💕💕BAB 3💕💕

10 0 0
                                    


ESOKNYA, mereka ke Kampung Hiliran, kawasan kampung yang terletak berdekatan dengan kawasan perbukitan yang tidak sampai pun tiga kilometer sahaja dari SMSB. Jika diikutkan, dua buah rumah yang mereka lihat semalam, jaraknya lebih dekat dengan sekolah, namun Jesslyna terpaksa juga menunggu kata putus daripada Rashdan yang sudah pastilah akan membuat pemeriksaan rapi terhadap persekitaran dan setiap sudut yang ada di rumah itu. Sedangkan kuarters yang disediakan untuk kakitangan kerajaan yang bertugas di situ juga ditolak mentah-mentah oleh Rashdan. Alasannya, tidak ramai yang tinggal di situ dan kawasan itu pastinya sunyi pada waktu siang memandangkan semua penghuni di situ bekerja. Sekiranya rumah yang keempat ini tidak juga menepati kriteria yang ditetapkan Rashdan, nampaknya Jesslyna terpaksalah mengikut abang sepupunya itu untuk meneruskan 'misi' mencari rumah sewa lagi selepas ini.

Jesslyna menarik nafas lega apabila rumah kampung dua bilik itu nampaknya berjaya menarik hati Rashdan. Pakcik Sikun dan Makcik Rustini, tuan punya rumah itu agak peramah orangnya. Sementelah Pakcik Sikun bekerja sebagai pemandu teksi. Makcik Rustini pula hanya surirumah sepenuh masa. Dua anak mereka juga tinggal berdekatan, menguruskan perniagaan homestay mereka. Itu semua membuat Rashdan tidak berfikir panjang untuk membiarkan Jesslyna menyewa di situ sekaligus menjadi 'penyelamat' daripada mereka terus ke sana-sini lagi untuk mencari rumah sewa.


SEMINGGU, berlalu dengan agak pantas. Bagi Jesslyna, minggu pertama ini adalah lebih kepada sesi suai kenal dengan guru-guru dan para pekerja di sekolah itu. Semakin lama Jesslyna semakin sedar, keadaan di situ tidak banyak bezanya dengan keadaan di semenanjung. Semuanya tidak seperti yang dia bayangkan awal dulu. Yang penting dia perlu pandai membawa diri, rajin bertanya dan ringankan mulut untuk memulakan perbualan. Selebihnya, dia berharap agar dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sekolah itu secepat mungkin.

Buat permulaan ini, Jesslyna diminta mengajar matapelajaran Biologi untuk tingkatan lima dan enam atas. Ada empat kelas semuanya. Pada mulanya memang terasa agak kekok. Dia masih ingat sewaktu kali pertama dia melangkah masuk ke salah satu kelas tingkatan enam yang diajarnya. Perlbagai roman wajah seolah merenungnya tembus sehingga ke dinding kelas sebelah!

Dirinya yang memang bertubuh kecil molek itu terasa kerdil sahaja ketika sedang berdiri di hadapan kelas. Raut wajah serius mereka tika itu membuatkan dia merasa sedikit kecut perut dan kurang keyakinan. Namun, lama kelamaan, perasaan itu semakin dapat dia atasi. Apatah lagi, bila mendapati rata-rata pelajarnya itu rupa-rupanya masih mempunyai pemikiran yang lurus dan polos belaka. Saiz tubuh sahaja yang lebih besar dan tinggi daripadanya. Mempunyai pelajar yang hanya muda beberapa tahun sahaja daripadanya membuatkan Jesslyna sedar, adalah lebih mudah jika dia melayan mereka seperti kawan-kawannya. Bagi Jesslyna, itu tiada salahnya asalkan pelajar-pelajarnya itu masih mempunyai rasa hormat terhadapnya sebagai seorang guru.


"MACAM mana, ok tak rumah tu?"

"Ok sangat ummi. rumah kecik je. Ada dua bilik." Rumus Jesslyna.

"Tapi, itulah. Duduk sorang." Sempat Jesslyna mengomel, sambil sibuk berulang-alik dari meja makan ke sebuah rak bertutup untuk menyimpan barang-barang keperluan yang dia beli tadi.

"Tak apalah, sorang pun. Jiran-jiran dekat.Tuan rumah pun duduk dekat-dekat situ jugak, kan?" Sudah Jesslyna duga, apa yang akan keluar dari mulut umminya pastilah perkara positif belaka sehingga dia berasa malas untuk merungut apa-apa. Ummi bukanlah ibu yang suka melayan rungutan dan ketidakpuasan hati. Sepanjang dia membesar, ummi hanya banyak bercerita dan memberi nasihat. Mengadu itu ini di hadapan ummi bermaksud dia terpaksa merelakan telinganya menadah cerita-cerita moral yang panjang berjela. Mungkin ummi merasakan itu pendekatan terbaik untuk membentuk jati diri anak-anaknya.

My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNPWhere stories live. Discover now