#19

120 4 0
                                    

WAJAH merah si kakak dipandang curiga. Apa yang terjadi? Mukmin mula menebak kemungkinan yang berlaku di dalam kepala.

    "Tolong angkat barang," arah Naara sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Terus naik ke bilik.

    "Kenapa kakak kamu tu?" soal Puan Nisrina pelik. Dia juga perasan wajah merah Naara. Seperti malu-malu diusik teruna. Siapa?

    "Entah," jawab Mukmin mengangkat bahu. Dia melangkah ke kereta mengeluarkan barang-barang yang penuh di boot.

    "Kenapa beli banyak sangat ni?" gumamnya pelik.
Selalunya kalau Naara pergi seorang diri tidaklah sebanyak ini barang dibeli. Apa sangat kudrat tubuh genit itu ada? Kali ini penuh satu boot. Siapa yang tolong angkat? Dia sendiri pun rasa lelah melihat. Lagikan kakaknya.

    "Kakak kamu keluar dengan siapa?" soal Puan Nisrina semakin hairan.

    Takkanlah dalam diam Naara punya kekasih hati? Seingat tadi, Naara keluar sendiri. Kalau sendiri, mana larat angkat semua ni?

    "Manalah Min tahu," balas Mukmin menggeleng kepala. Dahi mula merenik peluh mengangkat barang penuh di tangan.

    "Apa yang kamu tahu?" selar Puan Nisrina terus memanjat naik ke bilik anak dara. Lagi baik tanya sendiri pada Naara.

    Imej yang berputar-putar di memori hilang begitu sahaja sebaik pintu ditolak dari luar. Puan Nisrina terpacul di muka pintu berpeluk tubuh.

    "Naara jumpa siapa tadi?" soal Puan Nisrina terus ke persoalan pokok.

    "Staf," balas Naara pendek.

    "Staf?" soal Puan Nisrina kurang percaya. Mata tunak pada wajah merah Naara.

    "Bukan calon menantu mama ke?"
    Naara tertawa bisu. Calon menantu? Siapa? Akid Zulfan muda 5 tahun daripadanya. Boleh ke jadi suaminya yang sudah menginjak angka 30?

    "Bukan."

    "Bukan? Tapi dalam kepala tu sibuk fikirkan staf tu, kan?" tebak Puan Nisrina. Kalau soal cinta, dia paling hebat meneka.

    Naara tidak membalas. Sebaliknya membenamkan wajah di bantal. Tidak mahu mendengar apa-apa. Ingin lupa tragedi yang berlaku.

    Dia tidak suka rasa kekok yang menghantui diri. Dia mahu semua berada di dalam kawalannya. Mengikut perancangan yang diatur.

    Melihat Naara tidak lagi mahu melayannya, Puan Nisrina menutup kembali pintu bilik. Membiarkan anak sulungnya itu sendirian melayan perasaan. Mana tahu benar-benar Naara membawa pulang menantu.

NAARAWhere stories live. Discover now