#3: Serabai

210 9 0
                                    

Terjaga.

Capai phone.

Lihat jam.

Pukul 5.30 pagi.

Ah, ada masa lagi.

Aku tarik selimut, mahu terus berlayar semula.

Rose nampaknya bersetuju dengan tindakan aku. Kerana dia panjat semula ke atas katil dan menyelit tidur di celah ketiak. Aku usap kepalanya dengan perlahan sebelum terlelap semula.

Dum! Dum! Dum!

Pintu diketuk dengan kuat.

Aku terjaga dalam keadaan seperti hendak melompat. Menambahkan debar apabila telinga aku menangkap dialog yang berbunyi;

"Dah pukul lapan pagi dah woi! Bangun! Bangun!"

Inilah padahnya jika sambung tidur. Aku mencarut panjang.

Dengan lincah, aku bangun dan berlari menuju ke bilik air. Tanpa sengaja, aku tersepak kepala Rose. Dia mengeow tanda protes. Dari dalam bilik air, aku ucapkan maaf berkali-kali.

Gosok gigi, sabun badan, dan shampoo.

Selesai bilas dan lap tubuh, aku cuci muka, pakai deodorant, sembur minyak wangi.

Telan dua butir kapsul minyak ikan, sarung baju dan pandang cermin.

Rambut aku boleh tahan serabainya. Tapi aku sering menganggap yang kerja meletakkan wax pada rambut adalah leceh. Sudahlah rambut aku ni degil, bila dah dibikin pun muka masih maintain buruk. Untuk apa aku habiskan masa lebih 20 minit semata-mata untuk nampak lebih buruk? Para hadirin, sudi jawab?

Minyak wax yang sudah lama tidak digunakan itu, mula memandang aku dengan muka yang merayu. Aku terdengar seperti ada jeritan bercirikan awek yang berbunyi "gunakanlah aku, gunakanlah aku." Hati aku lemah.

Pintu diketuk dengan kuat sekali lagi.

"Lambat tinggal la! Tak kuasa aku nak tunggu kau!"

Keputusan harus dibuat. Aku memandang sayu pada wax rambut sambil berbisik perlahan,

"Maaf, bukan kali ini."

*******

"Kau ni cuba la kemas sikit. Rambut panjang. Janggut serabai. Kalau aku ada anak dara, tak hinginnya aku kahwinkan dengan kau," ujar Abang Azman, rakan kerja aku yang berumur 50an sambil terus steady memandu Navara. Dia ada jiwa abah-abah sebab dahulu bekas askar. Sudahlah bekas askar, lahirnya pula di Melaka. Itu yang bila bercakap, semua dialog jenis terus tikam ke tubuh punya. Tak pernah nak kasi can!

"Eleh Abang Azman, sembang kalau ni, lembu boleh terbang," ujar aku sambil perlahan kesat air mata sendiri. Ya, aku gunakan lembu, bukannya babi seperti yang selalu disebut dalam Twitter. Aku tak nak merasa pelempang yang dilemparkan oleh seorang askar. Dan juga, aku sengaja memanggilnya abang. Aku perasan setiap kali aku panggil abang, mesti dia rasa sedikit seronok. Aku rasa, semua orang dalam range umurnya suka jika dianggap sedikit muda dari usia.

"Itulah kau. Tak pandai. Karang kalau melintas makwe Petronas depan kau, tak smart macam gini, mana dia nak layannya. Tak ke rugi?"

"Saya mana ada masa nak bermakwe ni semua, Abang Azman. Busy kerja ha."

Azman membuka sedikit tingkap belahnya. Dikeluarkan vape, disedut dan dihembus melalui bukaan tingkap tadi. Wajahnya serius, menyebabkan aku tersenyum mengadap depan seperti orang bodoh. Ada semacam satu pertanyaan serius yang hendak diutarakan.

"Kau gay ke?"

Aku ketawa terbahak-bahak. Kerana pada fikiran aku, ruginya menjadi gay. Sudah diciptakan secantik-cantik makhluk Tuhan, kenapa nak juga bercinta dengan satu lagi makhluk Tuhan yang banyak masalah?

Selesai ketawa, aku pandang semula kepada abang Azman, Wajahnya semakin serius.

"Err tak, tak. Saya tak gay."

Abang Azman sedut lagi vapenya.

Begini rupanya perasaan jadi anak kepada seorang askar.

*******

Aku istiharkan hari ini sebagai Hari Malas aku.

Sudahlah hari Jumaat, mana ada mood lagi nak bekerja.

Aku lihat jam, sekarang sudah pukul lima. Ada lagi satu jam sebelum waktu pulang. Aku pun bangun dari meja dan berjalan menuju ke surau di tingkat atas.

Ketika itulah ianya berlaku.

Seorang makwe Petronas yang lawa sepertinya sedang sesat. Matanya meliar melihat bilik makmal di kiri dan kanan.

Aku tarik nafas panjang, sisirkan rambut aku ke belakang, dan berjalan perlahan ke arahnya.

Langkah aku terhenti ketika kami bertentang mata. Wajahnya bertukar risau. Ah setan.

"Err, cari bilik ke?"

"Err, tak apa tak apa. Saya boleh cari sendiri," ujarnya kemudian jalan ke arah yang bertentangan.

Aku tepuk dahi sendiri. Entah kenapa aku sebut bilik. Rasa macam tanya soalan yang berbaur sangat negatif.

Kebetulan, Abang Azman yang sedang dalam perjalanan nak ke tempat menghisap rokok di bahagian tepi bangunan, melihat semuanya.

"Abang dah cakap. Kalau kau dengar nasihat abang, bulan depan ni mungkin dah kahwin dah kau."

Aku rasa macam nak hisap rokok pulak sekarang,


Ditulis pada: 2 April 2019 (Selasa)

Di Pengerang, Johor.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now