💕💕BAB 7💕💕

7 0 0
                                    


SETIAP kali turun dari bas, pandangannya pasti akan menghala ke situ. Ke kawasan perkampungan lereng bukit itu. Kakinya ringan sahaja hendak melangkah ke arah itu, tapi, mengenangkan 'amaran' dari Rashdan, dia lupakan sahaja kemahuannya.

Dari perhentian bas itu, dia dapat melihat dengan jelas deretan bangku batu di tepian lurah. Matanya mengamati satu demi satu. Tiada sesiapa di situ. Malah, setiap hari, asal turun dari bas, dia akan memeriksa. Memang jarang ada orang yang duduk bersantai-santai di situ. Cuma sesekali, ada kumpulan pelajar sekolah yang melepak dan bila lewat petang, ada juga satu dua orang yang berjoging di kawasan berdekatan melepaskan lelah di situ.

Mata Jesslyna terus menerawang di situ. Entah mengapa, dia berharap akan dapat melihat kelibat 'kaki mabuk' berwajah persis Jason Godfrey lagi di situ. Dia teringat bagaimana lelaki mabuk itu memandangnya. Mungkin waktu itu, lelaki itu sedang menunggu reaksinya. Dan bila dia pula tidak bereaksi apa-apa, lelaki itu terus berlalu. Tanpa ucapan maaf! Sedangkan dia begitu pasti, insiden itu sebenarnya bukanlah disengajakan. Mesti ada sesuatu yang membuat dia marah. Atau sedih. Atau kecewa, sehingga dia bertindak begitu.

Jesslyna menggelengkan kepala apabila menyedari fikirannya 'melalut' ke arah yang tidak sepatutnya. Apa perlunya dia berjumpa dengan lelaki mabuk itu? Dan mengapa pula otaknya begitu positif tentang setiap sudut yang dia fikir tentang lelaki itu? Walaupun mempunyai paras rupa persis jejaka idamannya dan berharap agar dia dapat mendengar ucapan maaf dari mulut lelaki itu, tetapi lelaki itu entah siapa-siapa dan sudah pastilah seorang yang rendah nilai moralnya. Kalau tidak, dia tak akan duduk menogak arak di situ. Entah berapa banyak air setan itu yang sudah ditogaknya sehingga berjalan terhuyung-hayang begitu. Dan kalaupun mereka bertemu sekali lagi, Jesslyna pasti lelaki itu sudah tentulah tidak ingat apa-apa. Bukankah ketika itu dia sedang mabuk?

Dia meletakkan tapak tangan di perut bila tiba-tiba dia mendengar perutnya berkeriut pinta diisi. Dia teringat, kali terakhir dia menjamah makanan, dua butir kuih di kantin pada waktu rehat pagi tadi. Lantas, langkahnya di atur ke kedai serbaneka yang terletak di salah satu deretan rumah kedai tidak jauh dari perhentian bas itu.

JESSLYNA menyemak satu persatu borang yang diperlukan bagi sesi pendaftaran ibu bapa untuk program motivasi pelajar tingkatan 5 yang akan berlangsung jam 8.00 pagi nanti. Sepanjang hari ini dia akan sibuk. Selain terlibat dengan pendaftaran pada sebelah pagi, dia juga terlibat dengan penyediaan paparan slides untuk taklimat oleh pengetua dan guru-guru kanannya, membuatkan dia sentiasa perlu berada di dalam dewan. Dan yang lebih penting, dia juga merupakan guru Biologi bagi kelas tingkatan 5 Sains. Jadi sudah pastilah dia perlu ada dalam Program Motivasi dan Perjumpaan Ibu bapa tersebut.

Memandangkan ada lagi dua puluh minit sebelum pendaftaran bermula, Jesslyna bercadang untuk singgah ke kelas L6Sc1 untuk melihat-lihat sekiranya empat orang pelajar yang mendaftar lewat itu sudah hadir ke kelas. Seperti semalam, harapannya hampa sekali lagi, apabila seorang pun di antara empat pelajar itu masih lagi belum hadir.

Baru sahaja Jesslyna ingin melangkah keluar dari pintu kelas, dia hampir terlanggar seorang pelajar yang baru ingin melangkah masuk. Matanya terpaku pada wajah itu. Segera dia teringatkan peristiwa tin minuman keras yang terbang melayang mengenai kepalanya semasa dia sedang berdiri menikmati suasana perkampungan lereng bukit pada lewat petang itu.

Diakah? Lelaki mabuk itukah yang sedang berdiri di hadapannya sekarang ini? Tapi, dengan berunifom sekolah seperti ini, dia nampak lain sekali. Penampilan yang berlainan itu membuatkan Jesslyna keliru, adakah mereka orang yang sama? Tapi, wajah itu? Haish! Bagaimana dia boleh lupa dengan ketampanan wajah Mr. Host pujaan hatinya itu?

"Ehem!" bunyi berdehem itu membuatkan anganan Jesslyna tentang peristiwa itu segera bubar dari fikirannya. Dia segera bergerak ke tepi apabila menyedari yang dia sedang menghalang laluan pelajar itu untuk masuk ke kelas. Wah, sudahlah datang lewat ke sekolah, malah tiada juga sapaan 'selamat pagi' atau 'maaf' yang kedengaran daripada mulutnya. Kalaupun pelajar itu tidak tahu yang dia adalah guru kelasnya, setidak-tidaknya, dia pasti tahu wanita yang sedang berdiri bak 'patung cendana' hadapannya itu adalah seorang guru di sekolah itu kerana dia memang akur dengan tatacara berpakaian seorang guru. Siap ber 'nametag' segala bagai!

My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNPWhere stories live. Discover now