BAB 4

4.2K 190 18
                                    

Rumah kampung dua tingkat yang tampak sedikit modern dan tersergam indah di hadapannya dipandang Iris dari dalam kereta. Beberapa minit yang lepas, dia dan Zafran telah selamat sampai di kampung neneknya. Sejak sampai beberapa minit lepas, Iris hanya membatu di dalam kereta. Pintu kereta belahnya dari tadi dibuka oleh Zafran dan dari tadi juga Zafran menunggunya di tepi pintu kereta tapi dia tidak keluar-keluar juga.

Dari dalam kereta, dia lihat keluarga sebelah Daddynya sedang berdiri di halaman rumah. Ada Daddy, mama tirinya, Zara, Maksu Ilyana, Paksu Borhan dan Amalina. Ada juga adik kepada neneknya, Tok Insyirah berserta ahli keluarganya yang lain. Tapi dalam ramai-ramai, mata Iris terpaku kepada seorang wanita tua. Rambut sedikit beruban, muka ada sedikit kedut dan sedang memegang tongkat. Setahunya wanita tua itu masih boleh berjalan dengan baik, cuma kadang-kadang kakinya lemah. Dan wanita tua itu ialah...neneknya.

Tangan dikepal erat. Mata dipejam erat untuk menenangkan dirinya. Perlahan-lahan mata dibuka dan nafas dihela perlahan.

'Tenang Iris'

"Iris! Iris tak nak keluar ke?" tanya Zafran kesekian kalinya. Dari tadi dia cuba memanggil Iris, tapi Iris hanya membatu sahaja. Risau juga dia buatnya Iris tiba-tiba berubah fikiran mahu balik ke Kuala Lumpur semula.

Tanpa banyak kata, Iris terus keluar dari perut kereta. Tersenyum kecil Zafran. 'Alhamdulillah.'

"Jom. Dari tadi dorang semua tunggu Iris." Ucap Zafran sambil tersenyum manis. Sambil membawa bagasi miliknya dan Iris di tangan, langkah kaki dibawa perlahan mendekati ahli keluarga yang dari tadi menunggu kehadiran mereka. Kaki panjang Iris pula hanya melangkah berjalan membuntuti Zafran menuju ke arah halaman rumah tempat ahli keluarga berdiri.

"Assalamualaikum..." ucap Zafran.

"Waalaikumussalam..." jawab semua.

Bagasi diletak ke bawah. Langkah kaki Zafran dibawa ke arah Bonda Irma. Senyuman manis diberikan kepada bonda Irma. Tangan didepa dan nenek tempatnya menumpang kasih selama ini dipeluk dengan erat. Iris memandang neneknya yang sedang memeluk Zafran sambil mengusap perlahan belakang tubuh Zafran. Boleh nampak betapa seronok wanita tua itu berjumpa Zafran. Iris mengerling sekilas wajah neneknya sebelum memandang ke arah lain.

Usai memeluk Zafran, bonda Irma mengerling ke arah Iris. Lihat wajah jelita Iris, serta merta membuatkan dirinya teringat akan menantu pertamanya, Rose Helena. Iris benar-benar mewarisi kecantikan menantunya itu. Matanya sedikit bergenang.Air mata perlahan-lahan membasahi pipi. Akhirnya, dapat juga dia bertemu dengan Iris setelah sekian lama tidak berjumpa. Bukan dia tidak berusaha berjumpa dengan Iris, ada juga sesekali dia ke rumah anaknya Irfan untuk bertemu Iris, tetapi Iris selalu mengelat setiap kali dia datang. Kadang-kadang Iris akan lari dan tidur di rumah kawannya. Ada juga Iris melancarkan mogok dengan tidak keluar bilik dan makan. Setiap kali jemput mereka balik ke kampung pula, Iris selalu tidak pulang, bahkan pada Hari Raya sekalipun. Jadi, dia buat keputusan untuk tidak lagi memaksa Iris. Namun alangkah gembiranya dia bila Irfan khabarkan yang Iris mahu ikut sama balik kampung, sekurang-kurangnya Iris sudah sedikit terbuka untuk berjumpa dengannya dan memaafkannya.

Bonda Irma melangkah perlahan ke arah Iris. Terketar-ketar dirinya membawa tongkat. Sesampai di depan Iris, tangan didepa untuk memeluk Iris. Senyuman lebar terhias di bibir. Namun...setapak demi setapak Iris melangkah ke belakang. Terus pudar senyuman di bibir bonda Irma. Tahulah dia yang Iris tidak sudi memeluknya.

