"DUA puluh tiga tahun?" Cikgu Saifullah mengulang sebut apa yang keluar dari mulut Jesslyna tadi, bila dia ditanya tentang umurnya. Nada tingginya itu seolah-olah untuk menujukkan bahawa apa yang dia dengar itu sukar untuk dia percaya. Jesslyna mengangguk sekali.
Ya. Dua puluh tiga tahun. Jesslyna merasakan yang dirinya adalah di kalangan orang-orang bertuah kerana berpeluang menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Satu ketika di Tahun 3 dan memperolehi keputusan yang cemerlang pula. Penilaian yang hanya dapat dirasai oleh pelajar-pelajar sebayanya dan dua atau tiga tahun lebih tua daripadanya sebelum ianya dimansuhkan. Keputusan cemerlang itu membolehkan dia melangkau ke Tahun 5 pada usia 10 tahun dan menduduki peperiksaan SPM pada usia 16 tahun. Selepas mengikuti program Asasi selama setahun, dia diterima masuk ke universiti dan terus melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda pada usianya lapan belas tahun. Ini membuatkan dia berupaya mengecapi alam pekerjaan seawal usia dua puluh tiga tahun.
"Aduhh... jangan sampai kau kena buli dengan budak-budak ni bahh..." Cikgu Saifullah menambah, seolah-olah baginya, peringkat umur sebegitu tidak sesuai untuk mengajar pelajar-pelajar yang hanya empat atau lima tahun lebih muda.
"Muka saya ni, cikgu tengok macam muka 'makan' buli ke?" Jesslyna 'menayangkan' muka berlagaknya di hadapan cikgu Saifullah.
"Apa kata kau, bahh? Makan? Makan buli?" Pekat betul loghat Sabah Cikgu Saifullah hinggakan ketara benar di mana dengung dan sabdunya. Ustaz Subahir dan Dhafina ketawa serentak. Jesslyna senyum saja. Dia memang betul-betul lupa yang dia sekarang bukan berada di semenanjung.
"Makang buli...lebih kurang macam makang ikang keli laa, dok?" Gurauan Ustaz Subahir dengan loghat Terengganunya pula membuatkan riak wajah Cikgu Saifullah makin berkerut. Pening barangkali dengan loghat yang bercampur baur itu. Makin kuat ketawa mereka memenuhi ruang bilik guru itu.
"Ini, kecil-kecil cili padi ni... nampak saja kecil tapi bila tergigit, mulut bulih keluar api bahh..." Dhafina Jane Gilbert yang lebih tua tiga tahun daripada Jesslyna pula cuba berkelakar. Dhafina, guru Fizik yang lebih selesa dipanggil 'Fynn' sahaja tanpa meletakkan sebarang kata hormat dipangkal namanya. Katanya, dia tidak suka jika dia dipanggil 'Kak Fynn' kerana ianya membuatnya terasa seperti terlalu tua. Lagi pula, panggilan itu berbunyi seakan-akan 'shark fin' lalu atas sebab itu, dia tidak gemar sesiapa memanggilnya 'kakak'. Jesslyna tersenyum sendiri bila teringat kembali permintaan Dhafina bila kali pertama dia memanggilnya 'kakak' saat dia mengetahui umur mereka sebenarnya berbeza tiga tahun.
"So, okay ka kamu dengan kelas Form Six?" Jesslyna memandang wajah Dhafina. Lembut air mukanya. Tubuhnya yang agak gempal itu tidak sedikitpun mencacatkan keayuannya.
"Okay saja, bahh..." Jesslyna mengajuk gaya percakapan orang-orang Sabah pula. Cikgu Saifullah tertawa kecil sambil tangannya ligat menyusun buku-buku di mejanya.
"Kalau kamu dibuli, bagitau saya saja... memang nak dikasi ajar itu budak-budak."
Jesslyna mengangguk sambil tersengih. Dalam hati, dia memanjatkan rasa syukur. Guru-guru di sini memang baik-baik orangnya. Mungkin kerana dia adalah guru yang paling muda di situ, jadi mereka mungkin merasakan yang dia harus 'dijaga' sementelah pula dia seorang diri merantau ke Negeri Di Bawah Bayu ini untuk menabur khidmat bakti.
"You memang major Biologi, kan?"
"Ya." Akui Jesslyna sepatah. Dia nampak Dhafina mengangguk-angguk.
"Sekolah ni memang dah lama tak ada cikgu opsyen untuk Biologi lepas Cikgu Hanisah pindah awal tahun lepas." Maklum Dhafina. "I rasa, lepas lower six masuk nanti, memang you kena 'borong' kelas semua Form Six."
YOU ARE READING
My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNP
Novela JuvenilWajarkah seorang guru menyimpan perasaan cinta pada pelajarnya sendiri? Itulah yang terjadi bila niat baik Jesslyna untuk membantu Steven Raj, pelajar yang dianggapnya bermasalah dan kaki ponteng tiba-tiba menjadikan dia seorang manusia yang tidak n...