TANGGA rumah itu dituruni Amina dengan langkah perlahan. Suasana rumah terasa begitu sunyi. Hanya bunyi penghawa dingin dan jam dinding yang berdetik memecahkan kesunyian pagi itu.
Sebaik sahaja sampai di ruang tamu, matanya terus tertumpu pada susuk tubuh Puan Mahiran yang sedang berbaring di atas sofa. Mata wanita itu terpejam rapat, manakala sebelah tangan diletakkan di atas dahi seolah-olah cuba menghilangkan rasa pening.
Amina menghela nafas perlahan.
'Penat sangat agaknya mama hari ni...'
Dia tahu jadual mamanya bukan seperti doktor biasa. Sebagai pakar ortopedik, kadang-kadang mamanya terpaksa berdiri berjam-jam di bilik pembedahan. Ada masanya, tengah malam pun masih dipanggil ke hospital kerana kes kecemasan.
Sebab itulah rumah besar ini sering sunyi.
Perlahan-lahan dia melangkah ke dapur supaya tidak mengganggu rehat mamanya.
Peti sejuk dibuka.
Tangannya mencapai sekotak jus epal yang masih sejuk sebelum menuangkannya ke dalam sebuah mug kaca.
Selepas menyimpan semula kotak jus itu ke dalam peti sejuk, dia mencapai beberapa ketul ais lalu memasukkannya ke dalam mug.
Ting... ting...
Bunyi ketulan ais berlaga dengan kaca kedengaran perlahan.
Dia kemudian membawa mug itu ke ruang tamu.
Dengan berhati-hati, mug tersebut diletakkan di atas meja kecil di hadapan sofa sebelum dia melabuhkan punggung di sofa yang bertentangan.
Dia hanya memandang wajah mamanya. Sudah lama dia tidak duduk begini.
Tanpa skrip.
Tanpa kamera.
Tanpa solekan.
Hanya sebagai seorang anak.
Beberapa saat kemudian, Puan Mahiran perlahan-lahan membuka mata. Sebenarnya dia tidak tidur. Dia cuma memejamkan mata untuk merehatkan badan selepas syif yang panjang di hospital.
Sebaik sahaja melihat Amina duduk di hadapannya, wajahnya terus berubah ceria.
"Eh... bila akak balik?"
Amina menghadiahkan senyuman kecil.
"Baru je, mama."
"Kenapa tak telefon mama dulu? Kalau mama tak ada dekat rumah macam mana?"
Puan Mahiran bangun daripada pembaringannya lalu menyandarkan badan pada sofa.
Tanpa sedar, matanya merenung lama wajah anak sulungnya itu.
Cantik.
Walaupun orang ramai selalu memuji kecantikan Melina, pada pandangan seorang ibu, Amina tetap memiliki kecantikannya yang tersendiri. Wajahnya yang sedikit bulat dengan pipi kemerah-merahan membuatkan dia nampak lembut.
Sepasang mata bundarnya pula sentiasa menjadi tarikan utama.
Mungkin Amina sendiri tidak pernah sedar akan perkara itu.
Amina menarik nafas perlahan sebelum mula mereka cerita.
"Tak adalah... sebenarnya tadi Mel telefon akak. Kelas dia tiba-tiba batal sebab ramai lecturer ada mesyuarat hari ni."
"Dia kata mama masih dekat hospital, jadi dia tak nak susahkan mama. Kebetulan akak pun cuti dua hari, jadi akak datang ambil dia."
Dia cuba bercakap setenang mungkin walaupun jantungnya berdegup laju.
ANDA SEDANG MEMBACA
BUKAN HEROIN
Dragoste|2026| ONGOING REVENGE X ROMANCE Amina seorang pelakon yang terkenal dengan sikap sombong dan divanya. Tetapi dia tidak pernah pedulikan apa yang orang kata padanya. Malah dia tidak kisah pun orang membencinya. Sehinggalah dia terjumpa seorang chef...
