20 Mei 2020 (Rabu)
10:31AM
Aku rasa, semangat menulis aku sudah semakin mati ni. Tunggu masa dikubur dan ditalkin saja.
Kau tahu, aku ada rancangkan beberapa siri penulisan yang akan mengisi masa lapang kalian. Terutamanya ketika Covid 19 sedang melanda dunia dengan amat hebat. Dalam awal April lebih kurang. Namun seperti biasa untuk penulis separuh masa seperti aku, haram.
Tapi sejujurnya, aku tidaklah terlalu marah kepada diri sendiri seperti selalu. Berbanding sebelum ini, kehidupan aku untuk tahun 2020 ni bermula dengan agak baik.
Hari ini adalah hari lahir aku yang ke 29. Satu angka lagi sebelum tergolong dalam team orang tua. Team 3 series. Tak sangka Allah kurniakan umur yang sebegini panjang pada aku. Hal ini menyebabkan aku rasa teringin hendak merancang hidup dengan lebih lama lagi.
Pernah tidak, kau luangkan masa untuk memikirkan tentang apa yang yang sudah dan hendak dicapai? Jika tidak ada, lebih baik kau buat sekarang. Letakkan dua jenis sasaran. Satu, jenis yang boleh dicapai. Dua, jenis yang hampir mustahil untuk dicapai tapi boleh. In Shaa Allah, perjalanan hidup kau selepas itu akan lebih ada makna berbanding yang sebelum-sebelum ni. Aku berani jamin.
Bila setiap kali hendak jumpa hari lahir, aku mesti akan recap balik tentang apa saja kehendak yang ditulis. Aku nak tahu, apa mood yang aku bawa untuk permulaan hari lahir aku itu, dan juga tentang impian-impian yang aku mahu capai.
Mari aku senaraikan semula dan kita lihat apakah ada penambahbaikan yang boleh dibuat daripada situ. Ada tiga semuanya.
1. Bekerja di luar negara.
Ketika melihatkan impian aku yang satu ini, aku sedikit ketawa. Kau tahu, impian aku yang ini boleh dikatakan sudah terpadam terus. Punca sebenar aku berimpian yang sedemikian agak memalukan tapi sebabkan kita tak akan berjumpa (saya dan para pembaca), maka aku dengan beraninya ingin membuat pengakuan.
Aku nak ke luar negara sebab aku dah give up dengan semua kisah cinta yang aku sedang lalui. Dan pergerakan ke luar negara itu adalah percubaan untuk aku ada sebuah kisah adventure dan cinta yang lebih baik. Ketika aku tulis tu, dalam June 2019. Kali terakhir aku bercinta ketika itu adalah pada penghujung 2014. Dah terlalu lama aku kasi peluang pada Malaysia ni untuk sajikan aku cerita cinta yang baik. Tapi apakan daya, saya tidak diinginkan oleh mana mana gadis Malaysia ketika itu. Lantas, demi menyahut seruan bahawa jodoh itu perlu dicari, sebab itulah aku pasang impian nak ke luar negara.
Masa aku cerita benda ni pada Rizal di pertengahan November 2019, bukan main ketawa dia.
"Tempat yang kau fasih bercakap pun kau gagal tackle mana mana awek, inikan pulak tempat yang kau cakap pun orang tak faham. Lainlah kalau muka kau macam Brad Pitt. Dia tu, tak mandi pun orang tangkap cinta."
Aku sedikit geram dengan kata-kata Rizal ketika itu. Tapi semua yang dia cakap tu betul. Aku nak buat macamana lagi?
Tapi, itu semua sebelum Januari 2020 datang dan mencium dahi aku dengan penuh kasih dan sayang,
Whatsapp berbunyi.
Aku dipelawa oleh seorang sahabat untuk bekerja di sebuah syarikat penjagaan diri yang sedang meningkat naik di Malaysia. Memang jauh lari dari bidang yang aku sedang ceburi ketika itu, namun cabaran yang ditawarkan tu aku lihat sangat lumayan. Peluang untuk menggunakan segala kemahiran aku dalam perancangan dan idea kreatif, disalurkan pada top management yang mahu dengar cakap kita. Itu peluang yang tak sepatutnya dilepaskan oleh mana-mana manusia dalam dunia.
