#9 - Ketika aku jatuh cinta pada gadis yang sama untuk kali yang ke 56

183 8 2
                                    

Ditulis pada: 20 Januari 2020

Aku tiba di Terminal Bas lewat dari waktu yang sepatutnya. Entah apa gila si pemandu bas, dia mengambil keputusan untuk mengikut laluan yang diluar kebiasaan. Tapi aku maafkan, kerana jika tidak dia yang menengking orang di kaunter tiket kerana mereka cuba hendak melewatkan perjalanan bergerak, mesti jadi lebih lambat aku.

Aku melihat jam, aku sebenarnya tidaklah terlalu lewat dari waktu asal. Kerana kalau nak diikutkan, jam 6 petang sepatutnya aku baru boleh mula naik bas. Tapi, aku sudah campakkan semua kerja Jumaat ke hari sebelum. Dengan strategi yang aku kirakan baik, aku boleh naik bas pada pukul 1.30PM.

Tapi kau tau sajalah orang yang sedang angau ini. Sesaat itu pun sudah aku kira terlalu lama. Inikan pula makan hampir satu minggu tidak berjumpa. Jam sekarang menunjukkan pukul 7:40PM. Rugi, rugi. Aku mahu habiskan sepenuhnya masa aku hanya untuknya sekarang.

Aku sedang berdebar sebenarnya. Kerana pada komunikasi terakhir aku dengannya, dia maklumkan bahawa telefonnya akan mati pada bila-bila masa. Kehabisan bateri. Lalu dia tidak boleh menunggu terlalu lama.

Aku terus jadi gila.

Dari bas, aku terus berlari sprint menuju ke stesen LRT. Aku kagum pada dua perkara tentang keupayaan aku ketika ini. Satu, pada kemampuan aku memikul beg yang aku kira ada dalam 15KG. Kedua, pada kemampuan aku untuk berlari tanpa henti.

Aku kira Tuhan nampak effort aku dan dengan pantas dia hadirkan LRT sebaik saja kaki aku menjejak stesen. Aku tak perlu menunggu lama pun.

Dan kau tahu, aku boleh naik mana-mana gerabak pun yang aku suka. Tapi, punyalah Tuhan nak menyuruh aku tersenyum, gerabak yang aku naik itu berhenti betul-betul dihadapannya ketika sampai di Masjid Jamek. Dia tidak melihat aku kerana sedang sibuk duduk sambil menyelak surat khabarnya. Jika tidak, dia mesti akan tau bagaimana muka aku ketika betul-betul sedang bahagia.

Aku berjalan seperti biasa dan duduk di sebelahnya. Ada dalam beberapa saat sebelum dia tersedar, yang disebelahnya adalah aku. Melihat senyumannya selepas itu, aku tidak mahu yang lain lagi.

Dia dengan girang melipat baju untuk menunjukkan sedikit lengannya.

"You tahu, I tulis nombor you dekat sini. Kot la kalau phone mati dan I nak kena call you. I plan nak call guna public."

Walaupun aku dengan begitu tenang seperti tidak ada apa-apa ketika mengucapkan "ada lagi ke public phone?", tapi sebenarnya hati aku gembira yang tak terkata. Kerana bila kali terakhir seseorang mencatatkan nombor telefon kau di lengan? Bagi kau orang mungkin kecil, tapi pada aku ia besar.

Masalah manusia ego ni. Tuhan yang melihat pun aku rasa sedang menggeleng kepala.

Dan ini merupakan kisah tentang aku yang jatuh cinta pada gadis yang sama untuk kali yang ke 56.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now