BAB 6

4.3K 201 11
                                    

Suasana di meja makan sepi sekali. Bonda Irma awal-awal lagi menarik diri selepas peristiwa bersama Amalina dan Iris petang tadi. Hilang seleranya hendak makan. Sudahnya dari tadi dia berkurung sahaja dalam bilik. Namun, walaupun tanpa kehadiran Bonda Irma, makan malam ini sedikit meriah dengan kehadiran adik Bonda Irma iaitu Tok Insyirah, suaminya dan cucu lelakinya Adham. Kebetulan rumah mereka berdekatan rumah Bonda Irma sahaja, jadi mereka datang. Niat di hati ingin beramah mesra dengan Iris, maklumlah sudah lama tidak bersua muka, namun lain pula yang terjadi.

"Ehem! Along, ni angah nak tanya. Iris dah ada boyfriend ke?" tanya Maksu Ilyana sekaligus memecah suasana sepi yang menyelubungi meja makan itu sejak dari tadi.

Terhenti pergerakan Zafran yang mahu mencedok lauk ke dalam pinggan. Bila maksu tanya soalan begitu, pasti ada udang di sebalik batu. Dia kenal sangat maksu.

"Hmm...Along pun tak pasti angah. Kenapa kamu tiba-tiba tanya soalan ni?" soal Tan Sri Irfan. Pelik jugalah dia kenapa tiba-tiba adiknya berminat dengan kehidupan anak perempuannya itu.

"Kalau tak ada bolehlah angah kenalkan Iris dengan anak kawan-kawan angah." Jawab Maksu Ilyana teruja. Iris tu cantik sangat, mesti kawan-kawannya setuju jika dia jodohkan Iris dengan anak mereka. Ada juga beberapa kawannya yang kaya raya, bolehlah dia tumpang tempias sikit. Nak harapkan Amalina. Huh! Jangan harap. Ada juga dia beberapa kali cuba kenalkan Amalina dengan anak-anak kawannya tapi setiap kali itulah dia kecewa.

"Tak payah jauh-jauh Yana. Ni Adham pun tengah single ni." Balas Tok Insyirah pula. Siapa saja tidak berkenan dengan Iris itu, cantik jelita.

Adham pula hanya tersengih kambing sahaja. Besar tapak tangan, nyiru dia tadahkan. Pertama kali lihat Iris dulu, dia sudah terjatuh hati. Siapa saja hendak tolak jika dapat perempuan jelita seperti Iris. Senyuman mengejek dihadiahkan kepada Zafran. Bukan dia tidak tahu, sudah lama Zafran menaruh hati kepada Iris. Dia lelaki, dia tahulah.

Semakin tidak tenang Zafran jadinya bila isu ini dibangkitkan. Lagi-lagi orang yang hendak dijodohkan itu si Adham, si buaya tembaga. Bertambah sakit hatinya melihat senyuman mengejek Adham kepadanya. Air di tangan diteguk rakus sambil menatap Adham dengan pandangan tajam. Dia dengan Adham sejak dulu memang tidak sebulu. Bukan dia tidak tahu, Adham pun ada hati dekat Iris. Jangan harap dia akan biarkan Adham memiliki Iris. Langkah mayatnya dahulu!.

"Ha betul juga. Tak payah jauh-jauh. Adham dengan Iris pun sepadan juga," kata Maksu Ilyana.

"Eh angah, pandai-pandai je nak jodohkan anak along. Tak payah! Biar Iris cari sendiri!" jawab Tan Sri Irfan. Tidak selesa orang lain mengatur urusan jodoh anak perempuannya. Dahlah Iris jarang pulang ke kampung, sekali pulang, semua sibuk hendak mengatur urusan jodoh anaknya itu. Dia sebagai bapa semestinya tidak suka dengan semua ini. Urusan kehidupan anaknya, biarlah anaknya sendiri yang tentukan. Dia hanya inginkan yang terbaik untuk Iris.

Mendengar kata-kata Daddy, terus tersenyum lebar Zafran. Lantas senyuman mengejek dihadiahkan pula kepada Adham.

"Kenapa Irfan? Adham ni tak sesuai ke dengan Iris?" soal Tok Insyirah. Terasa juga hatinya bila Irfan seolah-olah tidak suka dengan perjodohan Adham dan Iris. Suami Tok Insyirah, Tok Abidin hanya mampu menggelengkan kepala sahaja dengan perangai isterinya itu. Suka sangat masuk campur dalam urusan kehidupan orang lain.

Belum sempat Tan Sri Irfan menjawab terus sahaja Zafran mencelah. Walaupun nampak sedikit kurang sopan, dia tidak peduli. Dia bimbang jika hal ini terus dibangkitkan, Daddy bersetuju pula dengan urusan perjodohan ini. Dia tidak mahu semua itu terjadi, jadi lebih baik dia cegah awal-awal.

"Hmm. Minta maaf Zaf mencelah. Zaf setuju dengan Daddy. Tok, Maksu... Zaf rasa Daddy tolak bukan sebab Adham tak sesuai untuk Iris atau alasan lain. Zaf rasa sebagai seorang ayah, Daddy mesti inginkan yang terbaik untuk Iris. Jadi biarlah Iris cari sendiri dia nak jodoh yang macam mana. Lagipun Zaf tak rasa Iris setuju kalau Maksu dengan Tok nak jodohkan dia dengan Adham. Iris paling tak suka orang paksa-paksa dia. Dengan Daddy pun dia melawan, apatah lagi nak dengar cakap orang lain."

Flower Path (Bakal Terbit)Where stories live. Discover now