Bonda Irma yang sedang termenung sendiri di pangkin bawah pokok di hadapan rumahnya tersentak apabila dilempar sesuatu ke bajunya. Angkat muka dia lihat Iris sedang terpacak di hadapannya dengan muka yang bengis. Anak mata dibawa ke bajunya, ingin melihat apa yang dilempar oleh Iris tadi. Objek berwarna kuning itu diangkat. Bulat matanya. Gelang emas ini. Mana mungkin dia lupa.
Jadi telunjuk Iris diarahkan kepada gelang yang sedang dipegang oleh Bonda Irma.
"Tu! kau ingat gelang apa?!" Soal Iris sedikit kasar.
Bangun dari pangkin, dengan memegang tongkat, bonda Irma menghampiri Iris dengan mata yang sedikit bergenang. "Nenek ingat." Jawabnya perlahan. Gelang ditangan, dipegang kemas.
"Aku ingat lagi dulu kau minta dekat arwah Mommy aku supaya belikan kau gelang tu. Katanya kawan-kawan kau ramai ada gelang tu, kau je yang tak ada. Selagi kau tak dapat gelang tu selagi tu kau sindir Mommy aku. Kata Mommy menantu yang tak guna, gelang seutas pun tak dapat beli untuk mak mertua." Sindir Iris lagi.
"Nenek ingat..." terketar-ketar bibir Bonda Irma menjawab sindiran Iris. Air mata laju menuruni pipi. Mana mungkin dia lupa kejahatannya kepada arwah Rose dulu. Dia sentiasa ingat.
"Bila menantu kau yang tak guna tu belikan untuk kau, bukan main lagi kau sindir mommy aku. Kononnya menantu kedua kau lah menantu terbaik, tahu senangkan hati mertua. Kau ingat tak?!" soal Iris seoktaf. Dadanya naik turun menahan marah. Tangan dikepal erat.
Terhinggut bahu Bonda Irma apabila dijerkah Iris.
"Ne-nek ingat Iris. Ne-nek tak pernah lupa apa yang nenek pernah buat dekat mommy Iris. Setiap ha-ri, nenek me-me...menyesal dengan apa yang pernah ne...nek lakukan dulu pada arwah mommy Iris." balas Bonda Irma tersekat-sekat. Rasa sebak kian mencengkam dadanya.
"Baguslah kau ingat, senang kerja aku. Kau ni memang mertua tak berguna. Selama ni kau hina arwah mommy aku kata menantu yang tak pandai senangkan hati mertua. Dulu memang arwah mommy aku bodoh, ikut je apa kata kau semata-mata hendak ambil hati kau supaya terima dia sebagai menantu. Tapi aku tak bodoh, disebabkan arwah mommy tak dapat balas apa yang pernah kau buat dekat dia dulu, aku sebagai anak dia akan balas balik apa yang kau pernah buat dekat dia dulu dengan tangan aku sendiri!" kata Iris dengan lantang. Lantas langkah kaki dibawa ke arah Bonda Irma lalu gelang emas yang dipegang kemas oleh Bonda Irma sejak tadi dirampas kasar.
"Kau nak sangat kan pakai gelang ni? Nah aku pakaikan!" usai berkata Iris terus meletakkan gelang emas tersebut dengan kasar ke lengan Bonda Irma.
"Nah pakai! Pakai! Kau nak sangat pakai kan! Nah! Pakai!"kata Iris dengan kuat.
Cengkaman Iris ke atas lengannya membuatkan Bonda Irma mendesis sakit. Sedaya upaya dia menepis Iris yang sedang berkasar dengannya sehinggakan terjatuh tongkatnya ke tanah. Tubuhnya mula tidak seimbang. Kakinya bukan boleh berdiri lama jika tiada tongkat.
"Pakailah! Dulu kau sibuk sangat nak pakai gelang ni kan! Nah! Pakai! Pakai!"
"Iris, jangan..."
Buk!
Terus jatuh terjelepok Bonda Irma ke tanah apabila ditolak oleh Iris. Senyuman puas tersungging di bibir Iris.
"Ya Allah! Bonda!" Tan Sri Irfan yang melihat dari jauh terus berlari menuju ke arah bonda Irma. Puan Sri Hani pula membuntuti dari belakang. Terlopong biji matanya melihat ibu mertuanya terjelepok ke tanah ditolak oleh Iris. Tadi dia dan suaminya berada di dalam rumah, tiba-tiba dia dia suaminya terdengar sedikit kekecohan di luar rumah, itu yang mereka bergegas keluar. Tidak sangka pula mereka kekecohan tersebut adalah kerana Iris dan bonda Irma. Sempat juga mereka melihat Iris menolak bonda Irma ke tanah walau dari jauh.
"Ya Allah, bonda!" Puan Sri Hani segera mengangkat Bonda Irma. Sedih dia melihat ibu mertuanya yang lencun dengan air mata. Segera tanah dan pasir yang melekat di muka dan baju bonda Irma disapu.
"Apa Iris buat dekat nenek?!" Soal Tan Sri Irfan kuat. Tidak sangka anak perempuannya Iris tergamak perlakukan ibunya seperti itu.
