WANG berjumlah RM 500 hanya dipandang sepi. Dia dapat bayangkan kesusahan ibunya untuk mengadakan sejumlah wang yang begitu besar untuk dikirim kepadanya setiap bulan. RM 500, atau paling sedikit RM 300 setiap bulan tanpa gagal!
Perlahan, sampul surat kecil bewarna kuning cair itu pula dibuka. Dikeluarkan isinya yang hanya sehelai kertas kecil bersama-sama tulisan yang sangat ringkas tetapi penuh makna.
Steven,
Maafkan mummy. Mummy gagal jadi ibu yang baik buat kamu dan Cath. Maafkan mummy sebab terpaksa tinggalkan kamu dengan papa. Kamu jangan risaukan mummy di sini. Mummy sihat dan baik-baik saja. Kamu jaga kesihatan dan tolong jaga papa. Mummy akan kerja sehingga hutang papa kamu langsai. Dan lepas kamu habis tingkatan 6, mummy akan bawa kamu tinggal dengan mummy. Mummy janji.
Maaf sebab mummy tak dapat berjumpa dengan kamu. Mummy risau kalau-kalau papa tahu mummy datang ke sini. Mummy dah cukup puas hati dapat lihat wajah kamu walaupun dari jauh. Itu dah cukup untuk hilangkan rasa rindu mummy pada kamu, Steven. Sebelum pulang tadi, Mummy sempat ke kubur Cath. Mummy rindu kamu berdua.
Steven, janji dengan mummy yang kamu akan habiskan persekolahan kamu. Mummy mahu kamu teruskan pengajian setinggi yang boleh. Kamu sahaja yang mummy harap untuk ubah nasib keluarga kita.
Kertas bertulisan tangan ibunya yang di dalam genggaman itu dikeronyok sekecil-kecilnya. Sama seperti perasaannya yang remuk redam tatkala itu. Sekeping gambar yang terletak elok di sebelahnya, dicapai perlahan. Catherine yang tersenyum riang. Saat bola matanya tuntas pada susuk lelaki di samping Catherine, bagai ada api yang bersemarak di situ. Steven mengepal penumbuk. Penuh dendam. Penuh benci dan amarah yang tiada berkesudahan. Dalam dakapan sepi yang membaluti malamnya, air mata Steven Raj mengalir lesu.
JESSLYNA meneliti senarai nama pelajar yang hadir untuk pendaftaran tingkatan 6 rendah yang berlaku pagi semalam. Itu adalah tugas pertamanya sebagai guru tingkatan kelas Lower Six Science 1 yang baru dia terima selepas berakhirnya mesyuarat guru dua hari yang lepas. Untuk kelas itu, ada beberapa orang yang tidak datang mendaftar. Jesslyna tidak perlu ambil kisah sebenarnya. Apa yang dia perlu buat hanyalah melaporkan bilangan pelajar yang membuat pendaftaran pada pihak pengurusan sekolah. Dia sendiri tahu, pelajar zaman ini lebih senang untuk menunggu tawaran daripada mana-mana universiti tempatan, pusat-pusat pengajian tinggi atau setidak-tidaknya masuk sahaja ke kolej-kolej swasta yang banyaknya seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan daripada 'membazirkan masa' selama setahun setengah lagi di sekolah menengah.
"Cikgu Jesslyna," Jesslyna berpaling mencari suara Kak Rohana, si kerani sekolah.
"Ada empat orang lagi pelajar kelas cikgu yang mendaftar di pejabat tengahari semalam, ya," dia memaklumkan. Jesslyna meneliti kertas nota yang bertukar tangan. Dokumen-dokumen pendaftaran yang disertakan juga Jesslyna semak satu-persatu. Lengkap. Daripada maklumat pelajar, sijil-sijil dan dokumen-dokumen sokongan lain. Nama-nama yang tercatat di kertas itu menjadi 'habuan' matanya untuk seketika.
Brendon Maikol
Freddie Enggal
Steven Raj A/L Joseph Kumaran Raj
Rowena binti Jared
"OK Kak Ana, nanti saya akan masukkan nama-nama ni dalam buku jadual kedatangan kelas saya." Jesslyna memaniskan wajah memandang Kak Rohana. Dia lega. Dengan mendaftarnya empat orang pelajar tersebut, maka sudah cukuplah jumlah dua puluh lapan orang pelajar kelas L6Sc1 di bawah seliaannya.
Sedang Jesslyna menyemak dokumen-dokumen pendaftaran pelajarnya, telefon bimbit Jesslyna berdering lagi buat ke sekian kalinya. Jesslyna meraba ke dalam beg sandangnya dan wajahnya berubah bila melihat nama yang mucul pada skrin telefonnya. Dengan malas, dia menyambung talian.
YOU ARE READING
My Dear, Miss Jess (Sudah Terbit! - September 2023) LNP
Teen FictionWajarkah seorang guru menyimpan perasaan cinta pada pelajarnya sendiri? Itulah yang terjadi bila niat baik Jesslyna untuk membantu Steven Raj, pelajar yang dianggapnya bermasalah dan kaki ponteng tiba-tiba menjadikan dia seorang manusia yang tidak n...