Elok saja sampai ke pondok di taman permainan yang hampir dengan rumah aku, hujan pun turun selebat-lebatnya. Terasa macam ada orang yang mencurah-curahkan sebaldi air dari awan. Beberapa budak yang bermain bola di sebelah kanan taman, dah mula kucar kacir ambik selipar dan balik. Ada juga yang masih lagi bermain gelongsor dan buaian macam biasa. Mereka semua budak lelaki. Budak perempuan, mana boleh main hujan. Nanti demam. Lepas tu jadi makin buruk. Sudahlah muka buruk, bila sakit, makinlah buruk.
Ikutkan hati, nak saja aku berlari sama di dalam hujan. Tapi, bertemu dengan dua (2) gadis cantik dalam keadaan basah lencun bukanlah satu perkara yang ideal. Jadi, keinginan aku yang tadinya membuak itu, aku abaikan. Aku pun duduk pada kerusi kayu yang tersedia berada di bawah pondok segi empat sama itu.
Jam di tangan aku lihat sudah pukul 5.30PM. Tadi janjinya si Adam ni pukul lima (5). Mungkin sebab hujan ni, makanya mereka berteduh dulu di mana-mana. Aku tak kisah sebenarnya kalau menunggu seharian sekalipun, jika yang ditunggu itu adalah benda-benda yang aku suka dan setuju nak buat. Menunggu Fatin misalnya. Ataupun menunggu tiba saatnya aku dapat menampar muka Saiful Binawe. Ah celaka, terus teringat pula pada Saiful Binawe.
Ini semua gara-gara dia.
*******
Suasana masih lagi sunyi selepas pernyataan "Tak" itu. Masing-masing pun tak bertindak atau memberi sebarang respon. Adam masih lagi memandang aku dengan tanda tanya. Saiful masih pandang aku dengan rasa tak puas hati. Man Gelabah, dia lebih pandang ke Fatin. Aku rasa suatu hari nanti, mungkin aku akan tertumbuk Man Gelabah di perut. Ajib masih lagi menguyah keropok lekor (patutlah badan gemuk). Izam pandang aku tidak berkedip dan Fatin, ya Fatin. Fatin yang bertudung, berkulit putih, berketinggian sederhana, berdagu tajam dan cantik. Senyumannya pula memang manis. Sampaikan aku rasa kalau kau cuba selang selikan air sirap tawar makcik kantin dengan senyuman Fatin, aku tak perlukan gula. Tapi kali ni, Fatin cuma senyum tawar. Awkwardnya suasana. Apa yang aku dah buat ni?
Loceng berbunyi nyaring sekaligus mematikan segala lamunan yang mungkin ada di antara kami enam (6) orang. Tandanya waktu rehat sudah tamat dan pelajar-pelajar semua akan mula masuk ke kelas. Jika masuk saja kelas dan dipersembahkan pula dengan drama sambungan jawapan "Tak" tu, entah apa pula yang bakal jadi pada reputasi kami terutamanya aku sebagai ketua pengawas. Mungkin itu apa yang Saiful nak.
"Dah, dah. Jom kita balik kelas. Izam, Hafiz dah kata "tak" kan tadi? Depan Fatin lagi. Aku harap kau puas hati."
Izam mendengus.
"Tak, aku tak percaya. Kata-kata si Hafiz ni kadang bukan boleh pakai!" ujar Izam sambil ditenungnya aku lain macam. Boleh pulak Izam buat drama dekat pintu depan kelas ni. Dari tingkat dua dengan tiga dah ada mata yang memerhati.
Fatin bergerak dari meja dan bergegas ke luar kelas. Malu mungkin dengan perhatian yang dia dapat. Celaka. Entah aku nak marah ke siapa pulak ni, Saiful yang binawe ataupun Izam yang over.
"Sudahlah! Sudah! Aku kata sudah!" Adam tarik tangan Izam. Aku dari tadi diam tak berkata apa. Yang bercakap semua cuma Adam dan Izam saja. Aku bergerak ke meja aku yang paling belakang. Bersebelahan tingkap.
Di kelas ini, meja diletakkan dalam 10 barisan. 3 baris di kiri dan kanan bercantum meja dan 4 baris meja bercantum di tengah kelas. Meja Fatin adalah di meja paling depan sebelah kanan, betul-betul di depan pintu. Meja aku pula, di baris kiri paling belakang, bersebelahan tingkap.
Kedudukan meja ini menjawab atas sebab apa sampai ke saat ini, aku cuma mengadap ke luar melalui meja aku yang disebelah tingkap. Meja aku, betul-betul sebelah Izam. Aku malas nak tengok muka dia yang bakal duduk sebelah aku sebentar lagi.
"Srettt," bunyi kerusi di tarik.
"Hey, kau ok tak?"
Aku pandang ke kanan dengan pelik. Adam. Apasal dia dalam kelas ni?
YOU ARE READING
Kisah Cinta Budak Sekolah (Versi Asal)
HumorIni kisah tentang seorang budak lelaki gemuk yang cuba hendak bercinta. Atau sekurangnya hendak ada sebuah hikayat cintanya sendiri. Tapi sayang, sudahlah gemuk, malah tidak begitu hensem pula. Eh, kenapa kalian ucapkan kasihan pada aku? Ini bukan c...