Tengku Seducer: 37

7.6K 635 30
                                    

"TENGKU KAFRAEL!"

Ketenangan Ku Kaf yang lagi duduk santai menanti kepulangan anak tercinta mula terganggu dek tempikan suara lantang dari halaman rumah. Air kopi yang masih hangat dicecap sedikit sebelum tubuhnya diangkat. Langkah demi langkah dihayunkan ke arah pintu rumah. Pintu rumah dikuak.

"Tengku Kafrael." Sinis Maisarah melontarkan dua butir nama itu melalui bibirnya.

"Berani kau munculkan diri lepas kau cuba bunuh anak aku?" Ku Kaf menyilangkan tangan di dada dengan riak wajah yang mendatar. Sedatar lantai di seluruh pelosok rumah.

Hentakan kaki mula berdentum apabila Maisarah menghampiri susuk tubuh Ku Kaf.

"Saya guna cara baik untuk tuntut hak saya sebagai umi Hayf, tapi baik awak ataupun anak awak tak bagi peluang pada saya! Jadi sekarang, saya nak tuntut hak saya depan awak sendiri," sembur Maisarah tanpa mukaddimah.

"Peluang apa lagi kau nak lepas kau dah buang anak kita? Oh, maaf. 'Anak aku'. Tak cukup lagi kau serahkan Hayf pada orang lain sedangkan ayah kandung dia masih bernafas di atas muka bumi ini? Tak cukup lagi disebabkan tindakan terburu-buru kau ini membuatkan Hayf hidup dengan kepercayaan yang aku bukan ayah kandung dia?" Berdas-das Ku Kaf menyelar kata-kata wanita di hadapannya ini. Jangan diusik dendam yang selama ini dikuburkan.

Maisarah mengetap giginya. "Saya tak ada masa nak ulas perkara yang dah pun berlaku. Sekarang ini, saya nak hak saya sebagai wanita yang telah melahirkan Hayf!"

"Hak apa?" Kening Ku Kaf sengaja dijongketkan seakan-akan mencabar ego seorang Maisarah. Walhal, dia tahu apa yang diinginkan oleh wanita itu selama ini.

"Harta awak yang akan diwariskan pada Hayf selaku waris pertama, harta keluarga ini. I want it half and half!" Dengan sombongnya, Maisarah meminta kembali haknya yang tak pernah wujud.

"I knew it." Ku Kaf memicit puncak hidungnya dengan tawa yang meletus sinis.

Maisarah khali. Ah, bekas suaminya ini memang dari dulu suka mencabarnya.

"Betullah tekaan aku atas sebab apa kau tiba-tiba munculkan diri depan aku, depan Hayf lepas bertahun-tahun kau menghilang. Aku memang tak percaya kau sengaja dekat dengan Hayf untuk jaga dia dengan ikhlas," ujar Ku Kaf sembari kakinya setapak demi setapak menata ke arah Maisarah.

"Kalau awak dah tahu kenapa awak tak bagi je saya terus? Tak adalah saya susah-susah nak berbaik dengan Hayf semata-mata nak buat dia percaya pada saya." Maisarah melontarkan niat asalnya tanpa sedar.

"Maisarah!"

"Apa?!" Terdongak kepala Maisarah menikam muka Ku Kaf apabila lelaki itu tahu-tahu sahaja sudah berdiri di hadapannya.

"Sanggup kau gadaikan kepercayaan Hayf pada kau sebagai umi dia demi kepentingan kau sendiri?" Tegang urat di dahi Ku Kaf menahan amarah yang meluap-luap bagai lahar gunung berapi.

"Kau datang nak tuntut hak kau? Hak yang mana satu? Sebaik sahaja kita bercerai, kau dah tak ada hak untuk harta sepencarian mahupun harta pusaka aku. Nama kau dah tak tertera dalam mana-mana bahagian harta aku, melainkan atas ihsan Hayf untuk berkongsi harta dengan kau. Kau belajar ke tidak semua ini?" Ku Kaf kembali berbicara. Apa Maisarah ingat dia bodoh untuk tidak cakna tentang perkara-perkara penting sebegini?

Wajah Maisarah merundum berubah. Cuma sebentar sebelum dia mengembalikan riak sombongnya. "Awak ingat saya bodoh ke Kaf? Sebab itulah saya nak rapat dengan Hayf. Kalau saya tak dapat Hayf, saya nak awak paksa Hayf untuk bagi harta dia sikit pada saya."

"Jangan sesekali kau berani nak beritahu Hayf tentang niat asal kau ini. Aku dah bagi amaran pada kau Mai sejak kali pertama kau munculkan diri, jangan lukakan hati Hayf, tapi kau tetap degil dan pentingkan diri kau!" Ku Kaf tidak mampu lagi mengawal ton suaranya.

Ian Hayf's: Tengku Seducer Where stories live. Discover now