Potret yang tergantung di dinding ruang tamu rumah neneknya dipandang dengan penuh ralit oleh Iris. Gambar arwah atuknya yang tersenyum lebar di potret tersebut mengundang rasa sedih di hati Iris. Kalaulah, arwah atuknya masih ada, tidaklah dia terasa sepi. Dalam keluarga ini hanya arwah atuknya satu-satunya orang yang meninggalkan momen indah dalam kehidupannya serta arwah Mommynya. Tapi sayang...arwah atuknya telah lama tiada.
Benarlah kata orang, orang baik selalunya Tuhan ambil awal.
Flashback
"Jawab soalan ayah Irfan! Sepanjang kamu bernikah lain, kamu tak berlaku adil pada Rose?!"
Anaknya, Irfan yang sedang melutut dan tersengguk-sengguk menangis di hadapannya itu dipandang dengan pandangan yang tajam sekali."Irfan...Irfan dah cuba sehabis baik untuk berlaku adil ayah." jawab Irfan perlahan sambil tersengguk-sengguk menangis. Pandangan tajam bapanya ditatap dengan sayu. Hani dan Puan Irma yang sedang duduk di atas sofa ruang tamu tersebut hanya mampu menunduk saja. Tidak berani mahu mencelah.
"Apa kamu cakap? Cuba berlaku adil? Kalau kamu adil, Rose tak akan mati dalam keadaan macam tu?!" Suara Encik Yunus bagaikan halilintar. Geram dengan jawapan anaknya yang dirasakan bodoh itu.
"Irfan tak tahu ayah yang Rose akan tinggalkan Irfan dalam keadaan macam tu. Irfan...Irfan...minta maaf ayah," jawab Irfan sedikit tersekat-sekat. Air mata mengalir bagaikan air terjun di pipinya sekarang.
"Kau bangun! Kau bangun! Kau ni memang dasar suami tak berguna!" Kolar baju Irfan dicengkam lalu dengan kasar Irfan ditarik bangun lalu satu tumbukan diberikan oleh Encik Yunus terhadap Irfan.
Dush!
Jatuh tersembam Irfan ke lantai ruang tamu.
"Ya Allah! Abang!" Dengan pantas Puan Irma menuju ke arah suaminya, menahan suaminya dari terus memukul anaknya itu. Hani pula terus menuju ke arah suaminya, Irfan sambil menangis-nangis.
"Kau ni memang suami tak guna. Sebelum kau kahwin dengan Hani tu aku dah pesan dekat kau. Adil! Adil! Adil! Kalau kau rasa tak mampu berlaku adil jangan kahwin lain. Poligami bukan sesuatu yang mudah, tanggungjawab kau lagi berat. Tapi apa kau janji dengan aku masa tu?! Kau janji kau akan berlaku adil, kau takkan sia-siakan Rose dan Iris! Tengok! Apa yang berlaku sekarang!"
"Irfan minta...minta maaf ayah. Irfan minta maaf." Dengan mengengsot Irfan menuju ke arah ayahnya, lalu kaki ayahnya dipeluk erat.
"Kau minta maaf dekat aku buat apa! Tu Rose dengan Iris yang kau kena minta maaf!" jawab Encik Yunus lalu kakinya ditarik kasar sehinggakan lagi sekali Irfan tersembam ke lantai.
Puan Irma yang melihat situasi itu lantas mengusap dada Encik Yunus perlahan-lahan, bimbang dia Encik Yunus marah begini. Dahla suaminya itu ada sakit jantung.
"Abang, dahlah...benda dah jadi, kita tak boleh buat apa dah, kita doakan semoga Rose tenang disana."
Mendengar kata-kata isterinya, bertambah sakit hati Encik Yunus. Mencerlung dia pandang isterinya itu. "Tenang kamu cakap! Eh Irma! kamu jangan ingat aku tak tahu apa kamu buat dekat Rose sebelum ini. Selama ini, aku butakan mata aku, aku pekakkan telinga aku sebab aku yakin suatu hari nanti kamu akan terima Rose. Tapi aku silap, kamu takkan pernah terima Rose sebagai menantu. Kamu ingat kata-kata aku ni sampai mati. Kamu salah satu punca Rose meninggal dalam keadaan macam tu. Menjawablah kamu nanti!"
Terkaku badan Puan Irma mendengar kata-kata suaminya itu. Ye, benar, selama ini dia selalu memperlakukan Rose dengan buruk, tapi dia tidak pernah minta Rose meninggalkan mereka dalam keadaan seperti itu.
