Hampir tiga puluh minit memandu, kereta Syafiq berhenti di hadapan satu banglo mewah dan besar umpama istana. Syafiq mematikan enjin kereta. Helena yang masih diulit lena turut tersedar apabila merasakan kereta tidak lagi bergerak.
“Cik Helena, kita dah sampai.” Syafiq keluar daripada kereta terlebih dahulu.
Sementara itu, Helena melihat pantulan wajah di cermin, risau takut ada air liur basi di hujung bibir. Berpuas hati dengan penampilan diri, Helena melepaskan tali pinggang keledar. Pintu kereta dihempap sekuat hati sehingga bahu Syafiq terjongket sendiri.
“Oppss, tak sengaja,” ejek Helena sengaja menguji kesabran Syafiq yang senipis bawang.
Syafiq geleng kepala. “Rosak kereta saya, saya minta ganti rugi.”
“Tak ada ganti rugi. Dahlah datang lambat. Patutnya awak bersyukur saya tak potong gaji!” omel Helena tidak mahu kalah. Beg tangan yang berat diayun ke arah Syafiq, masih sempat Syafiq mengelak.
“Kita buat apa di sini?” Syafiq kipas muka. Masih awal pagi namun bahang matahari sudah terasa.
“Inilah mahligai milik pengasas New Biotech, Tan Sri Afendi. Syarikat tunggal di Malaysia yang membekalkan mesin perubatan di seluruh hospital. Kenal tak? Kalau tak ada syarikat ini, dah banyak hospital ditutup akibat kekurangan mesin canggih,” jelas Helena sambil mengintai kediaman itu melalui celah tembok yang tinggi.
“Pernah dengar nama.” Syafiq berpeluk tubuh, memantau tindak tanduk yang terbongkok-bongkok seolah pencuri.
Melalui celah tembok, Helena tidak melihat sesiapa yang boleh membukakan pintu buat mereka berdua. Helena tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada Tan Sri Afendi tentang kedatangannya. Setelah dua kali tawaf, Helena menemui pintu pagar kecil yang terlindung dengan rimbunan pohon yang terjuntai dahannya.
“Cik Helena, suka untuk saya ingatkan memasuki rumah orang lain tanpa pengetahuan ialah satu kesalahan, menceroboh namanya,” ujar Syafiq tatkala tangan Helena meggapai penyelak pagar.
“Suka hati saya lah. Tak nak tambah dosa, tunggu di sini! Banyak songeh betul!” Helena tidak hiraukan nasihat Syafiq. Dia harus selesaikan misinya pada hari itu.
Helena menolak pagar besi tak berkarat itu. Kakinya memijak hamparan rumput yang rata. Helena berjalan ke arah pintu rumah agam yang terbuka. Ada kalanya, matanya melihat ke sekitar, sekiranya ada orang lain di halaman yang luas terbentang.
Helena langsung tidak berpaling ke arah belakang. Syafiq yang risau dituduh sebagai penceroboh mengekori rapat Helena dari belakang. Kali pertama, dia buat kerja gila seumur hidupnya.
“Hello! Ada orang tak?” Helena menjerit.
“Assalamualaikum……..” Syafiq perbetulkan, dibalas dengan jelingan tajam.
“Rumah ni ada orang tak?” cetus Syafiq penuh tanda tanya. Setiap pintu tertutup rapat, bahkan cahaya tidak dapat menerobos masuk.
“Mestilah ada! Halaman rumah bersih, kolam renang tak ada dedaun kering, maksudnya ada orang jaga.”
Inilah masalah bodoh sombong. Memanglah rumah ni ada penghuni, kalau tak dah lama sesawang yang kuasai. Tak faham soalan juga dia ni, patutlah kadang-kadang tak betul, kutuk Syafiq di dalam hati. Apa yang dia maksudkan ialah keberadaan terkini tuan rumah. Parah jika tiada orang.
Helena tangkap bunyi orang berjalan. Pintu gelongsor terbuka sedikit, ada seseorang menjengah. Seorang lelaki muncul dengan pakaian yang penuh dengan tanah.
“Maaf, saya ada di kebun tadi, tak perasan ada orang. Kalian berdua nak jumpa siapa?”
“Saya Helena Zara. Saya dimaklumkan Tan Sri Afendi nak jumpa saya beberapa hari yang lepas,” jawab Helena tenang tanpa fikir dia mungkin tersalah rumah.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...