💕💕BAB 9💕💕

4 0 0
                                    


HAMPIR setengah tahun berkhidmat di sekolah itu, Jesslyna sudah mula terbiasa dengan rutin hariannya. Keluar seawal jam 5.30 pagi, berjalan ke perhentian bas berdekatan dan menaiki bas mini ke sekolah. Dia semakin selesa dengan cara sebegitu. Diam-diam, cadangan Rashdan supaya dia menyewa teksi Pak Cik Sikun secara bulanan untuk ke sekolah mula dilupakan.

Jesslyna mengejapkan baju sejuk yang dipakainya ke tubuh, bila hawa sejuk masih juga terasa menggigit-gigit kulitnya. Zip ditolak semakin ke atas. Sementara menunggu bas mini itu penuh, Jesslyna mengeluarkan telefonnya, lalu dibeleknya satu persatu mesej dari aplikasi WhatsApp dan tidak dibaca malam tadi. Ada beberapa 'kiriman rindu' melalui emoticon-emoticon lucu daripada Rashdan. Membuatkan Jesslyna tersenyum sendirian.

"Cikgu Jess..." Sedar namanya di sebut seseorang, Jesslyna pantas mengangkat wajahnya dan berpaling ke sebelah.

"Eh, Rowena. Kamu pun naik bas?" terlihat seulas senyum manis menghiasi bibir Rowena. Gadis itu melabuhkan punggung di sebelah Jesslyna.

"Tapi, saya tak pernah nampak pun kamu sebelum ni?"

"Ya. Sebab tiap-tiap hari, papa saya hantar saya pergi sekolah. Tapi hari ni dia ndak berapa sihat. So, saya naik bas sajalah."

"Oh, ayah kamu sakit?" Riak wajah Jesslyna berubah empati.

"Ya. dia demam." Jesslyna mengangguk -angguk.

"Harapnya dia cepat sembuh."

"Terima kasih, cikgu..." Gadis itu tersenyum lagi, mengucapkan terima kasih dengan penuh sopan. Kerapkali kepalanya ditundukkan tanda hormat. Sesuai dengan kecantikan asli yang dia miliki. Barisan giginya yang berlapis, tidak sedikitpun mencacatkan kecantikan wajahnya, malah membuatkan senyumannya lebih menawan. Jesslyna teringat kata-kata Rashdan. 'Sumandak Sabah' sememangnya cantik-cantik dengan kulit mereka yang putih mulus. Dan 'sumandak' yang dihadapannya ini, membuktikan kebenaran kata-kata Rashdan itu.

"Family kamu... ok?" Aju Jesslyna sekadar mahu mengambil berat. Dia rasa, dia perlu bertanya tentang itu apabila Rowena memberitahunya bahawa ada sedikit kesulitan yang dihadapi oleh keluarganya semasa Jesslyna bertanyakan tentang ketidakhadirannya ke sekolah pada minggu-minggu awal persekolahan tidak lama dulu.

"Ya." jawab Rowena sepatah, namun sedikit teragak-agak. Jesslyna mengangguk. Berpuas hati sahaja dengan jawapan pendek itu. Dia tahu, Rowena keberatan untuk menceritakan permasalahan keluarganya. Dia juga tidak patut bertanya lebih lanjut. Cukuplah dia tahu bahawa keluarga Rowena telahpun berjaya mengatasi permasalahan yang menimpa mereka dan Rowena pula dapat meneruskan persekolahannya dengan lancar tanpa apa-apa perkara yang memberatkan otaknya.

"Syukurlah." Jesslyna tersenyum memandang pelajar yang sedang duduk di sebelahnya itu. Senyumannya melebar apabila gadis itu turut tersenyum memandangnya.

"Cikgu orang mana?" Satu soalan terluncur lancar dari mulut Rowena.

"Saya orang Johor."

"Oh. Kalau orang tak tahu, dah pasti mereka akan sangka cikgu orang sini."

"Rupa saya macam orang Sabah?"

"Ya." akui Rowena. Sekali lagi di birai mata Jesslyna muncul seraut wajah Rashdan yang sedang tersenyum tika itu.

Mata Jesslyna melilau ke segenap ruang bas. Masih ada dua tempat kosong. Dan bila dua tempat kosong itu diisi, barulah pemandu bas akan memulakan perjalanan. Bertemu mata dengan beberapa orang pelajar sekolahnya, Jesslyna memaniskan wajah. Senyumannya hilang apabila matanya tiba-tiba terhenti tepat ke wajah seorang pelajar yang baru saja melangkah ke dalam perut bas mini itu. Si 'Jason Godfrey celup' versi OKU!

My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNPWhere stories live. Discover now