"Abang...Irma tahu Irma banyak dosa dengan Rose. Irma menyesal...dan Irma sedar memang dah terlambat untuk Irma menyesal. Tapi Irma tak mahu kita terus begini, kita masih ada Iris yang perlu dijaga. Itu satu-satunya peninggalan Rose untuk kita semua." balas Puan Irma. Air mata yang mengalir di pipi diseka perlahan.
Encik Yunus memandang tajam ke arah Puan Irma. "Apa kamu cakap? Jaga Iris? Sejak bila kamu pernah kisah tentang Iris? Bila Rose dah mati baru kamu ingat kamu ada cucu nama Iris macam tu?!" Jerkah Encik Yunus.
Terhinggut bahu Puan Irma dijerkah oleh Encik Yunus. Selama hidup bersama Encik Yunus, ini kali pertama suaminya itu memarahinya sebegini. Teresak-esak dirinya menahan tangis.
Anaknya Irfan, menantunya Hani dan Puan Irma dipandang satu persatu. "Kamu bertiga banyak buat dosa dekat Rose. Aku harap sebelum Rose meninggal, dia sempat maafkan kamu semua, kalau tidak...aku harap kifarah tak kejar kamu semua nanti!" ucap Encik Yunus sedikit termengah. Tiba-tiba dia rasa sakit di bahagian dada. Dadanya dicengkam dengan kuat, degupan jantungnya dirasakan semakin laju.
"Abang...abang kenapa?" Dengan pantas Puan Irma meluru ke arah Encik Yunus.
"Ayah, ayah kenapa?Ayah okey?" tanya Irfan pula.
Sakit di dadanya semakin kuat. Jantung pula semakin berdegup laju. Pandangan Encik Yunus berpinar sebelum akhirnya dia rebah ke lantai.
"Ya Allah, abang!
"Ayah, bangun ayah!"
"Atuk!"
End Flashback
"Iris!"
Terhinggut bahu Iris apabila mendengar suara yang datang dari arah belakang tersebut. Serta-merta memori tersebut hilang bagaikan debu. Toleh ke belakang, Iris lihat Amalina sedang memimpin neneknya ke arahnya sambil tersenyum manis sebelum berdiri tidak berapa jauh di hadapannya.
"Maaf Kak Amal buat Iris terkejut. Ni Kak Amal dengan nenek nak ajak Iris makan."
"Jom makan sama-sama. Nenek ada masakkan makanan kegemaran Iris, ikan keli berlada." ujar Bonda Irma teruja. Apabila dia tahu Iris hendak pulang ke kampung, bertungkus lumus dirinya memasak makanan kegemaran Iris walaupun kakinya tidak berapa kuat.
Iris hanya membisu. Dia nampak jelas keterujaan di wajah neneknya itu. Tiba-tiba teringat dirinya dahulu. Begitulah dia dahulu sewaktu menagih kasih neneknya sendiri.
Wajah Amalina dipandang. "Untung kau kan?" ucap Iris mendatar.
Amalina dan Bonda Irma berpandangan. Sedikit pelik dengan kata-kata Iris itu. Mendengar kata-kata Iris itu, berkerut kejap dahi Amalina. 'Untung? Apa yang untungnya?' desis hati Amalina.
"Err, Kak Amal tak faham. Untung? Untung apa maksud Iris?"
"Untung sebab kau tak perlu nak menagih kasih daripada perempuan tua tu macam aku dulu. Kau cuma cucu angkat dia, tapi dia layan kau dengan baik. Tak macam aku dulu, terpaksa menagih kasih dari nenek kandung sendiri." jawab Iris. Perkataan nenek kandung ditekankan supaya neneknya itu sedar apa yang pernah berlaku dulu dan tidak berlagak baik dengannya seolah-olah tiada apa yang pernah terjadi antara mereka dahulu.
Terdiam Amalina mendengar kata-kata Iris. Bonda Irma pula tercengang sama. Jujur, kata-kata Iris itu merobek tangkai hatinya.
"Iris...nenek minta maaf. Nenek..."
Belum sempat Bonda Irma menyambung kata-katanya, dengan pantas Iris memotong.
"Maaf?" Iris ketawa kecil. Geli hatinya mendengar kata-kata itu.
"Dah terlambat!" bidas Iris lalu memusingkan tubuh menuju ke biliknya.
Hi. Jangan lupa tekan vote ya!
YOU ARE READING
Flower Path (Bakal Terbit)
Romance"Abang...nak kahwin lagi satu" Rose sangkakan lelaki itu hanya tercipta untuknya seorang, tapi ternyata ia milik wanita lain juga. Dan mulai detik itu, jiwa Rose telah mati. "Jangan bencikan Daddy, janji dengan Mommy?" "Iris janji!" Impian Iris Mik...