Kerana hidup ini, hampir 1/3 dihabiskan dengan bekerja. Kalau kerja kau tak best, baik tak payah hidup.
Kesimpulan untuk impian yang ini, aku maafkan kerana tak capai. Sebab sekarang rasanya kalau aku ke luar negara, boleh jadi aku akan semakin sunyi dan akan membela tiga ekor kucing.
Sedihnya lelaki yang menggantikan sunyi dengan kucing ni.
2. Ada simpanan kukuh RM100,000
Cerita bab duit ni buat aku rasa nak sensing lengan baju dan membebel ke diri sendiri. Semenjak aku pindah kerja bermula Februari 2020 tempohari, aku juga perlu berpindah rumah. Dari penghujung Malaysia iaitu Pengerang, Johor, aku turun semula menghampiri ibu kota iaitu di Nilai, Negeri Sembilan.
Bila pindah rumah, maknanya banyak benda yang perlu dibeli.
Setakat ke sekarang, aku dah habiskan lebih RM5K untuk membeli barang barang keperluan yang amat mustahak seperti televisyen bersaiz 40 inc, peti sejuk berjenama Panasonic berkapasiti 267L, permaidani yang berkeluasan agak besar, meja makan untuk empat orang, dan banyak lagi barang-barang kecil.
Sekarang rumah aku ni, dah ada gaya rumah yang sebenar. Bukannya tempat babi lumpur bergolek.
Aku bangga dengan diri sendiri tentang hal ini.
Namun atas faktor itu juga, aku perlu mengurangkan sasaran aku untuk tahun ni. Rasanya sudah tiga tahun berturut aku sasarkan untuk ada RM100K dalam bank. Selalu saja tak dicapai. Kali terakhir aku buat kira kira, aku cuma mampu ada RM12K saja sekarang. Kira okaylah kan?
3. Cinta
Ini kisah yang menarik. Kesimpulan mudah, aku sudah menemuinya.
Kesimpulan panjang? Tunggu.
Sekarang, sudah tiba masa untuk meletakkan sasaran pada diri sendiri!
1. Ada duit kahwin! (RM40K)
Sasaran ini realistik aku kira. Sekarang baru saja masuk bulan 5. Berdasarkan prestasi syarikat tempat aku baru masuk bekerja, aku akan menerima banyak insentif. Jadi, angka ini tak mustahil. Tambahan pula, aku cuma perlu sambung semula dari jumlah RM12K dari tahun lepas.
Dapat saja duit ini, aku akan ajak gadis pilihan aku itu untuk berkahwin!
2. Berjaya menyiapkan dua buah novel sebelum Disember 2020
Satu hal penulis-penulis lain selalu nasihatkan aku tentang menulis ni. Jangan biarkan idea terlalu lama di dalam kepala. Kalau tidak, idea itu akan semakin lama menjadi semakin tidak relevan. Itu yang sedang terjadi sekarang. Untuk pengetahuan, aku memang ada menulis dua buah cerita baru semenjak 2018 lagi. Satu tajuknya Tiga, satu lagi tajuknya Kawan (ada diterbitkan dalam Wattpad tapi di unpublished semula).
Aku nak disiplin menulis. Sehari sekurangnya satu muka surat. Doakan.
Cukup untuk impian jangka pendek.
Jangka panjang, aku buatkan ia seringkas boleh.
Umur 35, aku sudah ada sebuah rumah sendiri.
Itu saja.
Selamat hari lahir pada diri sendiri. Semoga berjaya capai apa saja yang diri sendiri mahu capai.
YOU ARE READING
Sembang Mikael (New)
RandomKetika kopi, senja, dan kenangan lama, sama-sama datang menemani jiwa yang sentiasa mahu bercerita. Sama feel-nya seperti petang kau yang ditemani air teh O dan cekodok panas. Bersama rakan berbual yang sentiasa berborakkan segala macam hal. Kalian...