💕💕PROLOG💕💕

33 0 0
                                    


TUBUH Catherine kaku. Walau berkali-kali Steven menggoyang-goyangkan tubuhnya, ia tetap kaku. Ibunya juga menggoncang kuat tubuh Catherine, namun tiada tanda gadis yang baru menginjak ke alam remaja itu akan sedar. Bapanya juga turut melakukan perkara yang sama. Tetapi keadaan masih seperti setengah jam yang lalu, ketika ibunya menyedari Catherine sudah tidak sedarkan diri. Sudahnya, mereka bertiga hanya mampu terteleku meratapi musibah yang melanda keluarga mereka, di sisi tubuh yang terbaring kaku di situ.

Tangisan ibunya semakin kuat kedengaran. Cecair putih berbuih-buih yang mengalir keluar dari mulut Catherine itu direlas-relas lembut sambil menggeleng-geleng kepalanya. Menunjukkan betapa dia sukar untuk menerima realiti yang terhampar di hadapan matanya kini. Sukar untuk dia percaya, satu-satunya anak perempuan yang sangat taat dan patuh pada apa sahaja permintaannya memilih untuk mengakhiri hidupnya begitu! Dalam usia yang semuda itu!

Hatinya dicengkam kepedihan yang teramat sangat. Namun, Steven tidak mampu berbuat apa-apa. Dia sebenarnya tidak tahu lagi untuk berbuat apa-apa! Dia hanya mampu melihat sahaja ibunya yang sudah menyembamkan wajahnya ke tubuh Catherine. Tubuh yang putih pucat itu. Menangis semahu-mahunya di situ.

Seketika kemudian, bapanya mencapai kasar botol alkohol yang tergolek di sisi mayat Catherine. Dengan seluruh kekuatan yang ada, dia mencampakkan botol kosong itu ke dinding. Deraian kaca dari pecahan botol itu bersepai memenuhi sebahagian bilik Catherine. Steven hanya melihat sahaja. Dia tahu, itu masih belum cukup buat meredakan rasa marah dan kesedihan yang sedang menguasai diri bapanya yang sememangnya panas baran itu. Tepat seperti apa yang terduga dek fikiran. Bapanya beralih mendekati pintu bilik itu. Ditendang-tendang dan diterajangnya sekuat hati. Sekali lagi, Steven hanya mampu memandang sahaja. Dia tiada kudrat dan kekuatan lagi untuk berbuat apa-apa pun.

Tidak cukup dengan babak amukan bapanya yang sedang mabuk arak itu, kini ibunya pula meluru mendapatkan bapanya yang tersandar keletihan di tepi pintu. Dipukul-pukul tubuh suaminya itu semahunya sambil meratap supaya mengembalikan anak perempuannya itu. Steven tahu, sebentar lagi meletuslah 'perang' antara keduanya. Situasi itu sudah menjadi asam garam dalam keluarganya. Dia sudah terbiasa. Sudah terbiasa sehingga tiada kuasa lagi untuk dia berbuat apa-apa. Tepat seperti yang diduga. Bapanya dengan agresif menampar pipi ibunya dan menolak kasar tubuh kurus itu sehingga tersembam ke lantai. Raungan ibunya semakin kuat kedengaran, bersatu dengan suara keras bapanya yang meracau entah apa. Steven lantas mendapatkan ibunya pula. Air matanya merembes laju, mewakili perasaannya yang berbaur-baur saat itu. Pedih dan terluka. Rasa marah yang dia sendiri tidak tahu dimana patut dia hamburkan. Rasa kosong dan tidak tentu arah. Dan entah apa-apa lagi rasa yang dia sendiri tidak dapat tafsirkan.

Sambil memeluk tubuh ibunya yang lemah tidak bermaya, mata sayunya melorot ke tubuh kaku Catherine. Lama dibiarkannya pandangannya berlabuh di situ. Kemudian fokus matanya dibawa pula ke atas lantai di sisi tubuh Catherine. Berbelas butir pil pelbagai warna berselerakan di situ. Semakin lama, pandangan matanya semakin kabur. Sekeping gambar yang diambil dari sisi mayat Catherine tadi semakin renyuk di dalam genggamannya.




Terima kasih kerana sudi baca : )

My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNPWhere stories live. Discover now