PELANGGAN yang ramai mula tertinjau-tinjau mendengar deruman sebuah Porshe GTS yang baru berhenti di depan gerai. Anak jutawan manalah yang datang makan di gerai murah begini, fikir mereka.
Sepasang anak muda yang baru keluar dari kereta mewah itu sudah tentulah mendapat perhatian. Boleh tahan juga si cantik manis yang menjadi peneman seorang lelaki berbangsa Cina. Gadis Melayu bertudung pula tu! Perempuan sekarang, sanggup mencari bangsa lain asalkan lelaki itu berharta. Bolehlah menumpang kemewahan, tak perlu bersusah-payah bekerja sampai ke tua.
Tanpa hiraukaan berpasang-pasang mata yang memerhatikan mereka, Qaseh bawa Harry ke sebuah meja paling hujung. Sate ayam dan daging jadi pilihan Qaseh dan Harry menambah sate kambing juga.
"Sorry... saya tak makan kambing."
"Oh ya? Rugilah saya, kena makan sate kambing sorang-sorang. Nasib baik saya order sikit saja tadi."
Sementara menunggu sate yang dipesan tiba, Qaseh keluarkan telefon bimbitnya. Meneliti skrin kalau-kalau Ellise ada menelefon.
"Harry.... Ellise macam mana?" wajah Harry yang tampan direnung. Memang benar kata Ellise, Harry tak sekacak Ryan. Namun begitu, Harry punya kelebihannya sendiri. Qaseh suka sangat bila Harry tersenyum. Sungguh manis menyerlahkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
"You don't have to worry. Ryan bagitau, Ellise selamat dengan dia."
"Itu saya tahu.... dia selamat. Tapi.... mereka berdua ada di mana?" selamat ke Ellise kalau dah kena kurung dengan Ryan? Entah-entah Ellise dah 'selamat jadi' santapan makan malam Ryan.
"Genting Highlands. Overnight there."
"Apa?" separuh terjerit Qaseh. Mujurlah dia sedar dia berada di tempat awam. Cepat-cepat kedua-dua tapak tangannya bersilang ke mulut sendiri.
"Tak patut sungguh! Saya dapat rasa Ellise kena paksa."
"Qaseh...... you kena ingat, Ellise dan Ryan bukannya sama bangsa dengan kita. Agama pun tak sama. Kita tak ada hak nak larang mereka."
"Saya sayangkan Ellise macam adik saya sendiri. Ellise masih muda dan dia budak baik. Kesian dia terpaksa mengikut kehendak CEO Medic Corp yang tak berhati perut tu." Qaseh geram. Pastinya Ryan yang memaksa.
"Awak tahu? Ellise masih virgin!" perlahan sahaja Qaseh memberitahu. Bimbang didengar pelanggan di meja bersebelahan.
"I knew that. Ryan had told me."
"So..... last night. Ryan and Ellise?" Qaseh mengeluh berat. Tergeleng-geleng kepalanya. Kalau sudah dipujuk rayu jejaka sekacak Ryan, mana-mana gadis pun akan layu dalam dakapannya.
"I'm sorry, Qaseh. Saya juga tak mampu nak melarang Ryan. Sekadar menasihati."
"A...awak juga pernah buat perkara sama macam Ryan buat?" Qaseh cuba meneka. Tidak perlu dia bertanya secara terperinci Qaseh tahu Harry faham akan maksud pertanyaanya. Kalau dah berkawan baik, mungkin juga Harry punya hobi yang sama. Mengusung perempuan ke hotel!
"Berat sangat tuduhan awak tu, Qaseh!" Harry terasa hati. Perempuan macam itulah. Selalu nampak semua lelaki jahat sahaja di mata mereka.
Sate yang dipesan tiba di meja. Tak jadi Qaseh mencantas jawapan Harry. Sakit hatinya tiba-tiba. Apa gunanya berkawan kalau sesuatu yang penting sebegitu dipandang remeh?
"Makan dulu.... lepas ni, kita cerita panjang. You belum kenal I sepenuhnya Qaseh. I bukan macam yang you sangka eventhough Ryan kawan baik I."
Qaseh celupkan sate ke dalam kuah kacang. Digigit perlahan penuh tertib. Takkanlah mahu tunjuk gelojoh di depan lelaki kacak dan bergaya seperti Harry?