#6

3.2K 98 5
                                    

SATU per satu wajah gadis berkulit tebal yang tidak silu duduk berhadapan dengannya. Masing-masing menghulurkan air untuk menghilangkan dahaganya. Mengharapkannya memilih antara mereka.

Dia baru sahaja duduk mahu menghilangkan lelah dan dahaga. Belum sempat pun mencari air. Dia menghela nafas berat. Rimas!

"Abang Kid... minumlah. Abang Kid penat tu," pujuk gadis berambut pendek dengan celak di mata. Suaranya lunak merdu menggoda.

"Minum yang Mi punya la. Lagi sedap. Lemak berkrim." Gadis berambut kerinting panjang pula bersuara.

Gelas yang berada di tengah meja ditolak lebih dekat dengan Akid mendahului gelas-gelas lain. Tindakan gadis itu membuat gadis-gadis yang lain mencerun marah tidak puas hati.

Masing-masing mula menolak gelas mereka lebih dekat dengan Akid. Mahu Akid memilih antara mereka dengan penuh debaran. Seolah-olah jika gelas mereka terpilih bermakna Akid sudi menerima orangnya.

Sakit kepala dengan gelagat gadis-gadis di hadapan mata. Lelahnya belum lagi hilang 'bertarung' dengan mesin yang rosak di kilang ini. Lagi mahu berhadapan dengan gadis-gadis yang tidak jemu menghimpit.

Baru sahaja dia ingin bangun meninggalkan meja yang dikerumuni gadis bermuka tembok, ada tangan yang menghalang. Dia berpaling melihat gerangan yang sengaja ingin terus menderanya.

"Kau nak lari mana?" soal Zanan dengan senyum nakal di bibir.

"Aku nak cari air," balas Akid bersahaja.

Seminggu di kilang ini, Zanan yang banyak mengajarnya. Lelaki itu sudah dua tahun sebagai juruteknik di kilang ini. Umur sebaya dengannya.

"Cari air? Tu banyak depan mata kau tu," ucap Zanan menjuihkan bibir. Matanya kemudian jatuh pada wajah-wajah mengharap di hadapan mereka. Terpamer senyuman manis di bibir.

"Abang Kid sampai hati. Penat kita ambilkan air untuk Abang Kid," tutur gadis bertudung singkat merah jambu dengan bibir tercemik seolah merajuk.

"Banyak ni air. Pilihlah satu." Seorang lagi gadis bersuara.

"Nanti cair ais tu dah tak manis."

Akid tersenyum kelat. Suara-suara di gadis buat kepalanya serabut. Dijeling teman di sebelah. Mahu sahaja disiku rusuk kiri temannya itu menghalangnya pergi.

Tiba-tiba sahaja suara-suara yang berebut mahukan perhatiannya hilang bagai ditiup angin lalu. Bukan sahaja suara-suara di hadapannya, malah seluruh kantin yang tadinya riuh kini sunyi sepi bagai ada malaikat lalu.

Berkerut dahi Akid mencari punca perubahan yang sangat ketara. Matanya meliar segenap ruang kantin. Dan akhirnya jatuh pada sesusuk tubuh genit melangkah kemas menuju ke kaunter kantin.

Gadis genit itu melangkah tanpa mempedulikan kehadiran pekerja lain di kantin. Seolah-olah pekerja lain tidak wujud di matanya dan kesunyian yang mencengkam perkara biasa baginya.

Akid tersenyum sinis. Siapa gadis yang punya kuasa begitu besar hingga mampu mendiamkan pekerja lain hanya dengan kehadirannya? Menarik.

NAARAWhere stories live. Discover now