‧₊˚ ☁️⋅♡𓂃 ࣪ ִֶָ☾.
Kipas mini berwarna biru aku keluarkan dari dalam beg. Hawa panas sekolah ini terasa begitu menyengat ke seluruh tubuh. Lain macam pula panas kali ini. Padahal, elok je kipas dihidupkan di seluruh dewan.
Badan yang terasa lenguh aku renggangkan. Letih menjalankan tugas sebagai Ajk. Baru sekarang ada peluang untuk rehat selama bertugas beberapa jam ini. Tak tahu pula tugas Ajk boleh jadi selelah ini.
Nafas aku tarik sebelum dihela. Botol air aku capai lalu aku teguk sembari mata melilau ke seluruh tempat. Lantaran itu, mata aku terhenti ke atas pentas. Penyampaian hadiah sedang berlangsung. Tetapi, pelajar-pelajar ramai yang berkeliaran. Guru-guru pun ramai yang tak kelihatan. Walaupun begitu, masih ramai juga manusia yang berada disekitar dewan itu.
"Nah. Kau belum dapat lagikan." Bekas makanan disua ke arah aku. Kepala didongakkan memandang figura yang berdiri itu.
"Alhamdulillah. Terima kasih, Mar," kataku. Mata sudah berbinar apabila bekas itu dibuka. Ayam masak merah. Tahu je aku kelaparan!
Setelah mencuci tangan, aku kembali ke tempatku tadi untuk menikmati makanan. Sambil aku menyuap makanan masuk ke dalam mulut, sambil itu mataku terpaku ke arah pentas. Melihat para pelajar yang bertuah itu.
"Muhammad Nufhris Haris."
Ketika sebaris nama itu disebut, tangan terasa kaku seketika. Mata enggan melepaskan peluang untuk memandang sosok tersebut. Hati berasa tak keruan.
Mulut yang sedang mengunyah juga seperti tak dapat dilanjutkan. Jantung bagai hendak keluar daripada dalam tubuh. Apatah lagi melihat lelaki itu tersenyum ketika lensa kemera sedang memotretnya.
Sorokan dan usikan pelajar-pelajar memenuhi di segenap ruang dewan tersebut. Tepukan juga seakan-akan bergema di dewan itu. Itu apa yang memasuki sistem pendengaranku sebelum aku tersedar. Mata terus dialihkan. Nasi disuap kembali ke dalam mulut. Cuba untuk fokus dan membuang bayangan tadi.
Tetapi tak berapa lama, sebelum aku terdengar suara-suara perempuan bercakap mengenai Nufhris di meja sebelahku. Terus aku buat-buat tak dengar seraya memasang telinga mendengar dengan teliti setiap perbualan mereka.
"Nufhris jugalah tiada tandingan!" kata seorang perempuan dengan kuat.
"Amboi kau bukan main lagi. Tadi masa orang lain naik pentas tak ada pula kau jadi macam ini. Terlebih bersorak pula bila giliran Nufhris." Perempuan yang lain pula bersuara.
"Kan."
"Itulah."
Yang lain turut bersetuju.
"Kau suka Nufhris eh?" tanya seseorang lagi buatkan aku tersentak. Tak menyangka soalan itu bakal keluar.
"Mana ada. Kami kan rumah sukan biru, jadi aku sokonglah. Tak salah pun, kan?" Perempuan itu cuba menafikannya bersunguh-sungguh.
"Yalah itu. Tadi sebelum Nufhris pun ada je rumah sukan biru yang naik pentas. Contohnya, si Rizwan tu. Tak ada pun kau macam tu."
Mata terkebil-kebil. Suapan diteruskan lagi. Fikiran pula sudah menerawang ke lain. Tanpa sedar, aku menghela nafas kasar.
Tak sangka Nufhris ini ramai peminat.
Pada masa yang sama perasaan yang mula hadir itu seperti mahu dilenyapkan. Isi fikiran tak menyokong kata hati.
‧₊˚ ☁️⋅♡𓂃 ࣪ ִֶָ☾.
Mata dicelikkan perlahan-lahan. Tidur lenaku yang beralaskan lengan di atas meja terganggu tatkala suasana bising kian membingitkan telinga. Penat sangat jadi ambil peluang tidur sekejap. Lagipun tugas kami sudah selesai.
Mar di hadapan tersenyum ke arahku. Pandangan pertama yang aku lihat ketika membuka mata.
"Sampai ke mana dah? Bulan ke?" Dahiku berkerut seribu sebelum tawaku terletus dikala dapat memahami gurauan Mar itu.
"Dah nak balik ke?"
"Ya. Kejap lagilah itu."
Mata meliar ke sekeliling. Sungguh ramai orang. Patutlah bising sangat.
"Damien!"
Aku tersentak dengan jeritan seseorang yang berdekatan denganku itu. Laju mata bergerak menatap figura tersebut. Terkebil-kebil aku di situ. Minda cuba memproses apa yang sedang berlaku.
Jeritan Nufhris kembali menyinggah di telinga. Aku pandang susuk tubuh Nufhris sekali lagi yang berada di hadapan meja aku tempati. Berjarak lebih kurang 5 meter dari aku.
"Damien!" jerit Nufhris lagi. Bibirnya tidak luntur dengan senyuman. Setelah memanggil Damien, masih lagi bibir itu menguntumkan senyuman. Senyuman itu macam senyuman malu-malu pun ada. Pelik.
Bibir aku tahan dari melorekkan sebarang senyuman. Rasa nak senyum tiba-tiba. Entah mengapa melihat Nufhris begitu, aku hendak tersenyum. Lucu aku rasakan tingkahnya itu. Tapi, aku tak sepatutnya rasa begitu. Untuk apa aku berbuat sedemikian? Tiada gunanya.
Kau lupa ke dulu macam mana, Hanan?
Kepala ditoleh ke belakang. Mata aku tertancap pula pada kelibat Damien yang berura-ura menghampiri Nufhris itu. Lelaki itu juga tersenyum sama dengan Nufhris. Seketika mataku dan Damien bertembung sebelum dia pandang Nufhris. Aku agak tersentak ketika Damien mendadak melihatku.
Aku pandang lagi Nufhris. Entah mengapa aku rasa dia memandangku, bila aku lihat kembali cepat-cepat dia memandang Damien.
Dan aku terpinga-pinga di situ. Bagai ditinggalkan dengan seribu tanda tanya.