‧₊˚ ☁️⋅♡𓂃 ࣪ ִֶָ☾.
Hanan duduk bersandar di sofa seraya jari jemari asyik menari di atas telefon pintarnya. Baju kurung berwarna kelabu yang dipadankan bersama tudung hitam menyerlahkan lagi kecantikan gadis itu. Bibir yang dicalit lip balm berwarna merah jambu juga memberi pesona kepada mata yang memandang.
"Bila diorang nak datang? Lambatnya... daripada tadi lagi kata on the way. Tak lama habis kuih raya ni aku makan." Dengan selamba badak Aira berkata sambil tangan lincah memasukkan satu persatu kuih muih ke dalam mulutnya. Tolonglah, kuih raya ini bagai memanggilnya untuk memakan lebih banyak. Sedap sangat! Rasa nak bawa balik rumah, tapi nasib dia masih ada perasaan malu.
Rosak diet kau, Aira!
Maklumlah, diorang sekarang tengah beraya dekat rumah cikgu BM diorang semasa tingkatan 3 dulu, Cikgu Anees.
Orang jemput, kita on saja. Makanan nombor satu! Lagipun, rayakan sebulan.
"Diorang Azeem ke maksud kau?" tanya Faria yang sibuk bersua foto bersama Trisya.
"Yalah, siapa lagi yang nak datang selain diorang?" Aira menggulingkan bebola matanya ke atas.
"Manalah tahu budak kelas lain nak datang. Yalah, cikgu bukan jemput kita je," sampuk Hanan yang sedari tadi memasang telinga. Untuk kesekian kali kuih raya tart nenas itu dimasukkan ke dalam mulut. Kadang-kadang terpejam juga mata apabila merasai keenakan kuih raya kegemarannya itu. Jarang sungguh mahu melihat kuih raya tart nenas itu terhidang di rumah-rumah yang dia kunjungi, kalau ada pun bertuahlah dia.
Tapi, kena tahu adab juga bila datang rumah orang. Rasa segan juga datang menyentuh tangkai hati dikala kuih raya tart nenas itu saja yang dihabiskan.
"Memanglah bukan kita je yang cikgu jemput. Sebab bukan kelas kita je anak murid cikgu. Tapi, kau tahu kan cikgu cakap pelajar kelas lain itu diorang datang petang nanti," bebel Aira panjang lebar.
Tak nak kalah betullah perempuan ini!
Hanan hanya berdehem. Malas mahu beradu mulut dengan gadis itu. Tahu dia akan kehilangan kata-kata nanti. Aira memang suka buat orang koyak. Iyakan sajalah.
"Damien kata diorang dah sampai, tapi malu nak naik atas katanya," beritahu Trisya. Dia hanya geleng kepala.
"Apa yang nak dimalukan? Bukan diorang itu paling tak tahu malu ke dalam kelas tahun lepas? Mengada je lebih." Kali ini Faria pula membidas. Seolah-olah mengimbau kenangan lepas. Dahi bersih itu jelas berkerut, hairan.
Setahunya mereka itu bos besar di dalam kelas. Tak tahulah sekarang, mungkin sudah insaf. Sebab jumpa pun jarang, maklumlah berlainan kelas.
"Kejap... Han, teman aku panggil diorang naik." Trisya pandang Hanan penuh harapan. Sebenarnya gadis itu sudah tak sabar nak berjumpa kekasih dia si Damien itu.
"Lah, aku pula?" kata Hanan seraya menunding jari ke arah dirinya sendiri. Bibir tercebik tanpa sengaja.
"Alahh... Jomlah," kata Trisya seakan-akan merayu. Mata sengaja dikerdipkan beberapa kali berharap Hanan termakan pujuk rayu gadis itu.
Hanan hela nafas sebelum dia bangkit dengan malas bersama Trisya yang setia menunggu di sebelahnya. Sempat kaca mata yang dipakai oleh Hanan diperbetulkan.
Rumah kayu yang besar dan mewah itu cukup mengagumkan pada mata-mata yang memandang, lebih-lebih lagi mereka. Memang lawa sungguh rumah Cikgu Anees ini!
Keluar saja dari rumah Cikgu Anees, dapat dilihat beberapa orang lelaki yang memakai baju melayu. Entah mahu cakap apa. Gaya sudah seperti orang terbiar. Malu-malu pun ada.