#21

139 7 0
                                    

NAARA mendengus kasar. Mama betul-betul bertindak pantas. Tidak sabar ingin menimang cucu agaknya.

    "Naara," sapa Fitri menyambut kepulangan gadis yang dinanti.

    "Awak buat apa kat sini?"

    "Tunggu Naara," balas Fitri dengan senyuman lebar. Setengah jam menanti. Dia ingin mengajak Naara keluar makan malam.

    "Kenapa?"

    "Kita keluar makan."

    "Saya letih. Baru balik kerja," tolak Naara. Dia tidak selesa keluar bersama lelaki asing.

    "Dah lama Fitri tunggu tu," sela Puan Nisrina yang sedari tadi turut menanti Naara pulang di laman rumah.

    "Naara letih."

    "Pergi mandi kejap. Lepas tu segar balik," tingkah Puan Nisrina terus menarik Naara masuk ke dalam rumah. Kali ini dia tidak membiarkan Naara mengelak.

    "Fitri masuk dulu. Tunggu Naara siap. Lepas tu baru keluar makan," ajak Puan Nisrina.

    Fitri menyambut baik ajakan Puan Nisrina. Ibunya setiap hari menggiatnya agar datang bertemu Naara. Dia sendiri ingin bertentang mata sekali lagi dengan gadis yang memikat hati.

    "Duduk, Fitri. Mak cik naik bilik dengan Naara kejap," ucap Puan Nisrina ramah benar dengan bakal menantu. Dia mengheret Naara naik ke bilik.

    Sampai di bilik sahaja, Puan Nisrina menjegilkan mata. Si anak sikit pun tak gentar. Selamba membuka butang kemeja kemudian berbaring di katil melepaskan lelah seharian bekerja.

    "Bangun. Pergi mandi. Fitri tunggu tu."

    "Naara tak nak keluar."

    "Kali ni jangan nak bagi banyak alasan. Naara tak fikir mama langsung, kan? Tak kisah langsung hati mama, kan?" Puan Nisrina mula mengugut menggunakan air mata yang bergenang.

    Naara mengeluh berat. Faham benar apa yang dimaksudkan mamanya. Kutukan jiran. Kutukan keluarga. Kisah sangat soal mulut orang. Bukannya orang yang memberi mereka makan pun.

    "Peduli apa orang cakap."

    "Senanglah cakap macam tu, kan? Telinga mama yang bernanah orang kutuk anak mama tak laku!" tingkah Puan Nisrina seraya melabuhkan punggung di birai katil. Mutiara jernih jatuh mencemar pipi yang mula dimamah usia.

    Naara bingkas bangun. Mama bijak menggunakan taktik. Tahu benar dia lemah dengan air mata seorang ibu.

Biar tidak suka macam mana pun dia tetap tidak sanggup melihat air mata mama jatuh kerananya. Tidak ingin digelar anak derhaka. Seumur hidup ini dia takkan dapat membalas jasa mama melahirkannya ke dunia ini!

"Kenapa mama kisah sangat?"

"Mama tak kisah kisah orang lain kutuk mama. Tapi mama tak boleh dengar orang lain kutuk anak mama!"

Hati seorang ibu tidak mampu menahan sakit mendengar anak sendiri dikutuk dan dihina manusia bermulut jahat. Hati ini terlalu sakit menahan amarah.

Naara dituduh anak dara tak laku. Dituduh sebagai perempuan jalang. Perempuan simpanan lelaki tua. Dan macam-macam lagi gelaran yang membuat telinga seorang ibu bernanah mendengarnya.

Naara sendiri mungkin tidak kisah. Tidak peduli. Dia sebagai ibu harus mempertahankan nama baik anaknya.

Disebabkan itu dia mahu Naara cepat-cepat memilih jodoh. Biar suami Naara menjaga maruah Naara. Membersihkan nama baik Naara. Membahagiakan anaknya yang berhati dingin.

Dia ingin melihat senyuman bahagia di wajah anak yang banyak berkorban untuk keluarga. Salah sangat ke permintaan itu?

    Sebagai ibu dia memang lemah. Tidak menggalas tanggungjawab sebaiknya. Membiarkan Naara menanggung beban itu.

Pun begitu, hati seorang ibu tetap ingin melihat anaknya bahagia di samping suami tersayang. Suami yang mampu menjadi bahu untuk bersandar.

    "Dengar cakap mama. Naara kena kahwin cepat-cepat. Tutup mulut semua orang. Mama tak kisah siapa pilihan anak mama. Yang penting Naara kena kahwin," pujuk Puan Nisrina tanpa jemu.

    Naara menghela nafas berat. Dia tahu jika dia tidak bersetuju kali ini, air mata mama akan tumpah lagi.

    "Okey. Tapi biar Naara pilih sendiri. Mama tak boleh campur tangan. Tak boleh bawak calon lain datang rumah," tegas Naara tidak mahu terus diasak dengan calon demi calon yang muncul tanpa dipinta.

    "Okey. Tapi Naara kena pilih cepat-cepat. Jangan tipu mama," balas Puan Nisrina gusar. Takut Naara sekadar ingin menyedapkan hatinya. Padahal tidak cuba mencari jodoh pun.

    "Naara janji. Naara akan kahwin. Mama jangan risau."

    "Fitri macam mana?" soal Puan Nisrina tidak lupa pada calon yang dirasakan baik untuk Naara. Punya kerjaya yang bagus dan matang orangnya.

    "Kejap lagi Naara turun. Mama turun dulu layan dia."

    Merekah senyuman Puan Nisrina mendengar persetujuan Naara. Akhirnya dia boleh berlapang dada.

NAARAWhere stories live. Discover now