"Iris cuma nak pakaikan dia gelang je." Balas Iris santai.
Semakin menggelegak hati Tan Sri Irfan melihat tingkahlaku Iris. Sudah perlakukan ibunya begitu, berlakon seperti tidak bersalah pula.
"Iris ingat Daddy buta?! Daddy tengok yang Iris tolak nenek tadi! Iris jangan nak tipu Daddy!"
"Aww...baguslah Daddy tengok. Iris memang nak bagi Daddy tengok pun. Salah ke apa yang Iris buat? Iris cuma nak pakaikan nenek gelang emas tu je." Ujar Iris lagi sambil jari telunjuk diarahkan kepada gelang emas yang terjatuh di tanah itu.
"Kalau Daddy nak tahu? Gelang emas tu arwah mommy yang beli. Sebab dulu nenek nak sangat gelang tu. Tapi mommy tak sempat nak bagi dekat nenek. So Iris tolong passkan dekat nenek. Sementara nenek masih hidup ni, baik nenek pakai gelang tu, bukan apa takut tak sempat," kata Iris sambil tertawa kecil.
"Oh tak apa tak apa! Kalau nenek tak sempat pakai sekarang, nenek boleh bawa masuk kubur."
"Biadap!"
"Irfan, jangan!" teriak bonda Irma apabila melihat anaknya mengangkat tangan tinggi ke udara seolah-olah ingin menampar Iris.
Tan Sri Irfan mengangkat tangan tinggi untuk menampar Iris. Namun belum sempat tangannya itu singgah ke pipi mulus Iris, ada satu tangan menahan tangannya.
Toleh ke tepi. Zafran. Rupanya Zafran yang menahan tangannya itu.
"Daddy...sabar, bukan ini caranya." kata Zafran perlahan. Belakang badannya diusap oleh Zafran perlahan-lahan supaya tenang. Dadanya yang berombak laju mula beralun tenang. Serentak tanggannya yang terangkat tinggi dilihat. Wajah anaknya Iris turut dilihat. Segera tanggannya dijatuhkan. Wajahnya diraup perlahan. 'Ya Allah, apa yang aku dah buat ni. Aku hampir saja sakiti Iris, anak aku.' Selama ini dia tidak pernah naik tangan kepada Iris. Ini kali pertama.
"Kenapa tak tampar?! Tamparlah! Tampar Iris macam Daddy pernah tampar arwah mommy dulu!"
Tercengang Tan Sri Irfan mendengar kata-kata Iris itu. Lantas langkah kaki dibawa ke arah Iris. Tangan anaknya itu cuba dicapai namun ditepis kasar oleh Iris.
"Daddy minta maaf sweetheart. Daddy tak sengaja naik tangan dekat sweetheart. Maafkan Daddy."
'Sweetheart'. Iris bencikan panggilan itu.
Tangan Daddynya yang cuba menggapai tangannya ditepis kasar. Beberapa tapak diambil ke belakang.
"Iris benci Daddy! Daddy memang tak pernah berubah! Dulu mommy, sekarang Iris pula...Daddy jahat! Daddy memang tak pernah sayang Iris!" luah Iris lantang. Setitis air mata membasahi pipi mulusnya.
Melihat air mata yang menuruni pipi Iris, semakin rasa bersalah mencengkam hati Tan Sri Irfan. Sekali lagi, dia menambahkan baja kebencian dalam hati Iris kepadanya. Bodohnya dia.
"Sweetheart, Daddy minta maaf. Daddy tak sengaja. Daddy sayang Iris sangat-sangat. Iris satu-satunya buah hati Daddy." Ujarnya lagi sambil berusaha mendekati Iris, namun semakin dekat dia dengan Iris, semakin jauh Iris daripadanya dan dia bencikan perkara itu.
"Iris benci Daddy! Benci!" ucap Iris lalu dengan pantas dia berlari masuk ke dalam rumah. Air mata semakin deras membasahi pipi. Dia tidak kira, hari ini dia mahu balik ke Kuala Lumpur juga.
"Iris!" Laung Tan Sri Irfan. Langkah kaki dibawa cuba mengejar Iris. Namun belum sempat dia mengejar Iris, lengannya dipegang oleh Zafran.
"Dah Daddy. Biarkan Iris. Beri ruang kepada dia untuk bertenang dulu. Bimbang kalau Daddy pergi pujuk dia, makin mengamuk pula dia. Daddy sabar ye, nanti Zafran tahulah macam mana nak pujuk Iris."
Tan Sri Irfan mengangguk perlahan. Belakang tubuh Iris yang memasuki pintu rumah dipandang dari jauh. Keluhan berat dilepaskan.
"Maafkan Daddy..."
Readers rasa patut tak Bonda Irma kena macam ni?
YOU ARE READING
Flower Path (Bakal Terbit)
Romance"Abang...nak kahwin lagi satu" Rose sangkakan lelaki itu hanya tercipta untuknya seorang, tapi ternyata ia milik wanita lain juga. Dan mulai detik itu, jiwa Rose telah mati. "Jangan bencikan Daddy, janji dengan Mommy?" "Iris janji!" Impian Iris Mik...