Helena parkir kereta di bahu jalan. Helena bersandar, berkira-kira mahu turun atau tidak. Pagi tadi, Intan menelefonnya dan ajak Helena untuk makan tengah hari bersama. Helena sedar itu bukan makan tengah hari biasa tetapi makan tengah hari bersama bidasan hinaan antara mereka berdua.
Helena bahagikan rambutnya kepada dua lalu dikuak ke hadapan. Luka tanpa benang cuba disembunyikan di bawah rambut. Intan tak boleh ternampak luka itu jika tidak mahu ditimpa masalah besar.
Helena turun daripada kereta. Dress yang ternaik dibetulkan sedikit sebelum mengatur langkah. Pintu restoran ditarik kuat lalu mata mencari Intan yang telah lama di situ.
"Aku ingat kau dah tak datang tadi," soal Intan apabila Helena muncul di hadapannya. Hampir lima belas minit dia menunggu Helena. Intan tahu Helena mesti sengaja mencari pasal.
"Kenapa kau nak jumpa aku? Kau tahu kan aku sibuk. Banyak pesakit yang nak tinggal di hospice sekarang. Semua bilik dah full house. Aku rasa aku kena minta bajet daripada Nenda untuk besarkan tempat tu." Helena tidak menjawab pertanyaan Intan malah menghebohkan keadaan hospice yang berkeadaan baik untuk menyakitkan hati musuhnya itu.
"Oh ya?" Intan tidak menunjukkan minat, langsung tidak terkesan.
"Kau ingat tak tempat ini?" duga Intan. Dia meletakkan kedua-dua tangan di atas meja yang sudah dipenuhi dengan makanan.
"Hmmmmm......"
Mata Helena melilau ke sekitar, tidak terasa asing namun dia tak dapat ingat. Helena juih bibir serta jongket bahu.
"Tak!"
Intan senyum sinis. "Kau lupa di sini kau kenakan ibu bapa aku. Kau curah kopi ke atas kepala mama aku dan kau buat duit papa aku sebanyak sepuluh ribu hancur jadi debu. Suka ya dapat kenakan orang tua?" Intan ungkit perbuatan Helena. Mahu sahaja dia cekik leher Helena supaya dia tidak perlu mendengar perbuatan Helena yang tidak matang seperti itu lagi.
"Mana ada jadi debu. Kau patut bersyukur yang aku tolong parents kau kutip pahala sedekah. Setakat sepuluh ribu, tak terbanding dengan semua harta yang keluarga kau kikis daripada Dr Alisya. Anggaplah aku tolong mereka buat pahala sedekah, cuci dosa sikit." Helena tongkat dagu. Dia gembira kerana berjaya menyakitkan Intan. Amat jelas reaksi Intan yang seakan mahu meledak di situ.
"Kau kan!" Intan ketap gigi kuat sehingga rahangnya bergetar.
"Cepat cakap kenapa kau nak jumpa aku. Jangan kata kau datang sini hanya untuk ceramahkan aku. Aku tak ada masa, Intan. Aku orang yang sibuk. Tak macam kau, doktor yang selalu berkelapangan. Kau tak ada pesakit kan? Mesti......."
"Nah!" Intan lemparkan kad berbentuk segi empat kepada Helena.
Helena tutup mulut. Kad yang terkena sikunya diambil lalu dibaca. Hujung bibir Helena ternaik. Dahi sudah berkerut hairan.
"Kau jemput aku ke majlis perkahwinan kau? Motif? Kau jemput aku sebagai apa? Adik atau keluarga? Mestilah tak kan. Nak kata kita kawan memang tunggu kiamat lah. Kau tak takut aku boleh porak-peranda majlis perkahwinan kau. Yelah, aku kan jahat, tak matang pula tu," perli Helena. Kad undangan dibelek seketika. Terpampang muka Intan dan pasangannya.
"Memang aku sengaja. Aku nak kau tengok betapa bahagianya aku di majlis perkahwinan aku nanti. Kau lupa yang kau banyak kali cakap aku takkan kahwin sampai bila-bila sebab aku tak cantik macam kau. Sekarang tengok, siapa yang tak cantik? Aku atau kau?" balas Intan memanfaatkan peluang. Air muka Helena berubah kosong.
"Jangan jadi andartu sudah. Aku rasa kalau kau ubah perangai sikit, mungkin ada orang yang nak. Tak payah nak hias diri kau dengan baju mahal untuk nampak istimewa. Orang takkan pandang kau selagi kau tak sental mulut kau yang busuk. Ditambah pula pakej sombong. Maaf aku cakap, kau tak layak untuk sesiapa. Kau takkan jumpa lelaki yang boleh tahan perangai kau. Dah tak ada lelaki baik zaman sekarang, semua pupus." Intan yakin Helena takkan dapat menandinginya. Intan berani mengatakan yang Helena akan sendiri sampai mati.
YOU ARE READING
HEALER
RomanceHelena Zara- Penjaga kepada Happy Smile Hospice yang merupakan tempat untuk mereka yang sakit, tetapi gagal dalam proses perubatan dan hanya menunggu kematian. Helena dibesarkan di dalam keluarga yang penuh dengki, kebencian dan dendam. Akibat itu d...