"Iris sihat?" tanya Bonda Irma.

"Macam yang kau nampak. Aku tengah berdiri depan kau, tengah bercakap depan kau. Maknanya apa? Aku sihat la tu."

"Iris..." sampuk Tan Sri Irfan perlahan. Dia tidak suka akan nada yang digunakan oleh Iris ketika bercakap dengan ibunya.

"Tak apa Irfan. Bonda okey." balas Bonda Irma perlahan.

"Dah lama nenek tak jumpa Iris. Nenek gembira sangat bila Daddy Iris cakap yang Iris nak balik kampung..." Ucap Bonda Irma dengan teruja.

Iris mencebik. "Kalau kau nak tahu. Aku bukan hamak sangat nak balik kampung ni pun. Aku just nak balik tengok kau.  Aku nak tengok macam kehidupan kau after peristiwa 17 tahun lepas,"

"Dan hmm... aku rasa hidup kau baik-baik je. Cuma sikit je la tang kaki tu. Pergi hospital baik la kan?" bidas Iris lagi sambil tersenyum mengejek.

Mendengar kata-kata dan tingkahlaku Iris, sedikit sebanyak Bonda Irma terasa hati. Air mata yang mengalir di pipi diseka perlahan. Nampaknya Iris masih tidak memaafkannya atas peristiwa 17 tahun lepas.

Yang lain hanya mampu melihat sahaja. Nak mencelah bimbang lagi mengeruhkan keadaan. Cuma mereka tidak sangka Iris sebiadap itu. Sangkanya beberapa tahun tidak bersua, Iris sedikit berubah. Nyatanya semakin teruk.

"Kaki nenek okey, cuma kadang-kadang lemah sikit. Iris jangan risau, nanti letak ubat, sembuhlah dia."

"Hmm...baguslah tu. Bukan apa, aku risau je, dari elok-elok aku datang kau pakai tongkat kan nanti aku nak balik, kau naik wheelchair pula." balas Iris lagi sambil tersenyum sinis.

"Iris..." celah Tan Sri Irfan dengan sedikit kuat. "Tak baik cakap macam tu dengan nenek. Daddy tak pernah ajar Iris kurang ajar dengan orang lebih tua."

"Hmm...Daddy, Daddy lupa ke? Memang Daddy tak pernah ajar Iris pun. Sebab dulu Daddy busy dengan 'benda lain'. Tu yang tak sempat nak ajar Iris. Tapi Daddy jangan risau, disebabkan Daddy busy, so Iris belajar sendiri macam mana cara nak hormatkan orang."

"Iris...apa Iris cakap ni? Daddy cuma..."

Belum sempat Tan Sri Irfan meneruskan kata-katanya, Zafran mencelah dengan pantas. 

"Dah! Dah! Iris tengah penat ni Daddy. Tadi dari awal bertolak balik sampai sekarang Iris tak makan. Tu yang badmood tu. Dah! Iris masuk dalam tau, rehat dulu." Sebelum timbul perbalahan, Zafran rasa lebih baik dia hentikannya dengan segera. Lantas, lengan Iris ditarik perlahan dan dibawa ke pintu masuk rumah.

"Ish! Tak payah pegang aku lah!" kata Iris dengan bengang sambil menepis tangan Zafran di lengannya.

"Maaf Iris, abang tak sengaja," Dia betul-betul tidak sengaja. Dia hanya fikir untuk menghentikan perkara tadi dari terus berlarutan. Sudahnya jelingan tajam diberikan oleh Iris kepadanya sebelum Iris menghilangkan diri ke dalam rumah sambil kaki dihentak-hentak kasar tanda protes. Zafran mengeluh perlahan. Tubuhnya dipusingkan dan langkah kaki dibawa ke arah bonda Irma yang sedang menangis sambil dipujuk oleh Tan Sri Irfan dan Puan Sri Hani.

Tubuh Bonda Irma dirangkul dan belakang tubuh neneknya diusap-usap perlahan. "Dah nenek janganlah sedih. Nenek maafkan Iris tau. Iris tak sengaja. Nenek bagi masa dekat Iris. InshaAllah suatu hari nanti Iris akan terima nenek balik. Zafran yakin." Mendengar kata-kata Zafran, Bonda Irma mengangguk perlahan sambil menyeka air mata di pipi.

'InshaAllah suatu hari nanti. Iris akan memaafkannya dan ketika saat itu tiba... harapnya dia masih lagi bernyawa.' Desis hati Bonda Irma.


Apa pandangan anda tentang Iris?


Flower Path (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now