💕💕BAB 2💕💕

12 0 0
                                    


MATANYA mengerling sekilas ke arah Rashdan yang sedang memandu di sebelahnya sambil kepalanya terangguk-angguk bak burung belatuk mengikut irama lagu 'Sayang Kinabalu' yang sedang berkumandang di radio. Jesslyna tiba-tiba merasa jengkel.

Memang lagu berentak sumazau itu sebenarnya agak catchy dan menghiburkan. Tetapi, sumpah! Hatinya tidak terhibur langsung dengan bait-bait lirik dan melodi yang sedang rancak bergema di dalam kereta yang mereka sewa itu. Namun Jesslyna bersyukur walau tidak dengan sesungguh hati, banyak juga perkara yang dapat dia selesaikan dengan bantuan Rashdan.

Tiba di Kota Kinabalu semalam, mereka terus ke hotel untuk merehatkan diri. Dan pagi tadi, misi pertamanya di Pekan Kundasang iaitu melapor diri di SMSB, selesai dengan jayanya. Pagi tadi juga, secara rasminya, Jesslyna menjadi salah seorang warga sekolah itu walau tidak pernah muncul dalam anganannya untuk menabur khidmat bakti di kawasan seperti itu.

SMSB adalah sebuah sekolah menengah yang sederhana besar sahaja tetapi menempatkan pelajar tingkatan 1 hingga 6. Lokasi sekolah itu yang dikelilingi kehijauan alam semulajadi dan dibaluti iklim dingin kawasan pergunungan membuat Jesslyna 'jatuh cinta pandang pertama' dan secara tidak langsung menaikkan 'peratusan' kerelaan hatinya untuk berkhidmat di sekolah itu.

Jesslyna juga agak lega apabila kerani di sekolah itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Rohana memaklumkan ada kuaters untuk kakitangan kerajaan yang disediakan berdekatan kawasan itu. Kebetulan, ada beberapa orang penghuni di situ yang sedang mencari teman serumah. Setelah mendapatkan beberapa nombor telefon penghuni yang dimaksudkan, Jesslyna berjaya menalifon dua orang daripadanya. Dia berjanji akan pergi melihat-lihat setelah selesai urusan melapor diri nanti. Besar harapannya agar kuaters yang disediakan itu sesuai dan selesa untuk diduduki.

MASUK ke dalam kereta, Jesslyna kembali memandang Rashdan, yang cukup setia di sampingnya. Melihat keakraban mereka, pasti sesiapapun tidak akan menyangka yang Rashdan hanyalah anak angkat mak longnya yang dipelihara sejak masih bayi. Walaupun disusui sendiri oleh mak long dan merupakan adik beradik susuan dengan anak-anak mak long yang lain, Jesslyna sedar itu bukanlah 'lesen' untuk dia bebas berbuat apa sahaja bersama Rashdan. Tapi dek kerana hubungan yang terlalu akrab, kadangkala terlepas jua perlakuan yang tidak sepatutnya sama ada dari pihak dia atau Rashdan. Jesslyna juga tahu, atas sebab itu jugalah nenek, mak long, ummi dan papa beriya-iya merancang untuk menjodohkan mereka berdua.

Lama matanya tuntas di wajah yang nampak sedang fokus pada pemanduan itu. Walaupun tidak terlafaz, Jesslyna sebenarnya amat menghargai kesungguhan Rashdan yang sanggup mengambil cuti beberapa hari semata-mata untuk menemaninya ke Kota Kinabalu. Rashdanlah yang beriya-iya mengatur itu dan ini untuk Jesslyna selesaikan semua perkara sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur lusa. Apa sahaja yang Rashdan rancang, Jesslyna cuma perlu menurut saja.

Mereka baru sahaja melihat-lihat dua unit kuaters yang bakal Jesslyna duduki nanti. Cuma belum memilih yang mana satu. Bagi Jesslyna, kedua-duanya tiada masalah. Asalkan selesa. Penghuni kedua-dua unit kuaters itu juga nampak agak peramah. Cuma, dari tadi tiada apa yang keluar dari mulut Rashdan. Mungkin dia sedang merangka perancangan lain dalam kepala.

Malam tadi, mereka ke Oceanus Waterfront Mall untuk misi membeli baju sejuk dan sweater! Menurut Rashdan, dia risau sekiranya Jesslyna tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana perbukitan yang dingin sebegitu lalu mengundang selsema dan demam. Untuk alasan itu, Rashdan membeli tujuh helai baju sejuk sekaligus untuk Jesslyna! Satu hari satu helai, katanya. Macamlah adik sepupunya ini akan bekerja di Kutub Utara!

"Jangan pandang abang macam tu. Abang takut kereta ni terbabas!" Ujar Rashdan. Kemudian dia tertawa sendiri dengan kata-katanya. Jesslyna mencebik. Namun pandangannya masih terkunci di wajah itu. Dia perasan Rashdan mengerling lagi, sepintas lalu.

My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNPWhere stories live. Discover now