ESOK paginya, awal Ellise bangun, lebih awal dari rakan-rakannya yang lain. Menyarung kasut sukan Nike kegemarannya dan berbekalkan I-pod di dalam poket sweater. Ellise berlari anak ke Taman Tasik Manjalara yang tidak jauh dari kawasan perumahan yang disewanya.
Hari bekerja begini, tidaklah terlalu ramai pengunjung taman tasik berbanding di hujung minggu. Ellise tersenyum melihat sekumpulan warga emas sedang melakukan senaman Tai-Chi di satu kawasan lapang berhampiran playground. Ellise menghampiri mereka dan menonton gerakan Tai-Chi yang lemah gemalai.
"Leng loi.... ...mali..... mali!" salah seorang nenek tua memanggilnya.
"Zǎo ān, Nai-nai!" Ellise mengucapkan selamat pagi dengan senyuman manis. Terkejut sedikit nenek tua tadi.
"Wah.... lu manyak pandai hoh!"
Ellise tayang sengih. Ramai yang keliru dengan wajahnya yang nampak seperti gadis berbangsa Melayu.
"Mali..... Tai Chi sama nenek." Nenek yang masih lagi tampak kuat dan cergas itu memanggil Ellise ke dalam barisan di sebelahnya.
"Tak apa, nenek. Saya mahu lari, kasi keluar peluh.... bye-bye 'Nai-nai'" Ellise melambai sebentar sebelum dia melangkah ke jogging track. Earphone Ellise sumbat ke telefon bimbit dan mula memutarkan lagu. Hood sweater disarungkan ke kepala menutup earphone di telinga.
Ellise mula lajukan larian. Ingin dia kosongkan minda dari sebuah nama yang menyesakkan fikiran hingga ke hari ini. Ryan Isaac! Mengapalah dia harus terjebak dengan lelaki kacak itu? Selama hampir 21 tahun, hatinya tidak pernah terisi dengan sesiapa dan kemunculan Ryan walaupun hanya sekejap, boleh buat dia nanar tidak menentu.
Malam tadi, puas Ellise pejamkan mata, berusaha untuk tidur tapi sepeti biasa. Insomnia menyerang lagi. Terkebil-kebil dia memandang siling yang putih bersih. Terlakar lagi wajah tampan Ryan. Berkalih tubuh dengan mengiring, Ellise renung Fasha yang sudah berdengkur halus. Untung Fasha yang tak punya penyakit sepertinya. Asalkan kepala cecah ke bantal, dengan mudah saja Fasha terlelap.
Seketika, Ellise sedar dari lamunan. Dia hentikan larian dan berjalan seperti biasa. Hilang lelah, dia duduk di sebuah bangku taman. Ellise tutup kelopak mata rapat-rapat. Dalam gelap itu juga, wajah Ryan tetap menari-nari di segenap ruang matanya. Angau apa yang melanda? Setiap sentuhan Ryan, romantisnya Ryan, kucupan Ryan, hingga sekarang masih terasa kehangatannya. Oh!..... boleh gila Ellise jadinya.
"Ellise?"
Serta-merta kelopak mata Ellise terbuka lebar. Seorang lelaki yang juga lengkap berpakaian sukan sedang merenungnya dengan dahi berkerut.
"You?" Ellise terkesima.
"Hye..... boleh I duduk sama?"
Ellise senyum kecil. Dia mengiring menghadap Harry yang sedang mengesat peluh dengan tuala kecil di lehernya. "Duduklah. You pun rajin jog pagi-pagi macam ni?"
"Hmmm...... tak adalah rajin mana. Sekali-sekala aje kalau terjaga awal. You tak kerja hari ni?"
"I kerja syif malam,"
"Sorry, I lupa."
"You tinggal area Kepong ni juga ke?"
"Yup.. nearby. Desa Park City." Ellise telan liur. Dia tahu di situ terdapat banyak luxury condo yang tumbuh bagai cendawan.
"Which condo?"
"Northshore Garden."
"Oh!" Kan dah kata! Hendak menyewa sebiji kondo dua bilik di situ sahaja boleh mencecah 3 ribu ringgit sebulan.