PUAN JEYAMANI sedang meneliti senarai barangan yang perlu ditambah di dapur restorannya. Ellise yang memerhatikan dari kaunter, turun dari kerusi dan merapati meja makan berkerusi empat itu.
"Ma.... kenapa sejak akhir-akhir ni, papa selalu oustation?" Ellise bertungkat dagu di depan mama. Kakaknya Eileen menggantikan tugasnya sebentar di kaunter sementara suaminya pulang dari kerja petang ini. Begitulah setiap hari. Eileen, yang belum lagi mempunyai cahayamata menawarkan diri bekerja juga. Bosan duduk di rumah berseorangan setiap hari.
"Papa Ellise nak buka francais di KL. Pergi bincang dengan rakan niaga dialah, selebihnya apa lagi? Ke Gentinglah tu. Takkan Ellise tak faham hobi papa?"
"Bencilah dengan perangai papa. Suka sangat bazirkan duit di kasino." Ellise mengomel.
"Biarkanlah saja. Kadang-kadang, papa perlu juga hiburan."
"Hiburan, kalau kalah teruk macam mana? Boleh bangkrap restoran kalau papa gila berjudi." Ellise menjawab dengan geram.
"Jangan bimbang. Papa berjudi bukannya banyak. Lagipun, mama yang uruskan perbelanjaan papa. Duit keuntungan restoran, mama tak kasi papa pegang. Papa nak berhibur, semua guna wang pencen papa."
"Nasib baik mama yang jadi accountant papa. Kalau orang lain, tak tahulah apa jadi."
Mama Ellise ketawa. Seketika, mata Puan Jeyamani tertumpu pada sebuah Porsche berwarna merah garang yang baru berhenti di depan restoran.
"Mama tengok apa?" Ellise berpaling ke belakang juga. Terkejut Ellise. Dia dapat mengecam Porsche merah garang itu.
Harry?
"Orang kaya manalah yang datang jauh-jauh dari KL semata-mata nak makan nasi ayam di kedai kita?" mama Ellise kerutkan dahi.
"Er.. mama. Dia... kawan Ellise!"
"Kawan?" soalan mama tidak berbalas.
"Ma.... Ellise keluar sebentar, ya?" tanpa menunggu mamanya mengatakan 'ya', Ellise bangun lalu menolak pintu kaca dan segera mendapatkan Harry yang baru buka pintu kereta.
Harry yang baru menutup pintu kereta tersenyum melihat Ellise. Ellise tampak sihat-sihat sahaja.
"Hye Harry!"
"Hye girl. Glad to see you." Harry menahan Ellise dari menerpa dan mahu memeluknya. Dia sudah berjanji dengan Qaseh untuk menghindarkan diri dari 'terlebih' mesra dengan Ellise.
"Sorry!" Ellise minta maaf. Lupa yang sekarang mereka berada di Senawang, bukan di KL. Tentu Harry mahu menjaga adab di tempat orang.
"No harm!"
"Mari, kita minum di restoran lain. Sini, nasi ayam Hainan kami belum dapat status halal." Beritahu Ellise.
"I see." Harry buka semula pintu keretanya dan Ellise bergerak ke sebelah kiri. Tak kekok masuk ke kereta mewah Harry kerana sudah biasa menumpang Harry. Bukan sekali, malah berkali-kali.
"Mamak stall, boleh?" tanya Ellise.
"Macamlah tak biasa." Balas Harry,
Ellise ketawa. "Oh ya, kenapa tiba-tiba saja you muncul. Macamana you tahu I ada di sini?"
"Qaseh!" sepatah Harry memberikaan jawapan. Meninggalkan tanya tanya di hati Ellise yang bukan sedikit.
"Qaseh? You mean.... You dan Qaseh?" Ellise cuba membuat andaian tapi rasa tak logik pula. Semasa di Bukit Tinggi tempohari, Harry ada mengatakan yang Qaseh sudah ada orang lain. Bakal suaminya adalah pilihan ummi dan abah Qaseh.