MOTORBIKE besar dan seksi berwarna merah hitam diparkir di halaman dalam rumah keluarga angkatnya. Enjin dimatikan sebelum dia membuka helmet yang tersarung di kepala. Kaki panjangnya masih menahan badan motorbike itu daripada jatuh.
Setelah menyisir kemas rambutnya dengan hanya menggunakan tangan, dia turun dari motorbike dan menurunkan penahan. Helmet full-face diletakkan di atas badan motorbike sebelum dia mengatur langkah masuk ke dalam rumah dengan beg sandang yang terletak di bahu.
"Pergh! Awal kau bangun? Pagi-pagi dah menapak ke sini?" Rayhan Harriz, kembar lelaki kepada Raissa Hanania menyapa dia di pintu rumah.
"Baba dengan mama ajak sarapan sinilah pagi ni. Malam tadi dia orang ajak tidur sini, tapi aku yang tolak. Nak tengok rumah sana, lama terbiar," jelas Aakeef. Kenyataannya merujuk kepada rumah bujang yang ditinggalkan selama tiga tahun merantau ke negara orang.
"Haa... masuklah. Baba dengan mama dekat dapur buat sarapan tu," pelawa Rayhan yang sedang berdiri di hadapan pintu utama.
"Yang lain mana? Tidur lagi ke?" Aakeef berbasa-basi. Sambil melangkah masuk, dia berbual kosong dengan salah seorang adik angkatnya juga.
"Tak adalah. Masing-masing dekat bilik. Kejap lagi turunlah tu."
"Ohh..."
Tiba di ruangan dapur, Wadi Aakeef melihat ibu dan bapa angkatnya yang sedang menyiapkan hidangan di meja dapur. Dia tersenyum lebar melihat pasangan itu manis ketawa bersama.
Sungguh, dia impikan kehidupan seperti itu. Dia sangat cemburu dengan baba dan mamanya yang sentiasa mesra dan terlihat begitu menyayangi antara satu sama lain. Dia juga mahukan seorang wanita yang sanggup bertahan di sisinya sehingga hari tua mereka.
"Hey... anak mama dah sampai." Humaira menyapa sebaik sahaja dia terlihat wajah anak angkatnya di hadapan pintu dapur. Ketawa yang tadinya bermain di wajah memudar diganti senyuman lebar.
Wadi Aakeef yang disapa si ibu ikut tersenyum sehingga menampakkan baris giginya yang tersusun rapi. Tubuh ditundukkan dan tangan tersarung sarung tangan ranggi dibawa melekap ke dada. Tanda hormat dan sayangnya kepada wanita itu.
"Datang pun awak. Ingat jetlag lagi. Malam tadi balik pun lewat." Rayyan Harith pula menyapa. Siap sempat mengusik anak lelakinya itu.
"Aakeef rindu masakan mamalah. Mama janji nak masakkan nasi lemak. Lama tak makan nasi lemak buatan mama," jawab Aakeef sambil menarik keluar sarung tangannya dan jaket kulit lalu diletakkan di atas kepala kerusi dapur.
Memang dia masih lagi kepenatan kesan perjalanan panjang dalam kapal terbang. Tiba di Malaysia, bukan dia terus berehat. Berjumpa saudara-mara dan menghantar Kasih Nur Irdeena pulang ke rumah. Adik wanita itu menghubungi dan beritahu, keretanya rosak di tengah jalan.
"Macam tu, meh... tolong letakkan makanan ni semua dekat depan. Kejap lagi boleh makan sama-sama. Haa, Han! Pergi panggil semua keluar makan." Rayyan Harith menghulur mangkuk yang terisi ayam goreng ke arah Aakeef sebelum dia memberi arahan kepada salah seorang lagi anak lelakinya, Rayhan Harriz yang berada di situ.
YOU ARE READING
Raissa Hanania | Cinta Dambaan Wadi Aakeef (Spin Off Airayyan Collection)
RomanceCINTA bermula seawal 7 tahun. Cintakan anak bongsu perempuan kepada seorang lelaki yang digelar baba dan mama, ibu bapa angkatnya. Mereka tahu dia yang sentiasa menyayangi Raissa Hanania lebih daripada seorang adik, namun banyak halangan antara dia...