menunjuk ke arah satu wanita yang berpakaian pengantin. Sama warnanya dengan baju aku.
Aku lihat dia dari belakang. Wajahnya aku belum nampak. Dia sedang melayan cakap dengan seorang budak perempuan. Dari situ, aku seperti dapat merasakan yang dia seorang yang aktif, mampu berdikari, sempoi, dan tabah menghadapi dugaan hidup. Karenahnya nanti, aku mahu layankan sampai aku tua. Aku tak tahu macamana aku tau, tapi aku tau.
Badannya sederhana. Tingginya juga, menghampiri aku.
50% aku sudah lega sebenarnya. Sehinggalah dia menoleh dan aku melihat wajahnya.
Kulitnya putih. Walaupun ada kesan tompok-tompok merah di muka, namun itu langsung tidak mengurangkan peratus lega aku tadi.
Matanya, itu. Matanya.
Melalui matanya, aku mengenali erti damai.
Dan kami pun bertentang mata untuk pertama kali.
Dia berjalan menghampiri aku.
"Hai," ujarnya.
"Ini Hakim. Ha, Hakim. Inilah bakal Isteri Hakim."
Dia tersenyum memandang aku. Tiba-tiba, aku hilang segala ilmu tentang perkataan.
Adakah ini yang dinamakan sebagai cinta pandang pertama?
Dia kemudian meminta diri untuk pergi kerana perlu menguruskan sesuatu. Sambil matanya memandang tepat ke dalam mata aku sekali lagi sebelum berlalu.
*******
Aku dan Ibu kembali semula ke Gazebo tadi.
Ketika itu, ada bacaan doa disempurnakan seorang budak lelaki berusia lebih kurang 17 tahun. Untuk pertama kalinya aku mendengar bacaan doa dilakukan dengan iringan musik. Sudahlah begitu, bacaannya langsung tidak serius. Siap ada gelak-gelak lagi. Tapi aku tak ambil port dah.
Aku sudah pun selamat angau.
"Lain betul budak-budak sekarang. Semua benda nak baca main-main."
Aku menenangkan ibu dengan berkata,
"Ala biasalah. Budak-budak."
Memang sah aku sudah angau!
Ketika itu, aku terpandang pada cermin tingkap yang pantulannya menunjukkan wajah aku. Aku memegang rambut sendiri. Serabai. Muka ada sedikit jerawat. Dan yang utamanya, aku rasa hodoh. Jauh beza dengan wajah bakal isteri yang aku kategorikan sebagai syurga.
Terus terdetik dihati sendiri.
Apakah dia gembira tatkala kami bertentang mata untuk kali pertama sebentar tadi?
Ah, rasa bersalah sudah mula menikam-nikam tubuh sendiri.
Tapi, aku teringat senyumannya.
Hm, mungkin dia suka la kot dengan apa yang dia lihat.
Kahkahkah, memang confirm la aku angau teruk ni.
Tiba-tiba, akal aku memberikan dua soalan killer untuk petang yang sedang menuju senja ini.
"Ibu, Hakim nikah ni bila?"
"Malam ni la. Lepas Maghrib."
Aku angguk perlahan.
"Nama bakal isteri Hakim tu siapa?"
Ibu aku terus jadi gelabah.
"Alamak, ibu pun terlupa la namanya. Kalau tak tahu nama, macamana nak akad nikah nanti yedak?"
Tepat sekali wahai ibuku yang tercinta.
Terus kami berdua kelam kabut bangun dan mencari siapa-siapa yang kami rasakan tahu.
Sampailah kami berjumpa semula dengan bakal ibu mertua aku tadi.
"Ni, Hakim ni nak tanya. Siapa nama bakal isterinya tu," tanya ibu aku. Aku tahan debar.
"Oh, namanya...."
Dan aku pun terjaga.
Ditulis pada: 4 April 2019 (Pukul 4.35 Pagi), betul-betul ketika selepas terjaga dari mimpi ini.
Di Pengerang, Johor.
YOU ARE READING
Sembang Mikael (New)
RandomKetika kopi, senja, dan kenangan lama, sama-sama datang menemani jiwa yang sentiasa mahu bercerita. Sama feel-nya seperti petang kau yang ditemani air teh O dan cekodok panas. Bersama rakan berbual yang sentiasa berborakkan segala macam hal. Kalian...