#18: MIMPI - Huru-hara, Orang Asing, dan Ketidakpastian

25 1 0
                                    

Mula Tulis: 18 April 2023 (11:11AM) - Selasa
Ketika di pejabat dan aku sedang cuba untuk ikhlas menyiapkan kerja-kerja hakiki selepas dinafikan hak untuk mendapat Token Raya.


Sebaik terjaga dari mimpi sebelum, aku menutup mata sekuat hati dan memaksa untuk tidur semula.

Berjaya kerana sekarang, aku sedang hendak sambung semula belajar di Johor. Saat orang lain sibuk melalui hari orientasi, aku sibuk mencari ke mana hilangnya beg galas yang aku bawa pada permulaan hari tersebut. Segala pergerakan aku jadi amat perlahan dan semakin perlahan tatkala aku berulang alik dari lokasi aku syak beg aku tertinggal, rumah sewa kawan, dan rumah sewa sendiri. Setiap kali aku hendak ke rumah sewa sendiri, aku akan berjalan sampai terlajak ke rumah sewa kawan. Ketika sekali lagi aku patah balik hendak ke rumah sewa sendiri, aku terlajak pula ke lokasi aku syak beg aku tertinggal. Aku ulang alik perjalanan tu dengan berjalan kaki sampai lebih 5 kali. Badan aku jadi berpeluh, kaki aku menjadi sangat longlai dan berat untuk digerakkan.

Setiap kali berjalan, aku pasti akan berselisih dengan rakan-rakan semasa aku belajar di UTHM dulu namun tidak terlalu rapat. Ada Norman, Syafiq Ridhwan, Irwanshah, Azrul, Ahmad Shah, dan lain-lain. Tak ada satu pun rakan yang aku rapat sehingga sekarang. Bila berselisih, diorang akan bertanya aku hendak ke mana dan kenapa aku tak masuk kelas pengenalan.

"Beg aku hilang dol. Tolong aku carikan boleh tak? Penat dah ni aku berjalan kaki," ujar aku sambil melihat mereka begitu steady menaiki motor jenis kapcai.

"Tu la kau. Asyik cuai je. Tak pernah berubah dari zaman degree," ujar Norman. Sambil cakap, sambil press motor pergi meninggalkan aku terpingga-pinga. Spontan, aku menyebut "macam bangang." Aku pun meneruskan perjalanan bersama misi hendak mencari beg galas aku.

Beg galas aku tu sederhana beratnya. Di dalam ada fail-fail peribadi, duit cash note RM10 bernilai RM500 dalam keadaan diikat dengan getah, dua helai baju, dua helai boxer, pensel, pen, dan kad matrik Universiti. Kali terakhir aku ingat ia terletak di kedai makan yang aku singgah di awal-awal mimpi tadi. Tapi setiap kali aku sampai di kedai makan tu, makcik tauke kedai akan sound aku dengan berkata,

"Tak ada nyeee beg buruk kau tu dekat sini. Aku pun tak teringin nak mengambiknyaaaa."

Aku membalas dengan senyum senget, dan bersumpah yang aku takkan singgah lagi makan di kedai ni. Aku masih ingat, menu terakhir aku makan adalah nasi putih, ikan cencaru goreng, ada kicap, dan sambal asam untuk ikan bakar. Airnya, Teh O Ais. Rasa untuk keseluruhan menu itu cuma biasa-biasa.

Ketika sampai di rumah sewa (akhirnya), tiba-tiba dari sebuah rumah teres kos rendah, suasananya berubah menjadi seperti sebuah bangunan asrama. Aku hendak membersihkan badan. Lalu aku capai baldi dan menuju ke bilik mandi. Ada lebih kurang sepuluh kubikel peribadi bersama dengan kepala shower di dinding berdepan dengan pintu. Yang kelakarnya, dinding antara kubikel ruang mandi itu, tingginya cuma separas pinggang. Kau boleh nampak orang sebelah tengah buat apa, dan mereka mandi seperti dinding itu berketinggian penuh. Ada yang menyanyi-nyanyi, ada yang menari-nari. Bercakap sorang-sorang lagi ramai. Saat itu juga, ada beberapa orang kontraktor sedang berbincang sambil membuat kira-kira kos dan jumlah bahan yang diperlukan untuk menaikkan dinding hingga ke paras siling. Aku tak faham kenapa dia perlu buat semua itu ketika begitu ramai orang di bilik mandi yang kebanyakkannya sedang hanya memakai tuala. Diorang tak ada pejabat ke?

Aku tidak meneruskan misi mandi walaupun aku sudah berada di dalam kubikel. Aku tidak selesa. Perut aku sakit secara tiba-tiba. Lalu aku menuju ke arah jamban. Perjalanan aku ke jamban, melalui dapur rumah aku sendiri di Selangor. Ketika aku membuka pintu, aku terkejut kerana terlihat ada orang yang sedang mencangkung di mangkuk sambil membelakangi aku. Badannya kurus kering. Dengan segera aku menutup pintu. Hilang segala rasa hendak berak.

Aku berjalan ke depan dan aku lihat di ruang tamu rumah aku, ada ramai orang yang aku tidak kenal. Ibu aku sedang melayan mereka. Aku risau mereka marah dan tuduh aku sengaja membuka pintu tandas dengan niat nak mengintai. Lalu aku berjalan masuk ke dalam bilik stor. Dalam masa yang sama, aku terfikir. Kemana isteri aku yang tercinta sedang berada sekarang?

Baru 5 saat di dalam bilik stor, pintu dibuka dengan kasar oleh seorang lelaki berbadan tegap tapi berketinggian rendah sedikit dari aku. Mukanya berusia, mungkin dalam lingkungan 40 an. Wajahnya garang. Bermisai tebal dan bermuka petak. Rambutnya flat top macam askar. Aku macam syak yang di dalam tandas tadi isterinya, mungkin. Aku tak nampak muka dan tempoh pintu itu terbuka dan tertutup kembali cuma satu (1) saat.

Ibu kemudian masuk dan memberitahu lelaki ini berminat hendak membeli produk Herbalife yang ibu aku jual.

"Nak letak dekat gym saya la bang. Ramai yang cari ni protein Herbalife ni," ujarnya dengan suara yang ceria tapi kasar. Wajah masih maintain garang.

Aku macam...okay... dan terus membantu ibu aku mengambil stok. Di dalam bilik yang sempit, ada lebih kurang 6 orang di dalam. Aku, ibu aku, lelaki itu, isterinya, pembantu lelaki 1, pembantu lelaki 2. Yang lelaki, semuanya berbadan tegap seperti main gym dua kali sehari. Cuma aku saja berbadan berisi dan buncit.

Tiba-tiba, perut aku terlalu sakit.

Dan aku pun terjaga.

P/S: Aku rasa sebab ni la aku terlalu suka dengan konsep filem Imaginur. Sebab suasana dalam filem tu, sebijik macam mimpi-mimpi yang aku lalui. Random, bersepah, dan terlalu tiba-tiba.

Sembang Mikael (New)Where stories live. Discover now