Bab 18

117 4 1
                                    

DENNIS kembali ke ruang tamu sekitar sepuluh minit kemudian dengan wajah yang kelihatan lebih segar. Bajunya sudah bertukar, dengan rambut yang kelihatan lembap, serabut tak bersikat. Seksi. Senyum tipis yang timbul di hujung bibir cepat aku tarik semula. Tak baik menilik anak teruna orang, Isabelle!

"Hah, mandi dah? Ingatkan pengsan dalam bilik air tadi."Razeen yang baru muncul di pintu gelangsar mendekati Dennis yang baru duduk di sofa. Tangan Razeen mendemah dahi Dennis.

"Sejuk sikit."

Aku tersenyum tipis lagi. Kelakuan Razeen nampak comel. Doktor dan kawan baik dalam masa yang sama. Untung Dennis, ada sahabat yang prihatin. Melihat Razeen, tiba-tiba saja aku teringat seseorang yang sudah lama aku tak hubungi. Apa khabar agaknya dia sekarang?

Pinggan di atas meja aku capai lalu nasi aku sendukkan ke dalam pinggan. Aku hulurkan pada Razeen dulu sementelah dari tadi dia mengomel sudah kelaparan. Katanya tenaganya habis sebab berjogging tadi. Siapa suruh terlebih rajin pergi beli barang sambil jogging?

Untuk Dennis, aku letakkan hanya sesenduk nasi dan sedikit lauk. Orang sakit, makannya mana berselera sangat macam orang sihat. Pinggan nasi aku hulurkan pada Dennis, tapi lelaki itu nampak macam tak berminat.

"Saya makan nanti aja lah. Tak selera."Ujarnya perlahan.

"Tak ada nanti-nanti. Kita orang balik, aku angkut semua ni. Nak makan, makan sekarang."

Dennis jeling halus Razeen yang sedang menghadap makanannya dengan berselera.

"Ke kau nak suap? Icha boleh tolong suapkan. Kan Icha?"Razeen sengih, mengangkat sebelah keningnya kepadaku. Mataku membulat sesaat. Pandai-pandai saja Razeen ni. Tapi aku tak kisah pun kalau nak menolong suapkan Dennis.

"Kalau awak tak nak makan, kecil hati saya tau. Penat saya masak semua ni, awak tak nak makan pulak..."Aku saja buat-buat sedih di hujung ayat, kasi psiko sikit!

Razeen aku lihat sudah beralih tempat ke meja di depan kolam renang. Amboi dia ni? Makan berpindah randah? Bercita-cita nak kahwin lebih dari satu ke apa?

Tumpuan aku alih ke Dennis semula.

"Saya suapkan, okey?"Dennis diam tak menjawab, aku anggap saja dia bersetuju. Orang sakit ni kena dipaksa makan. Kalau diikutkan rasa tak selera, memang badan akan kalah. Nasi aku gaulkan sedikit dengan kuah buttermilk, letakkan sedikit sambal belacan dan potongan kecil ayam.

Sudu aku dekatkan pada mulut Dennis dan perlahan mulutnya dibuka menerima suapan nasi. Mataku teliti memerhatikan Dennis yang sedang mengunyah. Harapnya masakanku kena lah dengan tekaknya.

Rasa penerimaannya positif, aku suap lagi nasi ke mulutnya. Tapi kemudiannya aku perasan mata Dennis berkaca. Badannya panas sangatkah? Atau sambal belacan buatanku pedas? Setitik air mata jatuh menuruni pipi Dennis, aku bungkam.

"Dennis? Pedas ke?"Tanyaku kelam kabut, takut dia tak tahan kepedasan sambal. Dennis geleng perlahan, tangannya cepat mengesat pipi. Hujung bibirnya tersungging senyuman tipis yang nampak tawar. Kenapa dengan Dennis?

Pertanyaanku tersekat di kerongkong. Nasi aku suapkan ke mulutnya lagi, dan kali ini air mata Dennis berderai lagi.

"Pedas ke Dennis?"Tanyaku sekali lagi. Aku suap nasi ke mulut, tapi tak pula lidahku merasa pedas yang terlampau. Habis tu kalau bukan pedas, kenapa Dennis menangis?

"Tak pedas, cuma... sedap. Sedap sangat..."Entah kenapa jawapan Dennis seakan menampar perasaanku. Aku suap lagi nasi ke mulut Dennis. Kepalanya terangguk perlahan, bibir tersungging senyuman tipis.

"Sedap sangat..."

Aku tersentuh. Apa kerana sudah tiga hari dia tak ada selera dan tak menjamah makanan, suapan nasi ini terasa begitu nikmat pada Dennis? Mungkin saja.

CulikWhere stories live. Discover now