SUDAH tiga tahun berlalu daripada insiden typo nama. Detik-detik pengenalan aku dan Purnama. Ecehwah! Sekarang kami sudahpun berada di tahun terakhir di sekolah ini. Tingkatan 5.
Sama seperti tahun-tahun sebelum ni, kami masih duduk bersebelahan di dalam satu kelas yang sama. Bezanya, belah kiri aku terdapat tempat kosong yang belum berpenghuni.
Belah kanan masih setia diduduki oleh Purnama. Disebabkan kami hanya ada untuk satu sama lain, boleh dikatakan kami ni sudah seperti belangkas. Tidak pernah berpisah.
Kalau dia ke kantin, aku ikut. Pergi ke padang, aku ikut. Tak datang sekolah pun aku ikut. Pergi tandas tu, aku tak ikutlah. Risau!
Langkah kaki diatur menuju kelas. Tahun ni, kelas kami berada di tingkat paling atas, tingkat empat. Boleh tercabut skru lutut dengan bebanan berat yang aku bawa di belakang badan—beg galas.
Sedang aku mengomel seorang diri sambil mendaki satu persatu anak tangga, dapat aku rasakan tali beg sebelah kiri kian melonggar. Elok kaki kanan cecah aje lantai di tingkat empat, tali beg sudah selamat terputus.
Pantas tanganku menangkap tali beg yang sudah sedikit berbulu di hujungnya akibat bekas jahitan yang terbetas.
Agaknya inilah bahana bila banyak sangat merungut tak henti. Hati jadi tak ikhlas. Nasib aje tangan aku cepat menangkap tali beg yang hendak terputus, kalau tidak mesti bahu kanan boleh terkehel.
Malas-malas, pintu kelas diketuk dua kali. Main masuk sahaja tanpa salam, sesampainya di meja aku, Purnama menarikkan kerusi untuk aku duduk. Layanan kelas pertama diberikan. Sejuk jugalah hati yang panas ni.
Aku melabuhkan duduk dengan kasar. Beg dilepas geram. "Thanks." Ucapku dengan muka yang meluat. Meluat dengan beg sendiri. Baru sampai semalam kut! Aku beli beg ni di Shopee menggunakan duit sendiri. Segar dari luar negara. China aje...
Seperti kebiasaannya, Purnama tidak akan mengucapkan sama-sama. "Tali beg baru kau putus?" Seakan bijak benar, dia meneka keadaan aku.
Muka ditekupkan ke atas meja. Kepala perlahan dianggukan. Tahun baru yang malang buat aku. Macam nak menangis. Mama dan papa sudah semestinya akan memarahi aku tentang ini.
"Ganas sangatlah tu! Jadi perempuan mana boleh perangai macam ni."
"Jangan nak mengada. Baru beli hari tu. Nak beli lagi. Membazir."
Bla.. bla.. bla! Muak aku nak dengar. Keluhan berat dilepaskan.
Kepala diangkat semula. Muka Purnama menghiasai kornea mata. "Beg yang aku beli kat Shopee hari tu! Tali dia dah putus. Dasar beg tak ori." Aku menarik beg ke pangkuan, menunjukkan tali beg yang sudah terputus.
Purnama memandang lucu, mengejek nasib aku. Dia sudah sedia maklum tentang aku yang membeli beg di atas talian. Dari awal lagi dia sudah memberi amaran supaya beli yang sedikit mahal asalkan kualiti terjaga.
Aku yang masa itu hanya mahu mengelakkan pembaziran, hanya memilih yang murah. Mama dan papa tak manjakan aku dengan duit walaupun keluarga aku ni boleh dikategorikan orang berada lah jugak.
"Petang ni, kau ada pergi mana-mana?" Soal Purnama tiba-tiba.
Bukannya nak pujuk aku! Makin ditanya soalan pelik.
Aku menggeleng lemah dalam rasa keliru. "Semangat aku dah putus macam tali beg ni. Memang meratapi nasib ajelah."
Nak ajak mama beli beg baru di kedai? Hm, lupakan aje. Guna beg tahun lepas ajelah nampak gayanya.
"Mama dan papa kau kerja, kan? Petang ni." Suaranya menyoal dalam nada biasa, bukan seperti mengejek.
Rasa ingin tahu membuak tentang motif dia tanya soalan semua ni, namun aku tetap mengangguk. Malas nak gunakan kotak suara.
"Macam mana nak beli beg baru?" Dia menyoal lagi.
Angkat sebelah bahu sebagai jawapan, malas nak bercakap. Rosak mood baik aku. Kelaut!
AKU meniarap sambil mengusyar aplikasi Shopee. Mahu mencari beg baru. Apa yang penting kali ni, aku baca dulu review tentang beg itu dahulu. Tak mahu pisang berbuah dua kali.
