#2

4.5K 96 0
                                    

Hi uols, for your info versi cetak tak available buat masa ni. Tapi jangan risau, korang boleh grab versi ebook from E-Sentral.
Just download apps E-Sentral di playstore and korang perlu reg kat apps tu tau before making your own purchase.

Do leave your vote here darlings. Really appreciate it.💞
.
.
BINGIT telinga terpaksa mendengar bebelan mama. Sejak usianya menjejak 30 tahun, mulut mama makin ringan mengasak tentang persoalan yang sama. Tak jemu.

Dijeling adik-adiknya yang menahan tawa. Suka benar agaknya bila dia dibebel mama. Bukan mahu membelanya.

"Susah sangat ke?"

Suara mama masih lagi menjadi melodi sumbang yang menguji kesabaran. Dia pura-pura tidak dengar. Tidak menjawab. Tidak juga mengiakan.

"Mama tak cakap dengan orang bisu," tingkah Puan Nisrina bengang tidak dipedulikan anak sulungnya itu.

Berbuih mulutnya membebel, anak sulungnya tetap juga begitu. Soal menamatkan zaman anak dara langsung tidak diberi perhatian. Dia yang susah hati dengan sikap si anak.

"Sampai bila nak hidup sorang macam ni? Kalau ada suami... dia boleh jaga Naara," tutur Puan Nisrina. Nadanya kembali kendur. Berlembut pula. Berkeras tidak jalan. Berlembut mungkin lebih berkesan.

Diam juga. Tiada respons dari bibir merah jambu anak sulungnya itu. Masih menyuap bihun goreng dengan tenang.

"Kita ni perempuan perlu lelaki untuk jaga kita. Perempuan tak boleh hidup sorang sampai ke tua. Perlu ada suami."

Lelaki untuk menjaganya? Terlorek senyum sinis di bibir kala mendengar hujah Puan Nisrina. Hujah yang langsung tak boleh dipakai.

Sejak bila dia perlukan lelaki untuk menjaganya? Lelaki mana yang menjaganya selama ini? Dia tertawa sinis.

"Mama, kakak tu ramai peminat. Bila-bila nak kahwin pun boleh," celah Afwan si bongsu.

Ramai peminat? Makin sinis tawanya bergema. Sejak bila pula dia ramai peminat?

"Kalau betul ramai peminat... bawa sorang balik rumah. Cepat sikit buat majlisnya."

Mencerun matanya memandang Afwan. Pandai-pandai sahaja menokok tambah. Tak membantu langsung!

Tersengih-sengih Afwan dijeling kakaknya. Digaru kepala yang tidak gatal. Mulut pandai sangat menokok tambah. Kan dah mendapat. Nasib baik duduk bertentang dengan si kakak. Kalau di sebelah mahu pinggangnya dikepit 'ketam batu'. Azab tu.

"Nak pilih suami ni bukan senang sangat, mama," sampuk Amran cuba membela kakaknya.

"Kalau susah sangat nak pilih... mama boleh pilihkan," tegas Puan Nisrina.

Lama benar memilih jika terus dibiarkan pilihan di tangan Naara. Biar dia sahaja yang pilih. Senang. Cepat.

"Naara nak ke kilang dulu," tutur Naara bingkas bangun membawa pinggan ke sinki.

"Budak ni," keluh Puan Nisrina. Tajam matanya memandang susuk tubuh genit anak gadisnya.

Tiada apa yang kurang pada anaknya itu. Takkanlah tak ada seorang lelaki pun yang berminat. Malangnya hingga ke hari ini tiada seorang calon pun yang dibawa pulang ke rumah bertemu dengannya.

"Biarlah, mama. Bila kakak ready... mesti dia bawa balik bakal menantu mama tu," tutur Mukmin tenang.

"Bilanya dia nak ready? Umur dia tu bukannya muda lagi. Nak tunggu orang panggil dia anak dara tua baru dia puas hati agaknya," bidas Puan Nisrina merengus kasar. Tidak puas hati dengan kata-kata anak keduanya itu.

Ketiga-tiga anak jantannya serentak menggeleng. Tidak faham dengan sikap mama dan kakak mereka. Susah mahu menebak hati perempuan. Aduhai.

NAARAWhere stories live. Discover now