💕💕BAB 10💕💕

9 0 0
                                    


"JASON! Wait!" laung Jesslyna.

"Err... I'm sorry. Steven, kan? Steven Raj?" Jesslyna pura-pura bertanya apabila pelajar lelaki itu berpaling memandangnya, sekaligus menyerlahkan tanda nama yang tersemat di bajunya. Jesslyna tersenyum sumbing. Sekadar menutup rasa malunya kerana tersalah memanggil nama pelajar itu tadi. Apabila Steven memandangnya, dia semakin memaniskan senyuman menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun cantik.

Pelajar dihadapannya diam seribu bahasa. Jelas pada pandangan Jesslyna raut tidak senang yang terlukis di wajah Steven. Siap ada kerutan di dahinya tanda dia tidak suka disapa begitu.

"Mungkin kamu belum tahu. Saya Cik Jesslyna, guru kelas kamu untuk tahun ni." Jesslyna terus tersenyum manis, walau wajah di hadapannya itu sudah makin hambar, membeku tanpa riak.

"So, what?" Steven bersuara tanpa intonasi. Mendatar. Semerta, senyuman manis di bibir Jesslyna bertukar menjadi senyum sumbing. 'So, what?' Dalam hatinya sudah terasa seperti ada bibit-bibit jengkel yang mula terbit. Namun dia berusaha mempositifkan rasa hati itu.

"Kamu... ada masa untuk berbual dengan saya sekejap? Err...do you...understand... Malay?" Soal Jesslyna lagi apabila dia merasakan mungkin pelajar itu kurang mahir jika berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Pandangan mata Jesslyna bergilir-gilir hinggap di wajah Steven yang tampak bersahaja dan tangannya yang sibuk memintal tali beg galasnya. Jesslyna masih memaksa bibirnya tersenyum, untuk membuatkan pelajarnya itu selesa berdepan dan berbicara dengannya. Dia dapat merasakan yang Steven sentiasa bersikap dingin apabila Steven asyik membuang pandang ke arah tingkap dan tidak langsung mempedulikan pertanyaan-pertanyaannya awal tadi. Entah mengapa, setiap kali berdepan dengan Steven, Jesslyna merasakan seolah-olah pelajarnya itu sedang menyembunyikan sesuatu. Steven sering sahaja mengelak daripada memandang wajahnya. Dia asyik tunduk atau sengaja memandang ke arah lain. Meskipun hanya dua tiga kali saja mereka berkesempatan berjumpa, Jesslyna perasan begitulah keadaan Steven setiap kali mereka saling berhadapan. Keadaan sebegitu membuatkan semakin banyak tanda tanya muncul di benaknya. Ataupun, adakah sebenarnya cerita-cerita yang dia dengar daripada guru-guru di situ benar belaka?

"Oh... Kamu balik naik bas, kan?" Jesslyna mengambil keputusan untuk berbahasa Melayu sahaja. Pastilah setidak-tidaknya dia akan faham walaupun kecil peratusannya. Bukankah dia juga warganegara Malaysia? Yang sehari-hari bergaul dengan orang-orang yang berbahasa Melayu, walaupun Bahasa Melayu Sabah berbeza sedikit loghatnya dengan Bahasa Melayu di semenanjung. Tapi, dia yakin Steven akan faham.

Walaupun terasa 'terhimpit' dengan keadaan sebegitu, Jesslyna pura-pura teruja, biar terpancar keceriaan di wajahnya. Dia perlu mengorek kisah Steven sehabis dalam. Untuk itu, dia terpaksalah mencari ruang dan peluang terlebih dahulu. Steven diam. Tiada tanda-tanda untuk dia menjawab soalan Jesslyna tadi.

"Saya pun selalu balik naik bas. Rasanya kita akan turun dekat perhentian yang sama, kan? Kamu tinggal di Kampung Ambangan ke?" Jesslyna menanti jawapan. Namun hampa. Tetapi, itu bukanlah alasan untuk dia berputus asa.

"Rumah saya kat Kampung Hiliran. Kamu tahu rumah Pakcik Sikun? Saya tinggal dekat-dekat situ, lah. Pagi tadi saya nampak kamu..."

"What is it??" Steven pantas memangkas kata-kata Jeslyna, membuatkan gadis itu terkebil-kebil sudahnya.

"Kamu cakap nak beritahu saya fasal sesuatu... Just say it!... Here." Jesslyna menelan air liur. Terkaku seketika walaupun di hatinya sedikit lega apabila mendengar Steven rupa-rupanya boleh berbahasa Melayu. Tapi...

'Apa? Kamu??...Tidakkah budak ini dengar yang dia memperkenalkan dirinya sebagai guru kelasnya tadi?'

'Kamu???'

My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNPWhere stories live. Discover now