Bab 8

308 18 0
                                    

“Syafiq pergi mana?” soal Puan Marina cemas. Sejak pagi dia menunggu Syafiq yang berjanji untuk pulang sebelum tengah hari.

Syafiq mengelap badan yang separuh basah dengan tuala di dalam bilik. Ketika di tasik, hujan turun dengan lebat sebelum sempat dia berlari ke kereta.

“Syafiq pergi hospice tadi, ada perkara yang Syafiq perlu bincang dengan Helena. Selepas itu, Syafiq jalan-jalan di tasik, tak sedar sampai ke petang,” jelas Syafiq. Rambut yang basah dirapi dengan jari. Alat kawalan pendingin hawa digapai lalu butang bertanda off ditekan.

Hospice? Maknanya, Syafiq terima tawaran Cik Helena? Semalam, mama tengok Syafiq seolah berbelah bahagi. Hari ni dah kata lain?” Puan Marina terkejut. Apa yang telah dilakukan oleh Helena sehingga berjaya mengubah keputusan Syafiq. Tidak mudah Syafiq terpengaruh dengan pujukan orang. Dengan ibu sendiri Syafiq buat kepala batu.

“Hmmm, entahlah. Syafiq tak tahu macam mana nak jelaskan kepada mama. Syafiq fikir ada baiknya Syafiq cuba dahulu, tak ada rugi pun. Macam yang mama cakap, Syafiq boleh berhenti kalau Syafiq tak suka di sana. Alang-alang, bolehlah tampung simpanan yang mencurah macam air terjun,” jelas Syafiq. Dia tak teruja, tidak pula benci untuk memulakan kerja.

“Bila Syafiq mula kerja? Esok?” Puan Marina membelek baju milik Syafiq di dalam almari.

“Haah esok. Mama tengok apa?” Dahi Syafiq berkerut apabila melihat Puan Marina keluarkan beberapa helai kemejanya lalu diletakkan di atas katil.

“Syafiq kena beli baju baharu. Mama tengok semua baju lama-lama. Baju yang mama beli untuk Syafiq ketika Syafiq mula bekerja pun masih ada. Syafiq pakai lagi ke?” Kemeja biru lembut yang dibeli sebagai hadiah buat Syafiq masih berkeadaan elok. Warna belum luntur dan benang masih tertimbus dalam kapas baju.

Syafiq mencebik. Setiap helaian baju yang terhampar disentuh seketika. “Tak perlu rasanya mama. Syafiq boleh pakai scrub nanti.”

Puan Marina memandang Syafiq penuh tanda tanya. “Syafiq pasti?”

“Sebab setahu mama, di hospice, doktor tak fokus kepada proses penyembuhan lagi, tak macam hospital. Pesakit di sana lebih kepada care, comfort dan kualiti kehidupan mereka sebelum pergi.” tambah Puan Marina.

“Pasal baju kemudian Syafiq fikir.” Syafiq nak tenang sehingga esok, tidak mahu serabutkan kepala.

“Syafiq….” Puan Marina duduk. Ada sesuatu yang ingin dia sampaikan.

“Selalu ingat, rezeki itu daripada Allah. Ada hikmah kenapa Allah gerakkan hati Cik Helena untuk ambil Syafiq bekerja, bukan orang lain. Logik akal, apa yang ada pada Syafiq sehingga dia sanggup tawarkan Syafiq bekerja?”

“Cuba ikhlaskan hati. Semua pesakit di sana perlukan seorang doktor yang terbaik untuk mereka. Sekurangnya, mereka pernah dilayan baik walaupun dah tak ada peluang untuk sembuh seperti biasa. Boleh sayang?” Puan Marina usap pipi Syafiq. Tengok mata Syafiq sahaja, Puan Marina boleh baca isi hati anaknya itu.

“Terima kasih mama sebab selalu bagi nasihat. Kalau tak ada mama, tak tahulah macam mana Syafiq sekarang.” Syafiq tarik Puan Marina ke dalam pelukan buat seketika.

“Syafiq tak habis fikir, apa yang ada pada Syafiq sehingga sampai ke tahap itu sekali Cik Helena bertindak,” luah Syafiq tak sedar sudah tersasul.

“Maksud Syafiq? Bertindak sehingga tahap macam mana tu?” Puan Marina ingin tahu.

“Mama…..” Syafiq tarik nafas.

“Cik Helena yang bantu bersihkan nama Syafiq. Tanpa usaha dia, klinik Syafiq takkan pernah berjalan dengan lancar. Paling teruk, lesen Syafiq boleh digantung sampai bila-bila. Syafiq akui Syafiq terhutang budi dengan dia dalam hal tu,” jelas Syafiq dalam satu nafas. Dalam diam, Helena membuka semula jalan impiannya yang pernah tertutup.

HEALER Where stories live. Discover now