Insaflah aku nak tali beg putus lagi. Daripada posisi meniarap, aku terlentang pula. Telefon diletakkan di atas dada. Cari beg di atas talian pun penat ya. Mata yang semakin memberat mengajak aku tidur.
Ding dong!
Bunyi loceng rumah yang berbunyi menyegarkan kembali kantuk yang hadir. Dengan seribu rasa malas, aku mencapai hoodie. Pakai hoodie ajelah. Berlari aku ke pintu rumah.
Risau juga kalau orang jual karpet yang datang. Mama dan papa pulang dalam pukul 7 malam. Lambat lagi tu! Sekarang baru pukul tiga.
Pintu dikuak sedikit, aku dihidangkan dengan permandangan Purnama yang sedang duduk di atas motor yang masih hidup enjinnya. Helmet sudah ditanggalkan. Dia menyisirkan rambut menggunakan tangan. Handsome!
Eh? Apa dia buat kat rumah aku ni? Aku bergegas ke arahnya. Elok aku berdiri terpacak di sebelah dia, Purnama mematikan enjin. Dia mendekat ke arah aku.
"Kau nak apa? Mama dengan papa tak ada. Tak boleh masuk. Nanti orang fikir apa pulak." Sudah siap sedia aku menghalau.
"Assalamualaikum, Elica Kejora."
Perli akulah tu.
Aku menjulingkan mata ke atas. "Waalaikumussalam Fajar Purnama." Tersenyum paksa setelah itu. "Nak apa?" Soalku kembali ke tajuk asal.
Dia membuat muka sedih. "Tak menyabar kau nak halau aku eh?" Muncung sedikit mulutnya tanda merajuk.
Buruk betul rupa dia ni merajuk. "Eh tak ada lah macam tu. Aku cuma risau apa jiran cakap aje. Nak apa sampai datang rumah ni?" Membetulkan ayat tadi. Bunyi macam nak menghalau sangat.
Dia tersenyum lebar, mengambil sesuatu dari dalam bakul motor dan dihulurkan kepada aku. Berwarna hitam elok terletak di dalam plastik. Apa ni?
Terangkat kening, aku menyambut huluran tersebut. Dibelek-belek sedikit dan memandang Purnama yang sedang tersenyum hangat. Kacak sudah semestinya.
"Beg. Sama dengan jenama beg aku. Warna pun sama tahu. Pakailah. Kita matching matching."
Hati aku terharu. Sungguh, aku tersentuh dengan segala yang dia lakukan. Mungkin, pada zahir percakapannya, nampak seperti kurang menyenangkan. Walhal, kelakuannya sangat meleburkan hati.
Mata mula berair. Bertakung aje ni. Empangan air mata sikit aje lagi nak jatuh, aku tahan.
"Jangan menangis weh! Kau tak suka beg tu ke? Kau okey?"
Sejurus sahaja ayat 'kau okey?' keluar dari celahan bibir merah delima itu, empangan air mata aku bocor. Jangan tanyalah! Makin tak okey hati yang lara.
Aku pelik, kenapa keluarga sendiri tak kisahkan pasal diri aku dan orang luar pula yang lebih kisahkan aku. Oh, tidak. Purnama bukan orang luar bagi aku. Dia rumah aku. Bila dekat dengannya, aku terasa nyaman. Jauh sikit sahaja dari dia, aku gusar.
Dialah rumah buat aku.
Aku mengesat air mata dengan hujung lengan hoodie. "Aku okey. Terharu sikit je." Kataku riak. Tak mahu dia risaukan aku.
Perasaan terharu tu sebenarnya campur sedih apabila memikirkan hal mama dan papa yang ada tapi seperti tiada.
"Lah! Terharu rupanya." Dia menggaru tengkuk yang tidak gatal. Resah, tidak tahu macam mana nak pujuk aku. "Kau jangan menangis, buruk."
Pergh, ini cara memujuk dia eh? Makin nak melalak rasanya. Aku tertawa mendengar lawak jahat daripada Purnama.
Melihat aku tertawa, dia juga ikut sama. Aku rasa sangat terpujuk.
Sesungguhnya, dalam banyaknya sedih hari ini, ada secebis kebahagiaan untuk dinikmati.
Allah itu Maha Adil.

ANDA SEDANG MEMBACA
RUMAH
RomansaFajar Purnama X Elica Kejora "Weh, bola keranjang ni kurang angin." -Kejora "Buatlah bola tu marah, supaya dia naik angin." -Purnama Fajar Purnama, sebaris nama indah itu tapi sayang seribu kali sayang, percakapannya tidak indah pula didengar teling...